Bantahan ramai pihak terhadap cadangan kerajaan untuk menghapuskan Akta Hasutan 1948 sedikit sebanyak memberikan ruang kepada rakyat untuk menyatakan sokongan yang lebih kuat terhadap penguatkuasaan akta tersebut.
Terbaru pengerusi biro perlembangaan Majlis Perundangan Melayu (MPM), Tan Sri Abdul Aziz Abd Rahman membantah cadangan pihak tertentu yang mendesak supaya akta hasutan dihapuskan dan digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional.
Menurut beliau jika merujuk artikel 159 Perlembagaan Persekutuan, sebarang pindaan atau memansuhkan Akta Hasutan perlu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja terlebih dahulu.
Katanya lagi, 2 cadangan perlu ditambah ke dalam Akta Hasutan 1948 bagi menambah baik penguatkuasaannya bukan menggantikan dengan satu akta yang lain. Antara yang dicadangkan beliau ialah;
1) Menambah isu agama - Bukan agama Islam sahaja, tetapi apa-apa yang melibatkan agama lain supaya orang ramai tak boleh sentuh hal-hal keagamaan yang menjadi isu sensitif serta boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat negara ini.
2) Isu SSKM - Cadangan untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang membangkitkan isu berkaitan memisahkan Sabah dan Sarawak supaya keluar daripada persekutuan Malaysia.
MPM akan mengadap Majlis Raja-Raja untuk menyerahkan memorandum supaya Akta Hasutan 1948 dikekalkan.
Sebelum itu pada minggu lepas, Wanita UMNO telah mengadakan forum serta program di Kuala Lumpur bagi memberi penjelasan kepada rakyat berhubung risiko terhadap ancaman keselamatan dan keharmonian negara sekiranya akta terbabit dimansuhkan.
Melalui perjumpaan itu pihaknya juga akan mengumpul sejuta tandatangan sebagai tanda sokongan rakyat yang tidak setuju dengan pemansuhan akta berkenaan. Ketetapan dibuat hasil perbincangan bersama pemimpin serta wakil Wanita UMNO seramai 500 orang dari seluruh negara, yang mahu kerajaan mengkaji semula cadangan pemansuhan akta terbabit.
Kenyataan Najib mansuh Akta Hasutan
Agak menghairankan, sekalipun didesak oleh ramai pihak daripada pro-kerajaan dan beberapa NGO supaya mempertahankan Akta Hasutan, respon hambar yang ditunjukkan kepimpinan kerajaan pusat menunjukkan seolah-olah Datuk Seri Najib sudah 'dikunci' oleh keputusan untuk meneruskan hasrat memansuhkan akta tersebut.
Apabila disemak kembali untuk melihat siapa di belakang Perdana Menteri yang 'berpotensi' mempengaruhi beberapa keputusan beliau, penulis teringat kembali pada satu majlis yang dibuat pada tahun lepas,
- Penubuhan Majlis Konsultansi Perpaduan Negara (MKPN) atau NUCC.
Ditubuhkan pada 11 September 2013, susulan daripada Pilihanraya Umum ke-13. Terdiri daripada 29 anggota, antaranya Marina Mahathir (SIS), Wardina Safiyah, Saifudin Abdullah dan lain-lain.
Kalangan anggota yang dipilih daripada pelbagai pihak termasuk NGO dan pro-pembangkang sebagai penasihat kerajaan dalam mempromosikan perpaduan keharmonian negara kepada rakyat. Panel tersebut juga berperanan mengesyorkan cadangan penyatuan nasional kepada kerajaan sebelum dibincangkan kepada mesyuarat kabinet.
Pertubuhan MKPN ini telah menghantar cadangan supaya Akta Hasutan 1948 dimansuhkan dan digantikan dengan Akta Keharmonian yang merangkumi 3 jenis undang-undang baru iaitu,
- Jenayah Kebencian Kaum dan Agama (JKKA)
- Keharmonian dan Ketenteraman
- Suruhanjaya Harmoni dan Rekonsiliasi
Masalahnya, apakah MKPN bebas daripada dipengaruhi pihak lain?
