Wednesday, September 24, 2014

Peluang cerah buat BN di Pengkalan Kubor


KUALA LUMPUR 24 Sept - Di sebalik pergolakan politik di Selangor yang menjadi tumpuan banyak pihak, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor esok tidak kurang menariknya, sama ada ia memihak kepada calon Barisan Nasional (BN), Pas atau Bebas.
 
Pertembungan tiga penjuru itu pastinya menarik tumpuan pemerhati politik tanah air yang ingin tahu apakah BN mampu mengekalkan kerusi berkenaan. Ataukah Pas yang bergeseran di Selangor bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP masih mendapat sokongan rakyat di Dun itu?
 
Ramai melihat pilihan raya kecil ini lebih kepada pertembungan antara BN dan Pas sahaja yang mana kedua-dua parti itu sedaya-upaya cuba meraih sokongan rakyat, sekali gus menguji tahap sokongan kepada parti di kerusi Dun Pengkalan Kubor.
 
BN perlu mengekalkan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tahun lepas bagi memastikan suara BN sebagai pembangkang di Kelantan tidak berkurangan pada sidang Dun. Bagi Pas, pilihan raya kecil ini dilihat sebagai platform 'menebus maruah' yang tercalar ekoran perbalahan parti pakatan berikutan krisis pertukaran Menteri Besar Selangor.
 
Pada masa ini, komposisi Dun Kelantan yang berjumlah 45 kerusi menyaksikan 32 daripadanya milik Pas, satu PKR dan 11 BN. Kedudukan satu lagi kerusi iaitu Dun Pengkalan Kubor akan ditentukan esok.
 
Mampukah BN mengekalkan kerusi Dun Pengkalan Kubor pada kali ini?
 
Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak yakin BN masih mempunyai kelebihan di Dun berkenaan meskipun pilihan raya kecil itu diadakan di negeri yang dikuasai Pas, sejak 1990.
 
"Saya melihat Pas tiada isu besar untuk dimainkan dalam pilihan raya kecil ini dan tambahan pula, Pas kini sedang berdepan dengan masalah dalam Pakatan Rakyat dan juga masalah dalaman Pas sendiri. Ini akan menjejaskan sokongan kepada Pas.
 
"Berdasarkan rekod perkhidmatan bekas penyandang Dun Pengkalan Kubor yang cemerlang di kawasan itu, peluang untuk BN menang adalah cerah," katanya kepada Bernama di sini.
 
 
PRK KELEBIHAN BN
 
Dun Pengkalan Kubor, yang berkeluasan 29.6 kilometer persegi, mempunyai 24,039 pengundi berdaftar dan 23,929 pengundi biasa bakal menunaikan tanggungjawab masing-masing esok.
 
Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, Terengganu Che Hamdan Che Mohd Razali melihat kempen Pas lebih suram kali ini dan hanya menumpukan gerak kerja kepada kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang
dimenangi rakan sekutu mereka PKR pada PRU13 lepas.
 
"PRK ini memberi kelebihan buat BN kerana dengan jentera yang besar, BN boleh memastikan semua jenteranya bergerak menyeluruh ke semua kawasan. Saya turun pada hari penamaan calon dan mengikut gerak kempen kedua-dua parti, saya dapati Pas hanya menumpukan kepada kawasan PDM yang mereka menang," katanya.
 
Beliau berkata pilihan raya kecil Pengkalan Kubor adalah ujian sulung buat kerajaan negeri yang dipimpin Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob selepas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengundur diri daripada jawatan itu selepas PRU13.
 
"Walaupun PRK ini berlaku di gelanggangnya (Pas), saya nampak kerajaan negeri tidak mampu membuktikan bahawa beliau (Ahmad) mampu meraih sokongan pengundi. Sering kali Nik Abdul Aziz (Mursyidul Am Pas) dibawa ke kempen pilihan raya walhal bekas menteri besar itu sudah kelihatan sangat uzur.
 
"Daripada segi moralnya, saya nampak Menteri Besar Kelantan belum lagi menunjukkan kemampuannya dalam mengharungi pilihan raya dan masih perlu membawa Nik Aziz untuk meraih sokongan pengundi," katanya.
 
Che Hamdan berkata konflik dalaman PAS turut memberi kelebihan kepada BN dalam usaha mengekalkan kerusi Dun Pengkalan Kubor.
 
 
SAINGAN SENGIT BN DAN PAS
 
Selepas 12 hari berkempen, pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berpendapat BN dan Pas mempunyai peluang hampir sama untuk menang.
 
Katanya bacaan politik beliau semasa ini mendapati daripada sejumlah 12 PDM, tujuh daripadanya cenderung memilih BN manakala bakinya Pas.
 
Sambil menegaskan bahawa keputusan boleh berubah di saat-saat akhir, beliau berkata: "Pada masa ini, peluang untuk BN menang itu ada. PRK ini saya lihat persaingan sengit antara BN dan Pas. Tabiat mengundi rakyat Kelantan ini ialah mereka akan memilih sama ada Pas atau BN sahaja. Selain itu, mereka tidak pilih."
 
Mengambil contoh PRU13, Dun Pengkalan Kubor yang ditandingi PKR tewas kepada BN dengan majoriti 1,736 undi, beliau berkata rakyat di kawasan itu hanya mempunyai kecenderungan kepada dua parti tersebut.
 
"Di Dun itu, PKR tidak kuat dan sokongan kepada calon PKR majoritinya datang daripada anggota Pas Maka jika ia ditandingi Pas, sudah pasti akan berlaku pertandingan yang sengit," katanya. 
 
BN mempertaruhkan Mat Razi Mat Ail manakala Pas diwakili Wan Rosdi Wan Ibrahim serta calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.
 
PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lalu. 

Sumber artikel: rakyatnews.my

No comments:

Post a Comment