Friday, September 26, 2014

Menanti tindak balas Anwar?

Artikel yang cukup baik untuk dikongsikan. Dipetik daripada blog belantan.blogspot.com


Bulan September mungkin bukan bulan yang baik untuk Anwar Ibrahim. Beliau dipecat daripada parti dan kerajaan pada tahun 1998 pada bulan September, beliau pernah merancang untuk menjadi Perdana Menteri melalui pintu belakang pada 16 September 2008 dan hari ini sekali lagi September membawa nasib malang untuk Anwar apabila harapannya untuk melihat isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail 'ditabalkan' sebagai Menteri Besar (MB) Selangor hanya tinggal impian.

Mungkin kaitan bulan September dengan politik Anwar hanya kebetulan sahaja tetapi apa yang pasti semua itu berlaku kerana perancangan politik beliau. Begitu juga apabila beliau melaksanakan 'Langkah Kajang' - satu langkah politik yang menyebabkan bukan sahaja Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapi juga sekutunya, Pas turut lintang pukang.

Tanpa sebab dan alasan kukuh, Anwar mengatur langkah untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tetapi impian itu tidak tercapai kerana beliau berhadapan hukuman penjara, justeru beliau mempertaruhkan Wan Azizah malangnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang itu tidak mendapat sokongan Pas.

Mungkin tidak terlintas dalam fikiran Anwar bahawa orang kesayangannya, Azmin Ali akan menjadi pilihan Sultan Selangor untuk menggantikan Abdul Khalid dan beliau juga tidak menyangka nama itu akan dicalonkan oleh Pas. Biarpun beliau dan PKR berkeras mahukan Wan Azizah dan menolak calon lain daripada parti itu untuk menjadi MB Selangor tetapi dalam politik tiada musuh dan kawan yang kekal.

Yang menentang Azmin menjadi MB bukannya ADUN PKR atau Pas di Selangor tetapi orang dalam PKR yang begitu taksub dengan agenda politik Anwar dan disokong oleh DAP. Azmin mempunyai pengaruh sendiri di Selangor bukan sahaja dalam kalangan ADUN PKR tetapi juga Pas. Sebab itulah Pas menghantar nama Azmin sebagai salah seorang calon MB walaupun mendapat tentangan keras PKR dan DAP yang bersetuju hanya Wan Azizah dicalonkan.

Bagaimanapun persoalan yang lebih menarik untuk diperkatakan apakah tindak balas politik yang akan dilakukan oleh Anwar dan PKR berikutan pemilihan Azmin? Kalau Abdul Khalid yang mengingkari arahan parti dipecat, apakah Azmin juga akan menerima nasib yang sama?

Pelantikan Azmin bermakna kerusi MB Selangor masih di bawah PKR, oleh itu jika Anwar tidak mempunyai apa-apa perancangan yang 'pelik-pelik' beliau perlu menerima pelantikan Azmin dengan lapang dada. Walaupun kewibawaan Azmin mungkinlah tidaklah sehebat Abdul Khalid tetapi sekurang-kurangnya beliau jauh lebih baik berbanding Wan Azizah dari segi politik.

Biarpun di dalam PKR akan berlaku perpecahan tetapi ia dijangka bersifat sementara kerana politik berkaitan kedudukan dan kuasa, apabila seseorang pemimpin itu mempunyai kedua-duanya, beliau pasti disokong. ADUN PKR lain mungkin akan terfikir buat apalah mereka membuang masa hendak memperjuangkan nasib Wan Azizah dan sekali gus terjebak pertelingkahan dengan istana berikutan pelantikan Azmin.

Adalah lebih baik mereka meneruskan pentadbiran kerajaan negeri Selangor bersama Azmin daripada membuang masa melayan kerenah politik Anwar. Lagipun biarlah Wan Azizah menguruskan 'kebajikan' suaminya yang akan turun naik mahkamah pada bulan depan.

Pelantikan Azmin boleh dianggap satu tamparan hebat kepada Wan Azizah kerana semua orang tahu bagaimana hubungan antara kedua-dua pemimpin PKR tersebut, malah kalau boleh mungkin Wan Azizah lebih rela orang lain menduduki jawatan itu bukannya Azmin.

Bagi Azmin pula, cabaran utama ialah menjauhkan diri daripada dakwaan pelbagai pihak bahawa beliau akan mengikut telunjuk Anwar dalam mentadbir Selangor. Azmin perlu meneruskan kerja-kerja cemerlang yang sebelum ini dilaksanakan oleh 'musuh politiknya' Abdul Khalid ketika mereka bersama-sama dalam PKR.

Abdul Khalid pula sebagai seorang yang berintegriti tinggi sudah pasti tidak melakukan apa-apa tindakan yang boleh merosakkan pentadbiran kerajaan negeri di bawah Azmin, biarpun ketika menjadi MB, Azmin merupakan orang yang memainkan peranan utama dalam mengkritik pentadbiran beliau .

