Wednesday, October 9, 2013

Pukulan Beduk selamatkan nyawa. Kampung Padang Tian, Matu Terbakar



MATU, Selasa — Lebih 12 keluarga tinggal sehelai sepinggang akibat 16 rumah kayu berasingan musnah dalam kebakaran di Kampung Padang Tian, Matu di sini awal pagi tadi. Kebakaran pada kira-kira jam 2.30 pagi itu, dipercayai berpunca dari bahagian dapur sebuah rumah di kampung itu menyebabkan lebih daripada 40 ahli keluarga hilang tempat tinggal.

Kebakaran itu turut memusnahkan dua buah rumah tempat memproses sagu milik penduduk kampung di sini. Seorang penduduk kampung yang enggan dikenali berkata, dalam kejadian itu, sepasang suami isteri warga emas berusia 70 hingga 80 tahun bersama seorang anaknya nyaris maut apabila rumah yang mereka diami dikatakan terbakar dari bahagian dapur.

Katanya, dalam keadaan mereka yang sedang tidur nyenyak itu, tiba-tiba anak perempuan mereka berusia 40 tahun tersedar dari tidur. “Semasa kejadian, anak perempuan warga emas terbabit sempat menjerit api... beberapa kali dari rumah mereka menyebabkan keluarga lain sedar dari tidur.“Mendengar jeritan wanita terbabit, beberapa keluarga yang tinggal berhampiran rumah yang terbakar itu mula sedar dan terus meninggalkan rumah untuk menyelamatkan diri bersama ahli keluarga masing-masing,” katanya.

Jelasnya, keadaan angin yang kuat juga menyebabkan beberapa buah rumah musnah dalam sekelip mata sehingga menyebabkan seluruh kawasan rumah terbabit ibarat padang jarak padang terkukur. “Penduduk kampung bertungkus- lumus untuk menyelamatkan harta benda mereka, namun usaha mereka gagal apabila keadaan bertambah sukar setelah api marak dengan begitu cepat akibat angin kuat.

“Malah hujan renyai yang turun sekejap tidak mampu memadam api itu menyebabkan beberapa buah rumah telah ranap dalam kejadian sekelip mata dan segala harta benda termasuk dokumen penting dan barang berharga milik mangsa tidak dapat diselamatkan,” katanya. Pegawai Bomba Kanan I, Balai Bomba Mukah, Abdul Rashid Haji Murni berkata, Pusat Gerakan Operasi Sarawak menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 3.15 pagi.

Menurut Abdul Rashid, seramai enam anggota bomba dengan sebuah jentera dan van dikerahkan ke lokasi kejadian dalam operasi memadam api serta melibatkan sebuah pam air milik Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dari Daerah Matu Daro.

“Selepas pihak kami menerima panggilan daripada orang awam, anggota Balai Bomba Mukah terus ke lokasi kejadian dengan mengerahkan enam anggota bersama sebuah jentera dan van. “Manakala anggota kami turut dibantu JPAM dari Daerah Matu Daro dengan kekuatan seramai lapan anggota serta sebuah pam air,” katanya kepada Utusan Sarawak hari ini.

Katanya, pihak bomba sampai ke lokasi kejadian sekitar jam 5.09 pagi dan menggunakan air sungai untuk mengawal api daripada terus merebak ke beberapa buah rumah kayu lain di kawasan kampung berkenaan. “Anggota bomba berjaya memadam api sepenuhnya pada jam 7.40 pagi dalam kejadian kebakaran tersebut. Namun setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta kerugian masih disiasat,” katanya.

Tambah beliau, kesemua mangsa kebakaran kini ditempatkan sementara di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daro dan Pejabat Daerah Matu Daro. Kebakaran tersebut merupakan kejadian yang terburuk pernah berlaku di Kampung Tian sekali gus menarik perhatian ratusan penduduk kampung yang turut sama membantu mangsa sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh anggota bomba dan JPAM.

- Utusan Sarawak Online

No comments:

Post a Comment