Monday, October 27, 2014

Singapura boleh tuntut satu lagi pulau di perairan Johor? Pemimpin Malaysia jangan tidur..!

Artikel dipetik daripada Sinar Harian. Jika kerajaan kurang serius menangani pengurusan pulau-pulau di sekitar Selat Melaka, berkemungkinan besar tuntutan akan dibuat oleh Singapura sebagaimana Pulau Batu Puteh.

Pulau Pisang seperti yang dinyatakan dalam Sinar Harian, setakat ini belum ada tuntutan dibuat ke atasnya memandangkan pentadbiran di pulau tersebut tidak dikuasai negara jiran.

Bagaimanapun, dalam keadaan tertentu sekiranya negara jiran mula menduduki, contohnya meletakkan rumah api kononnya untuk memudahkan laluan kapal dan mentadbirnya seperti di pulau Batu Putih, maka mereka akan mempunyai alasan untuk membuat tuntutan.

Dalam kes Pulau Batu Putih, sikap berdiam diri pemimpin-pemimpin Malaysia serta mengelak dari menggunakan pendekatan konfrontasi oleh Malaysia berdasarkan semangat setiakawan dua negara berjiran, bagaimanapun telah diambil kesempatan oleh Singapura dengan sebaiknya sebagai hujah dalam tuntutan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Hingga akhirnya dengan penggulungan hujah yang dibuat Singapura itu, mahkamah antarabangsa telah memutuskan bahawa Pulau Batu Putih diserahkan kepada Republik Singapura. 

Satu untuk Singapura, kosong untuk Malaysia...

Pulau Pisang: Singapura boleh tuntut hak




SHAH ALAM - Singapura boleh menuntut Pulau Pisang sekiranya republik itu mengamalkan ‘pendudukan efektif’ di pulau berkenaan untuk satu tempoh yang lama mengikut Undang-undang Laut Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS).

Pemerhati undang-undang, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin berkata, jika Malaysia mengakui sebagai pemilik bagi sesebuah kawasan maka perkara itu perlu dibuktikan kepada negara-negara lain dan juga seluruh dunia.

“Dari sudut UNCLOS, cara sesuatu tempat boleh dituntut oleh negara lain ialah dipanggil ‘effective occipation’ (pendudukan efektif). Maknanya kawasan itu diduduki atau diuruskan oleh negara berkenaan.

“Saya tidak pasti situasi sebenar di Pulau Pisang tetapi sekiranya pulau itu juga ditadbir oleh Singapura bagi tempoh masa yang panjang dan kita tidak ambil apa-apa tindakan untuk menunjukkan bahawa kita adalah tuan punya pulau itu, maka Singapura boleh buat tuntutan,” katanya kepada Sinar Harian Online.

[ARTIKEL BERKAITAN: Bimbang Pulau Pisang senasib Pulau Batu Puteh]

Beliau turut mengingatkan bahawa Pulau Batu Puteh telah diuruskan oleh Singapura dan perkara itu menjadi asas tuntutan republik tersebut.

Beliau yang juga seorang peguam itu menyarankan agar Malaysia segera mengambil langkah berwaspada dengan mentadbir pulau yang terletak kira-kira 8 kilometer di luar perairan Pontian itu.

Sekiranya Malaysia melakukan pendudukan efektif ke atas pulau tersebut seperti mentadbirnya, kita mungkin tidak akan hilang kelayakan untuk mengatakan pulau itu adalah hak milik kita.

“Setakat ini Singapura memang tidak membuat sebarang tuntutan lagi tapi kita perlu berwaspada. Pulau Batu Puteh itu satu isu yang sangat sedih buat sejarah Malaysia,” katanya.

Menurutnya, pulau itu perlu didiami warga Malaysia meskipun hanya dalam bilangan yang kecil.

“Kerajaan perlu sentiasa menunjukkan kepada Singapura dan dunia bahawa kita melakukan pentadbiran kesemua pulau di Malaysia.

“Cara terbaik adalah Malaysia menempatkan kem tentera dan juga penduduk yang menetap di pulau itu.

“Walaupun jumlahnya kecil tapi penduduk itu mestilah warganegara Malaysia dan mentadbir urus pulau tersebut,” katanya.

Tambahnya, “kita mesti ambil langkah-langkah untuk membangunkan apa saja yang kita boleh buat. Mungkin bangunkan sektor pelancongan di sana.”

1 Julai 2008 lalu, bekas Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, isu kedaulatan Malaysia terhadap Pulau Pisang tidak perlu timbul ekoran pulau itu sudah diwartakan dalam mukim Pontian dan menjadi sebahagian daripada pentadbiran Majlis Daerah Pontian.

Pulau Pisang terletak 5 kilometer dari bandar Benut itu mempunyai kedudukan strategik iaitu di bahagian selatan laluan perkapalan yang sibuk di Selat Melaka.

Terdapat sebuah rumah api setinggi 53 meter yang dikendalikan oleh Kakitangan Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura.

Di kawasan sekitarnya pula terdapat tiga buah pulau lain iaitu Pulau Sauh, Pulau Kemudi dan Pulau Tunda.

4 comments:

  1. Apa Menteri Pertahanan-ELIT-LIBERAL buat! GERAM betul aku - si ELIT-LIBERAL hanya tahu nak suruh Islam/Melayu tutup mulut jgn. "rosakkan perpaduan"!
    Dahlah Batu Putih, terus menyerah kalah, ini lagi pulau-pulau lain nak biaqkan SINGAPURA-JAHANAM-pusat Mossad/CIA/NATO rampas lagi!

    Baik GANTIkan cepat si Islam/Melayu-LIBERAL-ELIT dlm. perhimpunan UMNO kali ini!

    Makcik Sambal Belacan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Itulah akibat bila nak jaga hati orang sampai melampau2.. Aku lebih suka zaman TunM sgt tegas sampai gertak perang boleh berlaku kalau Singapura melampau batas.. Masalah sekarang, singapura mungkin sudah pun memasuki dalam pentadbiran negara melalui pembangkang. Cuma menteri2 kita sahaja masih dok rasa selesa kena kipas pembodek2 dan penjilat2 yg malas buat kerja..

      Delete
  2. Menurut maklumat dr Pegawai2 JCS bahawa pulau pisang tidak sama dgn pulau batu puteh kerana pulau mempunyai permeteraian yg jelas antara kerajaan johor dan singapore. So tuntutan tersebut tidak boleh dilakukan. Singapore pun bukan bodoh ....kalau dia tuntut bersama semasa tunttutsn batu putih kemungkinan besar singapore akan gagal dalam tuntutan batu putih berdasarkan surat yg dikeluarkan oleh kerajaaan negeri johor kpd singapore sebelum pembinaan rumah api dahulu. Sekian wallahualam

    ReplyDelete
    Replies
    1. TERBAIK!!!.. PENJELASAN YANG MENGURANGKAN RESAH HATI RAKYAT.. MALAYSIA BUKAN NEGARA YANG MUDAH DIBULI SINGAPORE

      Delete