Saturday, October 4, 2014
Misteri MH370 dan 7 kehilangan lain
Kehilangan pesawat MAS MH370 telah mengundang pelbagai jenis andaian oleh masyarakat dunia. Persoalan yang sehingga kini masih belum terjawab seperti mengapa sistem komunikasi dimatikan secara manual dan mengapa pesawat melakukan pusingan U sebelum hilang, telah menjadi misteri yang tidak terungkap. Bagaimanapun, ini bukanlah kali pertama kejadian kapal terbang hilang tanpa dikesan.
Berikut adalah tujuh kejadian pesawat lain beserta penumpang dan krewnya yang telah hilang ketika dalam penerbangan, meninggalkan seribu persoalan dan sehingga kini tiada tanda-tanda akan dapat ditemui.
1) Misteri Boeing 727-233 yang 'dicuri'
Pada tahun 2003, sebuah pesawat Boeing 727-233, dengan no. pendaftaran N844AA, didapati telah bergerak di sepanjang landasan di Lapangan Terbang Quatro de Fevereiro di Luanda Angola, tanpa isyarat komunikasi atau perhubungan di antara anak kapal dan menara kawalan. Pesawat bersaiz sederhana itu berlepas dari landasan tanpa kebenaran pegawai bertugas di pusat kawalan trafik udara.
Ia kemudiannya terbang ke arah Barat melalui lautan Atlantik dengan lampu yang dipadam dan transponder dimatikan lalu menghilang dan tidak lagi ditemui sejak itu. Di dalam kapal terbang itu terdapat dua orang lelaki, Menurut laporan tidak seorang pun di antara mereka mempunyai kelayakan untuk menerbangkan pesawat tersebut. Operasi pencarian melibatkan seluruh dunia diketuai oleh FBI dan CIA bagaimanapun gagal mengesan kelibat pesawat mahupun krewnya. Kerja pencarian akhirnya dihentikan. Sehingga ke hari ini, kejadian itu masih menjadi misteri.
Rujukan: http://en.wikipedia.org/wiki/2003_Boeing_727-223_disappearance
2) Rompakan hasil karya seni di udara?
Sebuah pesawat kargo milik Varig Brazil Airlines telah didapati hilang pada bulan Januari, 1979 hanya 30 minit selepas ia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Narita di Tokyo. Pesawat itu membawa seramai 6 orang anak kapal. Menambahkan lagi misteri kehilangan kapal terbang tersebut, di dalamnya terdapat 153 lukisan bernilai lebih daripada $ 1.2 juta (£ 700,000). Tiada pesawat mahupun anak-anak kapal serta lukisan karya ditemui sejak itu.
Rujukan: http://en.wikipedia.org/wiki/1979_Boeing_707-323C_disappearance
3) Penerbangan Tiger Line Penerbangan 739
Antara misteri yang paling lama bertahan dalam sejarah penerbangan dunia ialah kejadian yang menimpa Penerbangan Flying Tiger Line 739 pada tahun 1932. Pesawat tentera Amerika Syarikat itu telah berlepas dari Guam di Barat Pasifik membawa seramai 90 anggota tentera tetapi tidak pernah tiba ke destinasinya di Filipina. Pesawat itu tidak membuat sebarang panggilan kecemasan dan tidak ada tanda-tanda terhempas ataupun sebarang serpihan ditemui.
Salah seorang krew dari sebuah kapal tangki Liberia mendakwa telah terlihat cahaya yang sangat terang di langit, segelintir pihak percaya ia mungkin sebuah pesawat yang meletup ketika di udara. Pihak penerbangan awam Amerika Syarikat bagaimanapun memutuskan ia sebagai "kejadian yang tidak dapat ditentukan punca kemungkinannya", menurut laporan majalah Time.
Rujukan: http://en.wikipedia.org/wiki/Flying_Tiger_Line_Flight_739
4) Segitiga Bermuda
Misteri kehilangan beberapa pesawat di rantau antara Florida, Puerto Rico dan Bermuda sejak tahun 1940 telah mengundang perhatian yang luar biasa daripada kalangan ahli-ahli teori konspirasi dan pakar sejarah aeronautik. Dua buah pesawat penumpang milik British South American Airways telah hilang di kawasan itu pada tahun 1948 dan 1949.
51 penumpang serta anak kapal telah hilang dalam kedua-dua insiden, sebuah melibatkan kapal terbang Star Tiger dan sebuah lagi kapal terbang Star Ariel. Menurut laporan rasmi dalam kejadian Star Tiger itu, para penyiasat mengakui mereka menjadi "bingung" dengan kehilangan tersebut. Beberapa pesawat lain turut hilang di rantau itu termasuk lima buah pesawat pengebom Amerika Syarikat yang hilang pada tahun 1945. Walaupun pencarian secara besar-besaran dilakukan melalui udara dan laut, tiada bangkai atau mana-mana bahagian pesawat udara itu dijumpai.
Rujukan: http://en.wikipedia.org/wiki/British_South_American_Airways
5) Penerbangan Air France 447
Pada tahun 2009 penerbangan dari Rio De Janeiro ke Paris telah terhempas ke dalam Lautan Atlantik, membunuh kesemua 228 penumpang termasuk anak kapal. Setelah seharian misi pencarian dibuat akhirnya bangkai pesawat itu dapat dikesan dan mereka menemui serpihan badan pesawat, termasuk kotak hitamnya.
Bagaimanapun mayat 74 penumpangnya tidak dapat ditemui dan ia mengambil masa selama tiga tahun untuk membuat kesimpulan bahawa kemalangan itu disebabkan faktor kegagalan oleh pembentukan dan kewujudan ais pada pesawat, kegagalan fungsi mekanikal dan kesilapan juruterbang.
Rujukan: http://en.wikipedia.org/wiki/Air_France_Flight_447
6) Top Gun
Juruterbang aerobatik, Art Scholl hilang tanpa kesan apabila pesawat Pitt S-2 pembawa kamera terhempas ketika melakukan penggambaran dalam filem Hollywood 'Top Gun'. Scholl telah melakukan beberapa pergerakan kapal terbang dengan putaran untuk merakam beberapa babak dalam adegan filem tersebut, malangnya pesawat itu tidak dapat kembali kepada manuver biasa lalu menjunam ke dalam laut. Kata-kata terakhir Scholl yang dicatatkan ialah: "Saya di sini ada masalah," Filem ini kemudiannya dijadikan filem untuk memperingati kehilangan beliau.
Rujukan: http://en.wikipedia.org/wiki/Art_Scholl
7) Amelia Earhart
Seorang juruterbang wanita yang berpengalaman, Amelia Earhart telah hilang bersama pesawatnya Lockheed Model 10 Electra di tengah Lautan Pasifik pada tahun 1937, ketika dalam cubaannya untuk mengelilingi dunia. Walaupun usaha pencarian dilakukan secara besar-besaran membabitkan kos berjuta-juta pound, namun tiada tanda-tanda pesawat beliau dijumpai. Earhart secara rasminya diisytiharkan mati pada tahun 1939, tetapi spekulasi tentang kehilangannya masih lagi menjadi sebutan sehingga ke hari ini.
Rujukan: http://en.wikipedia.org/wiki/Amelia_Earhart
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment