Friday, October 4, 2013

5 jam tunggu, tiket Sarawak VS Sime Darby FC gagal dibeli


KUCHING: Tiket perlawanan suku akhir Piala Malaysia antara Sarawak dan Sime Darby FC sudah habis dijual dan tiada lagi tiket akan dijual pada hari perlawanan.

Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) menerusi kenyataannya semalam mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penyokong yang telah membeli tiket dan turut memohon maaf kepada mereka gagal mendapatkan tiket untuk perlawanan tersebut.

“Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak, Datu Sudarsono Osman mewakili semua ahli jawatankuasa serta pemain ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan yang padu serta maklum balas yang sangat memberangsangkan daripada semua penyokong yang ingin mendapatkan tiket perlawanan yang melibatkan pasukan negeri,” katanya.

“FAS menganggap sokongan daripada semua penyokong yang membanjiri stadium pada perlawananperlawanan lepas merupakan suasana paling meriah pernah disaksikan.

“Dengan gelombang sokongan yang padu seperti ini, para pemain pasukan Sarawak pasti akan mendapat inspirasi terbaik untuk berhadapan dengan pasukan Sime Darby pada Sabtu ini bagi membalas kepercayaan peminat yang tidak berbelah-bahagi ini.

” Sementara itu, reaksi marah dan kecewa jelas terpampang di wajah ratusan penyokong sejurus pihak pengurusan jualan tiket memberitahu tiket perlawanan antara Sarawak dan Sime Darby sudah habis dijual, semalam.

Drama tersebut bermula apabila ribuan penyokong menyerbu pekarangan premis jualan tiket yang terletak di Wisma Hopoh seawal jam 7.30 pagi semalam.

Ekoran itu beberapa kedai yang terletak berhampiran premis berkenaan juga terpaksa ditutup.

Penyokong yang rata-ratanya kepenatan setelah menunggu hampir lima jam hilang sabar apabila pengurus premis berkenaan memberitahu tiket perlawanan sudah habis dijual.

Ia menyebabkan sebahagian daripada mereka marah dan mula menimbulkan kekecohan hingga menyebabkan beberapa orang anggota polis terpaksa dikejarkan ke premis berkenaan untuk menenangkan keadaan.

Terdesak dengan keadaan tersebut, pihak pengurusan akhirnya terpaksa membuka kaunter jualan di pekarangan tempat letak kereta Wisma Hopoh dan kesemua tiket habis dijual dalam tempoh kurang dari satu jam.

“Siapa yang tak marah, mula-mula mereka kata tiket masih dijual.

Tetapi setelah kami menunggu selama lima jam, mereka kata sudah habis,” ujar penyokong tegar Sarawak, Mohd Fadli Ibrahim, 31.

“Saya tidak pernah terlepas menonton perlawanan Sarawak, lebih-lebih lagi sekarang ini pasukan sedang berada di prestasi kemuncak.

” Seorang lagi penyokong Shasha Ivan berkata, kegagalan mendapatkan tiket tidak akan mematahkan semangat serta sokongannya terhadap pasukan Sarawak.

“Sudah tentu kecewa sebab dah empat kali saya cuba untuk mendapatkan tiket namun masih gagal.

Apapun saya akan cuba lagi untuk membelinya hari ini,” ujar wanita berusia 27 tahun dari Kota Samarahan itu.

Menurut kenyataan dari pengurusan jualan tiket tersebut, pihaknya hanya diperuntukkan sejumlah 8,000 keping yang dijual di dua premis.

Kesemua tiket tersebut telah pun habis dijual sejak kelmarin dan tiket yang dijual semalam adalah tambahan dari Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) iaitu sebanyak 800 keping. - Borneopost

No comments:

Post a Comment