Tuesday, March 15, 2016

58 penyokong tegar PAS Palekbang masuk UMNO



Seramai 58 penyokong tegar Pas di kawasan Palekbang, di sini mengisytiharkan keluar Pas dan menyertai UMNO selepas kecewa terhadap kelemahan urus tadbir kerajaan Pas Kelantan meskipun telah memerintah negeri ini selama 26 tahun.

Kumpulan tersebut yang diketuai bekas Ketua Pas cawangan Kampung Gerong, Abdul Manaf Ibrahim.

Menurut Abdul Manaf, mereka bertindak demikian selepas hilang keyakinan terhadap perjuangan Pas terutama bagi membela nasib rakyat di daerah ini.

Malah dakwanya, berdasarkan pemerhatian dia yang menjadi ahli Pas sejak lebih 20 tahun lalu, parti itu sebenarnya gagal mengotakan banyak janji yang pernah ditabur dan sering berdolak dalih menyalahkan pihak lain apabila kepincangan pentadbirannya terdedah.

“Selama ini pemimpin Pas ke hulu ke hilir mengajar (ceramah). Baguslah mengajar agama tetapi itu sahajalah yang mereka mampu. Kalau nak harapkan mereka bantu rakyat atau membangunkan negeri, memang tak ada. Bagi saya, kami memang tidak lagi boleh bergantung harap kepada Pas.

“Saya sebenarnya sudah lama berhasrat mahu keluar parti namun baru sekarang saya mendapat kekuatan selepas menerima sokongan saudara mara serta rakan-rakan lain yang turut mahu keluar parti,” katanya.

Abdul Manaf ditemui pemberita selepas mewakili kumpulan tersebut menyerahkan borang permohonan keahlian mereka kepada Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Mohd. Rosdi Abd. Aziz.

Sementara itu, Mohd. Rosdi berkata, beliau terharu dan mengalu-alukan kehadiran mana-mana ahli baharu dan kesediaan kumpulan tersebut menyertai UMNO adalah di atas kerelaan mereka sendiri tanpa dorongan mana-mana pihak.

“Mereka meninggalkan Pas dan menyertai UMNO atas kesedaran sendiri tanpa kita ajak, desak atau dorong. Penghijrahan ini bukan untuk UMNO mendabik dada tetapi kita boleh lihat rakyat sebenarnya menyedari ada perkara tidak kena dengan Pas,” katanya. – 14 Mac 2016.

sokmo.net

No comments:

Post a Comment