Thursday, October 3, 2013

Kerajaan tidak sekat FACEBOOK dan Laman Web


KUANTAN, Rabu - Kerajaan tidak akan menyekat akses akaun laman sosial Facebook atau laman-laman web yang lain kerana ia memberi banyak faedah kepada masyarakat. Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, walaupun terdapat pihak yang menyalahgunakan laman web atau laman sosial seperti Facebook untuk menyebar fitnah tetapi bukan semua terbabit dengan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

"Menyekat Facebook bukanlah satu pilihan yang baik. Ini kerana kita tahu ia banyak membawa faedah berbanding penyalahgunaan yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Di negara kita ada 16 juta pemilik akaun Facebook dan antara pemilik akaun itu ialah pelajar berumur lapan tahun, dan mereka ini tidak terlibat dalam penyalahgunaan media sosial seperti Facebook untuk melemparkan fitnah atau tohmahan kepada pihak lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di projek pemasangan gentian optik untuk jalur lebar sepanjang 10,000 kilometer dari Cherating ke Jepun oleh firma Time.com Berhad di Pelabuhan Kuantan di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Time.com, Afzal Abdul Rahim. Ahmad Shabery diminta mengulas mengenai desas-desus yang mendakwa kerajaan akan mengikut jejak langkah negara lain yang menyekat akaun Facebook kepada rakyat berikutan penyalahgunaan akaun berkenaan yang membawa keburukan kepada masyarakat.

Mengulas perkara itu, Ahmad Shabery berkata ibu bapa adalah pihak yang bertanggungjawab menyemai dan mendidik anak-anak agar mereka dapat menggunakan media sosial dan internet dengan bijak dan lebih bertanggungjawab.

" K i t a kena pakat ramai-ramai tolak orang yang suka bercakap bohong dan melemparkan tohmahan serta fitnah menerusi laman sosial...orang seperti ini tidak ada integriti dan sentiasa akan diawasi pada masa akan datang," katanya. -- Bernama

P/S: Kebebasan media diamalkan dalam negara kita membuktikan rakyat Malaysia tidak pernah disekat daripada sumber maklumat pelbagai/alternatif selain daripada media perdana. Tujuannya, supaya rakyat dapat menilai sendiri baik buruk kerajaan yang memerintah, membandingkan di antara kebenaran atau pembohongan pihak tertentu yang dibuat atas nama kebebasan bersuara. 

No comments:

Post a Comment