Sunday, September 15, 2013

Kewujudan 5 Parti Baru ancaman BN?


Ringkasan..


Kewujudan 5 parti politik baru memasuki arena politik Sarawak baru-baru ini menunjukkan satu perubahan ketara di negeri ini. Semuanya berlaku seolah-olah ia satu fenomena yang dibuat sebagai persediaan khusus untuk mengubah fitrah landskap politik yang selama ini dikuasai PBB, PRS dan SPDP.

Rasionalnya, kemenangan majoriti 2/3 PRN lalu telah dibantu oleh bumiputra kalangan kaum Dayak Sarawak kepada BN kerana tidak yakin dengan gerak kerja pembangkang yang dilihat dibuat dalam masa yang terlalu singkat selain tidak mempunyai calon yang sesuai seperti dimahukan rakyat kawasan.

Dengan tertubuhnya PBDS Baru kini, ia mungkin diharap untuk memberi impak kepada keputusan pilihanraya akan datang menyaingi parti-parti lain sedia ada. Segelintir pemimpin pembangkang Dayak berusaha mewujudkan gelombang " Dayakism " iaitu satu sentimen yang sebenarnya tidak begitu serasi dengan dasar perpaduan di bawah komponen Barisan Nasional kerana ia lebih mengundang kepada perpecahan lebih-lebih lagi apabila melibatkan kelompok atau puak dalam kepimpinan parti.

Dengan sokongan daripada kepimpinan Pakatan Rakyat seperti DAP dan PKR, kaedah kempen dibuat dengan satu nada menggunakan propaganda kononnya memperjuangkan hak Bumiputra Sarawak daripada penguasaan kepimpinan BN Pusat. PBDS sebagai contoh, sudah pasti akan mendapat bantuan daripada rakan seperjuangan dalam PKR iaitu Baru Bian dan DAP iaitu Dr. John Brian, keduanya pemimpin pembangkang yang aktif menyebarkan sentimen 'Dayakism' dalam kebanyakan kempen politik mereka..

PRS, antara parti Dayak yang lebih kuat berbanding SPDP dan PBB dalam BN akan mengalami kemerosotan jika PBDS Baru berjaya memainkan peranan sebagai satu parti alternatif yang pro-Pembangkang tetapi kelihatan mesra-BN pada waktu yang sama, menjadikan mereka sebagai satu kumpulan tersendiri kepada kalangan kaum Dayak.

Apakah ia satu bentuk ancaman kepada BN jika PBDS Baru mengambil alih sokongan majoriti masyarakat Dayak seiring parti-parti komponen lain menjelang pilihanraya negeri? Pada PRN ke-10 yang lepas, Pakatan Rakyat menggunakan isu autonomi dengan agenda untuk menguasai pentadbiran kerajaan negeri tanpa campurtangan daripada kerajaan pusat.

Namun ia tidak mendapat sambutan rakyat Sarawak ketika itu setelah menyedari kepincangan dalam kerjasama Pembangkang yang dilihat terlalu memihak Pakatan Rakyat berbanding pembangkang tempatan. Ramai yang tidak yakin kemampuan pembangkang untuk mentadbir kerajaan sekiranya diberi ruang, walaupun hakikatnya sebilangan rakyat Sarawak kini mahukan perubahan dan diberikan keutamaan oleh kerajaan.

Wajarkah parti komponen BN yang mewakili Bumiputra Dayak seperti PRS, SPDP dan  PBB memandang sepi kewujudan 5 parti secara serentak untuk pilihanraya akan datang? Kita tidak tahu siapa dan setakat mana kemampuan mereka. Yang pasti, mereka sudah mengorak langkah ke arah satu pembentukan untuk meraih kuasa majoriti rakyat.

Tidak mustahil kesemuanya bergabung dalam satu pakatan untuk menumbangkan BN Sarawak apabila tiba masanya kelak.

- Sarawakia

No comments:

Post a Comment