Saturday, November 1, 2014

Jawapan YB Datuk Seri Haji Fadillah kepada 4 orang YB berkenan Tol



Pagi ini saya telah menjawab soalan daripada YB Tuan Ng Wei Aik, Ahli Parlimen Tanjong, Pulau Pinang, yang bertanya sama adakadar tol bagi Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah akan diselaraskan dan rebat Touch 'n Go sebanyak 20% untuk warga Pulau Pinang yang menggunakan Jambatan Pulau Pinang turut dipanjangkan kepada Jambatan Kedua Pulau Pinang serta statistik kenderaan-kenderaan pelbagai kelas yang menggunakan jambatan mengikut bulan, iaitu mulai Mac sehingga September 2014.

Untuk makluman, kadar tol bagi semua kadar tol bagi semua jenis kenderaan di Jambatan Sultan Abdul Halim Muad’zam Shah, Pulau Pinang ditetapkan berdasarkan kepada perjanjian konsesi yang telah ditandatangani.

Penetapan kadar ini dibuat berasaskan kepada faktor-faktor seperti kos pembinaan, kos operasi, unjuran trafik, tempoh konsesi dan tempoh pembayaran balik pinjaman oleh syarikat konsesi. Oleh itu, kadar tol yang dikenakan di Jambatan Sultan Abdul Halim Muad’zam Shah ini adalah berpatutan dengan mengambil kira kos keseluruhan projek ini, iaitu sebanyak RM4.5 bilion dan panjang jarak jambatan keseluruhan, iaitu 24km berbanding jarak 13.5km sahaja di Jambatan Pulau Pinang.

Kerajaan juga setakat ini tidak berhasrat untuk memberikan kadar diskaun sebanyak 20% kepada pengguna di Jambatan Sultan Abdul Halim Muad’zam Shah sebagaimana yang dinikmati oleh pengguna kad Touch ‘N Go di Jambatan Pulau Pinang. Ini kerana ia melibatkan implikasi kewangan yang perlu ditanggung oleh pihak Kerajaan.

Untuk tempoh dari 1 Mac 2014 hingga 31 Ogos 2014, jumlah keseluruhan kenderaan yang menggunakan Jambatan Sultan Abdul Halim Muad’zam Shah, Pulau Pinang ialah sebanyak 2.76 juta unit kenderaan. Daripada jumlah tersebut, 86% adalah dari kenderaan persendirian (Kelas 1).

Bagi soalan tambahan daripada YB Tuan Ng Wei Aik, Kerajaan Persekutuan sememangnya kerajaan yang bertanggungjawab.

Fly-over lebuhraya Batu Maong 
Di Pulau Pinang, bukan sahaja pihak Kerajaan Persekutuan telah membina jambatan kedua tetapi masih ada sambungan 4 projek bagi menyuraikan trafik yang kos keseluruhannya beranggaran 1.087 bilion iaitu menaiktaraf lebuhraya daripada Batu Maong ke Sungai Nibong, pembinaan ‘fly-over’ daripada bulatan Batu Maong ke persimpangan P10 Pulau Pinang, Batu Maong ke Jalan Sultan Azlan Shah dan menaiktaraf Jalan Teluk Kumbar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Bila siap nanti ia akan memudahkan lagi perjalanan dari Jambatan Sultan Abdul Halim Muad’zam Shah ke pusat bandar Georgetown.

Berkenaan dengan kos perjalanan, Jambatan Pulau Pinang memudahkan perjalanan bagi mereka yang berada di Seberang Prai dan mereka yang dari arah utara, manakala Jambatan Sultan Abdul Halim Muad’zam Shah memberi kemudahan dari segi masa perjalanan serta kos kepada mereka yang datang dari Batu Kawan serta arah selatan.

Untuk soalan tambahan daripada YB Dr. Haji Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai), bagi perancangan masa panjang, pihak Kerajaan mulai tahun 2020 mengharapkan pengunaan secara keseluruhan Electronic Toll Collection (ETC). Buat masa ini kita sudah memperkenalkan penggunaan ETC di beberapa plaza tol dan ianya terbukti mampu mengurangkan kesesakan.

Menjawab soalan daripada YB Dato’ Wira Othman bin Abdul (Pendang) berkenaan kesesakan yang teruk di Plaza Tol Juru dan Sungai Dua terutamanya pada musim perayaan, pihak Kerajaan setakat ini tidak berhasrat untuk menghapuskan kutipan tol di Plaza Tol Juru dan Sungai Dua kerana ianya telah distruktur semula pada tahun 2011 di mana pengguna masih menikmati kadar tol yang lebih rendah berbanding dengan kadar yang sepatutnya mengikut perjanjian konsesi.

Laluan pintas Plaza Tol Juru dan Sg Dua sedang dikaji
Kementerian juga ambil maklum akan masalah kesesakan yang berlaku terutamanya di musim perayaan utama. Pengguna adalah dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang telah dikeluarkan oleh pihak PLUS. Di samping itu, kementerian ini juga telah menetapkan perintah larangan kepada kenderaan berat dan mengarahkan semua kerja pembinaan dihentikan untuk tempoh masa tertentu semasa musim perayaan utama.

Untuk soalan tambahan, pembinaan 2 plaza tol tersebut adalah untuk memudahkan mereka yang menetap dan bekerja di Seberang Prai untuk menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan tanpa perlu membayar tol. Terdapat satu cadangan untuk membina lintasan yang akan memudahkan para pengguna yang ingin terus ke utara atau selatan umpamanya tanpa perlu melalui 2 plaza tol ini. (Rujuk sini)

Buat masa ini ianya masih diperingkat rundingan di Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS). Pada masa yang sama kita sedang mempertingkatkan konfigurasi tol dengan membina lebih banyak lorong tol bagi mempercepatkan urusan di plaza tol tersebut.

Bagi soalan tambahan daripada YB M. Kulasegaran (Ipoh Barat), pembinaan lebuhraya ini merupakan Private Finance Initiative (PFI) dimana pihak swasta mengambil pinjaman dan membina lebuhraya tersebut. Untuk pihak Kerajaan mengambil alih semua lebuhraya pastinya melibatkan implikasi kewangan yang amat tinggi kepada pihak kerajaan yang mana akan akhirnya ditanggung juga oleh rakyat.

Melihat akan implikasi ini, maka pihak kerajaan tidak bercadang untuk mengambil alih lebuhraya. Malah YAB Ketua Menteri Pulau Pinang sendiri memberi tahu media bahawa terowong bawah laut yang dicadang untuk dibina juga akan dikenakan bayaran tol.

Sekian.


Artikel dipetik dari https://www.facebook.com/fadillah.yusof/posts/886643718013324

No comments:

Post a Comment