Tuesday, September 30, 2014

Kejutan terbaru Pak Menteri dan Pendatang Asing



Kajian pendapatan seisi rumah yang dibuat kerajaan baru-baru ini memberikan kita angka yang agak membanggakan dalam pencapaian ekonomi rakyat. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar menyatakan purata pendapatan isi rumah telah meningkat pada tahun ini kepada RM5,900 berbanding RM5,000 yang dicatatkan pada tahun 2012. Laporan tahun lepas rujuk sini

Pada tahun 2009, pendapatan isi rumah ketika itu ialah RM4,025 dan jika kita bentangkan atas carta, untuk jangka 2012-2014 negara mencatatkan kenaikan sebanyak 15.25% dan 19.5% untuk jangka 2009-2012

Bermakna taraf hidup di Malaysia telah naik seiring kos sara hidup rakyat yang juga ikut sama meningkat. Tapi tak mengapa, negara kita tetap kaya dan rakyatnya pun masih kaya..

Ambil contoh pendaftaran kenderaan baru di Malaysia. Tahun 2012 sahaja sebanyak 1,311,749 buah kenderaan bermotor baru yang didaftarkan di seluruh negara. Jumlah itu termasuklah motorsikal, kereta, bas, lori, teksi dan sebagainya.

Setiap bulan, sebanyak 109,312 buah kenderaan baru didaftarkan masuk dan berkeliaran ke jalan-jalan raya yang sama digunakan oleh kita setiap hari. Jumlah terkumpul kenderaan yang ada di Malaysia sekarang ialah sebanyak 22,702,221. Statistik populasi rakyat Malaysia sekarang dianggarkan seramai 29,820,900 orang. Tolak 26.8% usia 15 tahun dan ke bawah, sebahagian daripada 21,828,899 orang adalah pemandu.

Maknanya setiap individu /rakyat di Malaysia yang berusia 16 tahun ke atas, masing-masing memiliki sekurang-kurangnya satu kenderaan untuk kegunaan harian di seluruh negara. Itu purata.

Belum lagi dikira aset-aset lain contohnya rumah, tanah persendirian, dan sebagainya. Siapa kata rakyat Malaysia tak kaya? Maka tak hairanlah, negara kita menjadi tempat tumpuan lambakan pekerja-pekerja asing daripada negara jiran termasuklah warga daripada negara jiran kepada negara jiran..

Negara kita kaya, warga asing juga semakin kaya


Kenyataan Menteri - 2.9 juta PATI?

Hari ini kita dikejutkan oleh angka yang dikeluarkan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot melalui akhbar Borneo Post, difahamkan jumlah pekerja asing sekarang sudah mencecah 5.8 juta orang. - rujuk sumber. Apakah sebenarnya sedang berlaku dalam negara kita?

Agak mengelirukan, kerana angka itu terlalu tinggi berbanding laporan saringan kesihatan pekerja asing daripada Menteri Kesihatan, Datuk Subramaniam melalui BHarian dan Bernama sebelum ini yang menjelaskan sekitar 1.3juta pekerja asing bekerja di negara kita pada tahun 2013.


Cuba cari warga Malaysia tersembunyi dalam gambar ini

Merujuk kepada kenyataan Datuk Seri Richard Riot - daripada 5.8 juta pekerja asing, 2.9 juta daripadanya mempunyai permit, selebihnya 2.9 juta lagi adalah pekerja Haram dan PATI!

Kita harap fakta ini tidak tepat. Kakitangan /penjawat awam kita pun baru berjumlah 1.42 juta orang, termasuk anggota keselamatan kita PDRM dan ATM. Ini bukan sesuatu yang elok untuk kita dengar.

Bilangan pekerja asing ini kalau tidak dikawal akan mewujudkan masalah penempatan yang dimonopoli pendatang. Rakyat kita sendiri pula sebahagiannya terpaksa bersaing untuk mendapatkan pekerjaan dalam sektor-sektor yang sama.

Mungkin kerajaan sepatutnya mempunyai mekanisma yang lebih berkesan untuk mengawal kemasukan warga asing selain menghantar pulang mereka yang sudah tidak lagi diperlukan perkhidmatannya.

Komen Pendatang Asing yang biadap terhadap polis kita 

Masalah pendatang asing tidak pernah lekang dalam kehidupan rakyat kini. Ramai di antara mereka berkumpul di satu kawasan hingga mengganggu penduduk tempatan, semacam dah jadi lumrah. Kini ada pula yang berani mengugut kerana berebut kawasan, seolah-olah mereka terlupa batang tubuh mereka berada di bumi mana.


Cuba lawat laman web www.aduanrakyat.com.

Dalam laman web ini kita akan mendapati banyak kategori aduan. Segala macam bentuk aduan rakyat boleh luahkan di sini. Biasanya ada pihak akan mengambil tindakan.

Dan dalam banyak-banyak kategori antara yang paling popular ialah Jabatan Imegresen. Ia popular kerana ia merupakan agensi kedua tertinggi kerajaan menerima aduan, iaitu sebanyak 282 kes. Kebanyakannya melibatkan masalah pendatang haram, malah ada kes sehingga berjaya mencuri perniagaan warga tempatan.

Apa yang dilaporkan mungkin segelintir sahaja daripada masalah-masalah lain yang terpaksa disenyapkan sahaja oleh penduduk tempatan. Sebelum ini kerajaan telah menyenaraihitamkan 220,000 warga asing yang bermasalah daripada memasuki negara. Yang kita tahu, kebanyakan mereka telahpun diusir. Itu yang kerajaan boleh kesan, sebenarnya ada ramai lagi yang baru masuk ke negara sebagai pelancong akhirnya bersembunyi dan menjadi PATI.


Penguatkuasaan undang-undang haruslah dilakukan dengan lebih tegas. Sikap seperti melepaskan batuk di tangga tidak seharusnya diamalkan oleh pihak yang bertanggungjawab. Hal ini kerana banyak pekerja asing terdiri daripada pendatang haram yang menyusup masuk dengan menggunakan dokumen palsu. 

Akta imigresen perlulah lebih tegas supaya PATI tidak lagi berani bertindak lebih jauh. Perairan negara juga haruslah dikawal sepanjang masa untuk mengelakkan mereka menyusup melalui jalan laut. Jika semua pihak yang berkenaan memainkan tanggungjawab secara berkesan, tidak mustahil masalah kemasukan pendatang asing dapat diatasi dari akar umbinya.

Keadaan masih lagi dalam keadaan terkawal, setakat ini. Jabatan Imegresen, KDN harus lebih efektif. Jangan menyusahkan PDRM dengan kes-kes jenayah melibatkan mereka. Jangan sekali-kali sampai melibatkan ATM yang bermakna negara dalam keadaan darurat.

Semoga Allah merahmati dan melindungi negara kita daripada sebarang ancaman oleh pencerobohan orang asing.




1 comment:

  1. Tu pati yang datang lebih awal tahun 40an dan 50an lagi bahaya. Dah beranak pinak pon. Tu yang orang endo cakap. kita serumpun..apa masalahnya.

    ReplyDelete