Satu-satunya menteri dalam kerajaan yang pernah menyatakan sokongan untuk hapus akta hasutan secara terbuka ialah Datuk Saifudin Abdullah. Beliau juga antara orang yang membawa usul menggantikan Akta Hasutan dengan Akta Keharmonian Nasional ke Putrajaya.
Rujuk link
Pembangkang dalam Barisan Kepimpinan Kerajaan BN?
Peranan Saifudin Abdullah agak besar dalam MKPN. Namun siapa Saifudin Abdullah?
Kadang-kadang penulis keliru, di pihak mana Saifudin sebenarnya? Bagaimana seorang MP UMNO yang juga seorang timbalan menteri dibenarkan mempunyai pendirian bercanggah dengan parti dan beberapa dasar kerajaan dalam kabinet Datuk Seri Najib?
Kami sebagai penyokong BN bimbang dengan keadaan jika PR diberikan kedudukan istimewa dalam barisan kepimpinan kerajaan lebih-lebih lagi apabila ditunjukkan secara terang-terangan tanpa mengira perasaan pihak parti di peringkat akar umbi..
 |
| Menyokong ketua aktivis BERSIH? |
Ia boleh disalah tafsir, menjadi bom jangka dalam parti jika dieksploitasikan oleh musuh ketat UMNO iaitu DAP. Mencegah itu lebih baik daripada merawat, malangnya tiada siapa boleh pastikan di mana dan bagaimana hendak mengelakkan sifat pro-pembangkang dialu-alukan dalam kerajaan lebih-lebih lagi apabila melibatkan Presiden dan KP UMNO itu sendiri..
Saifudin Adullah dilihat lebih liberal dan terbuka kepada pembangkang. Tanyalah pada diri sendiri, siapa yang mula-mula membuka ruang untuk para mahasiswa untuk bergerak sebagai aktivis politik yang menentang dasar-dasar kerajaan sehingga ke hari ini?
Apakah kebebasan bersuara itu hanya dapat diterjemahkan melalui demonstrasi atau rusuhan?
Saifudin Abdullah dilihat akrab dengan Marina Mahathir yang merupakan aktivis Sisters in Islam. Beliau juga salah seorang daripada wakil dalam kenyataan media bersama SIS yang mempertahankan NGO itu daripada fatwa 'sesat' oleh MAIS, Kerajaan Negeri Selangor di Kuala Lumpur pada 6 November yang lalu.
Beliau juga dilihat seperti membuka ruang kepada rakyat untuk mengadakan demonstrasi bantahan kenaikan kos sara hidup sebelum ini.
Beliau merupakan anggota MKPN, satu pertubuhan yang bertanggungjawab mengekalkan perpaduan, keharmonian negara dan ketenteraman rakyat. Tetapi jika dilihat daripada kelibat beliau bersama aktivis-aktivis pro-pembangkang (BERSIH, PKR, pergerakan mahasiswa, KS Bawani) dan NGO Sisters in Islam, penulis merasakan ada sesuatu yang tidak kena.
Ada yang mendakwa MKPN diwujudkan hanya untuk selama 6 bulan sahaja. Ada juga yang mendakwa ia memainkan peranan penting dalam pembentukan Rang Undang-undang Baru menggantikan Akta Hasutan 1948. Persoalannya, adakah MKPN berperanan sebagai penggubal undang-undang yang melibatkan soal keselamatan untuk negara?
Bagaimana jika Pembangkang yang sebenarnya mencorakkan pentadbiran Kerajaan Pusat melalui MPKN yang selama ini kita anggap amat diperlukan dalam transformasi kepimpinan DS Najib? Apakah ini satu bentuk kepimpinan kerajaan perpaduan di antara kerajaan pusat bersama pembangkang secara senyap?