Perlu diingat bukan Azmin yang merancang 'Langkah Kajang', walaupun beliau dalam beberapa mesyuarat didakwa mahukan Abdul Khalid digantikan, sebaliknya Anwar yang mengambil kesempatan daripada pertelingkahan politik antara mereka untuk memenuhi agenda politik peribadinya.

Bagi sesetengah pemimpin PKR pula, mereka tidak boleh menganggap tindakan Azmin sebagai 'satu pengkhianatan' kepada parti itu kerana tiada sebab untuk Azmin dilihat menderhaka kepada Sultan Selangor apabila nama beliau diperkenankan oleh baginda. Atas sebab itulah, sejak nama beliau dicalonkan oleh Pas, Azmin langsung tidak membuat kenyataan menolak pencalonan itu, yang memandai-mandai mengatakan Azmin menarik diri adalah Anwar. Apa yang diketahui ialah Azmin menghormati keputusan PKR mencalonkan nama Wan Azizah sahaja.

Sementara itu, bagi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, beliau sudah pasti berasa lega dengan kebijaksanaan Sultan Selangor membuat keputusan memilih Azmin. Ini memandangkan Abdul Hadi ialah individu paling bertanggungjawab mencalonkan nama Azmin dan tidak mahu tunduk dengan kehendak PKR dan DAP supaya mencalonkan nama Wan Azizah sahaja.

Langkah menyenaraikan nama ADUN Pas hanya sekadar memenuhi permintaan istana yang mahu semua parti mencalonkan lebih daripada dua nama, bak kata Abdul Hadi ketika memberikan penjelasan isu-isu semasa di Marang baru-baru ini, ''Kalau bagi satu nama bagaimana Istana nak pilih.''

Pemilihan Azmin juga sekali lagi membuktikan kebimbangan segelintir pemimpin Pas berhubung kesan buruk jika ADUN parti itu menduduki jawatan MB Selangor adalah tidak berasas, politik 'mencipta hantu yang tidak wujud' yang cuba dipraktikkan oleh mereka sekali lagi gagal.

Sebelum ini golongan tersebut gelisah tidak tentu hala apabila Abdul Hadi menegaskan akan menerima apa sahaja keputusan Istana maknanya, kalau Sultan Selangor melantik Azmin mereka terima, kalau pilih ADUN Pas pun mereka terima. Apa yang penting parti itu membuat keputusan bak kata Abdul Hadi berdasarkan hukum syarak dan bukannya hukum akal semata-mata.

Kenyataan itu menyebabkan beberapa pemimpin Pas yang begitu taksub dalam tahaluf siyasi dengan PKR dan DAP bagaikan tidur tidak lena, makan 'tak lalu' malah ada antara membuat teori songsang menyatakan ada perancangan oleh pimpinan Pas untuk membentuk campuran kerajaan dengan UMNO di Selangor, sampai ke tahap itu pendekatan 'politik mencipta hantu' mereka.

Justeru dalam Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-60 di Batu Pahat, Johor minggu lalu ada antara mereka menegaskan, Pas perlu mempertahankan integriti dan pemuafakatan dalam pakatan dengan menolak jawatan MB Selangor jika ia diberikan kepada ADUN Pas memandangkan parti itu sudah berjanji ia kerusi milik PKR.

Bagaimanapun hakikatnya, dalam kes MB Selangor hujah itu tidak terpakai biarpun Pas sudah berjanji jawatan tersebut hak PKR. Ini memandangkan ketika Anwar merancang 'Langkah Kajang' apakah beliau memikirkan soal integriti dan permuafakatan yang dimeteraikan dengan Pas? Kenapakah hanya Pas sahaja dipaksa patuh pada prinsip itu biarpun terpaksa sumpah derhaka terhadap Sultan Selangor? Wajarkah Pas menerima nasib seumpama itu?

Tetapi apa pun keadaannya diharapkan pelantikan Azmin akan menamatkan kemelut politik di Selangor selepas Sultan Selangor menggunakan kebijaksanaan baginda membuat keputusan. Rakyat sudah bosan kerana sejak beberapa bulan lalu terpaksa menyaksikan drama politik memualkan yang dirancang oleh Anwar.

Ketika negeri-negeri lain sedang bergelut untuk meningkatkan taraf hidup rakyat selepas pilihan raya umum lalu, Selangor pula kucar kacir kerana kemelut politik yang tidak berkesudahan, segala-galanya bukan kerana Abdul Khalid tidak berwibawa tetapi kerana kerakusan Anwar mahu berkuasa.

Oleh itu, kalau benarlah PKR dan DAP berjuang untuk rakyat maka berjiwa besarlah menerima Azmin menjadi MB Selangor dan jangan menganggap dunia akan berakhir bila Wan Azizah tidak menduduki jawatan tersebut kerana beliau tiada kemampuan sebaliknya hanya mengikut kemahuan suaminya, Selangor tidak layak mempunyai pemimpin seumpama itu.

Oleh : Zulkiflee Bakar


Sumber: Belantan.blogspot,com

No comments:

Post a Comment