Monday, October 21, 2013

Sarawak perlu transformasi Pekerjaan

alt

KUCHING 20 Okt - Usaha sukar untuk memujuk anak memasuki sekolah teknikal atau kemahiran perlu diatasi.
Ketua Menteri Sarawak Pehin Seri Abdul Taib Mahmud berkata, kebanyakan pelajar berasa takut kerana beranggapan ia satu pembelajaran yang susah misalnya apabila melibatkan subjek Matematik.

"Jangan takut kepada Matematik, tidak begitu tinggi yang diminta untuk pembelajaran teknikal," katanya dalam ucapan perasmian Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun ke-50 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) dan Seminar Perihal Politik dan Pendidikan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Presiden 1 PBB yang juga Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Alfred Jabu Anak Numpang, Ketua Penerangan PBB Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem, Ketua Pergerakan Wanita Datuk Sri Empiang Jabu.

Abdul Taib yang juga merupakan Yang Dipertua PBB menjelaskan, antara strategi pembangunan di Sarawak adalah melatih anak-anak supaya dapat menjadi tenaga kerja mahir seterusnya membawa kepada suasana ekonomi yang lebih rancak. Bahkan kepentingan pendidikan vokasional adalah bagi merealisasikan (Sarawak Corridor of Renewable Energy) SCORE menjelang tahun 2030.

"Oleh sebab itu satu daripada strategi pembangunan penting di negeri Sarawak adalah melatih anak kita supaya menjadi pekerja teknikal," ujarnya.

Dalam masa sama beliau turut berkata tawaran sekolah yang memberi latihan sedemikian (kemahiran) masih kurang malah apa yang terdapat di sekolah-sekolah merupakan modul lapuk.

Justeru itu beliau berharap sistem berkenaan dapat diganti dengan yang lebih baik mengikut keperluan industri.

Tambahnya, kerajaan pusat diminta untuk menyediakan lebih banyak pusat-pusat latihan vokasional di Sarawak untuk melatih lebih ramai golongan muda dalam bidang kemahiran. Harapan beliau ialah institusi-institusi vokasional ini mampu melahirkan sehingga 20,000 tenaga kerja mahir dalam tempoh setahun.

"Tukar kepada sistem baru, ia mesti diperjuangkan menerusi bidang polisi supaya dapat tumpu bentuk pekerjaan di sini. Sarawak perlu berani mempunyai perjuangan khas untuk melatih anak sendiri sesuai dengan keperluan industrinya," ujar beliau.
alt

Sehubungan itu, beliau menggesa para pimpinan parti supaya memainkan peranan dengan mempromosikan kepentingan latihan kemahiran itu kepada generasi muda serta memberi penjelasan kepada masyarakat akan pentingnya mentransformasikan pekerjaan. Katanya lagi, dengan adanya tenaga kerja mahir yang mencukupi terutama di kalangan rakyat tempatan Sarawak, SCORE mampu mencapai matlamatnya di samping meningkatkan pendapatan per kapita Sarawak.

"Saya harap semua Yang Berhormat (YB) tak kira Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen patut mengambil bahagian supaya mempopularkan konsep pekerja teknikal ini supaya kita dapat pekerja teknikal yang mencukupi untuk tempoh masa 15 tahun akan datang. Perlu beri penjelasan dan pemahaman kepada masyarakat mengenai betapa pentingnya transformasi pekerjaan ini," tegas beliau.
 Sumber: rakyatnews.com

No comments:

Post a Comment