Monday, October 6, 2014

Merbahaya! Rokok Eletronik meletup, lelaki mati serta-merta.

Kes mengejutkan di Malaysia melibatkan kematian disebabkan penggunaan rokok eletronik. Kepada mereka yang menggunakan alat ini, sentiasa berhati-hati kerana terlalu banyak produk-produk palsu berada di pasaran yang dijual secara terang-terangan ataupun di pasar gelap.

Paling utama, JANGAN SEKALI-KALI mengubahsuai alatan ini kerana ia melibatkan bateri, tiub pemanas, peranti eletronik - Bahan sempurna untuk membuat bom.

Kejadian berlaku di Bintulu, Sarawak.

Dipetik daripada theborneopost.com



BINTULU: Hasrat seorang lelaki bersama rakannya ke sebuah kedai kopi untuk minum bersama tidak kesampaian apabila ketika berjalan di kawasan pejalan kaki di hadapan Tamu Bintulu, mangsa maut selepas rokok elektroniknya meletup secara tiba-tiba pagi semalam.

Sumber berkata, mangsa yang merupakan seorang pemandu van dikenali sebagai Lau, 53, ketika kejadian berhasrat mengambil penumpang tetapi kerana masa masih lama, dia mengajak kawannya berjalan kaki menuju ke sebuah kedai kopi.

Semasa berjalan tanpa diduga rokok elektronik mangsa tiba-tiba meletup dan dipercayai bateri pada rokok elektronik itu terkeluar dan terkena dada mangsa menyebabkan mangsa rebah.

Rakannya yang terkejut cuba membantu dan mendapati dada mangsa ada kesan berlubang dan terbakar.

Rakan mangsa memanggil-manggil nama mangsa kerana matanya masih terbuka tetapi tidak lama selepas itu, mangsa terus tidak sedarkan diri.

Orang awam yang berada berdekatan terus menghubungi ambulans Hospital Bintulu dan pihak polis.
Anggota paramedik yang memeriksa mangsa di tempat kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Begitupun punca kematian mangsa masih dalam siasatan selepas bedah siasat selesai dijalankan.

No comments:

Post a Comment