Monday, October 27, 2014

Komen KJ tentang ISU Alvin Tan dan Ali Mohd Jalil - Portal TMI Putar Belit..

Saya ada masalah besar dengan artikel yang dikeluarkan oleh sebuah portal pro-Pakatan ini (baca dibawah).

Artikel ini bermula dengan: "Keputusan Ali Abd Jalil dan Alvin Tan mencari suaka politik berbanding berdepan dengan sistem keadilan bagi kesalahan mereka merupakan simptom peningkatan kekecewaan anak muda berhubung tindakan tegas Putrajaya terhadap musuh politik, kata penganalisis."

Ini memberi gambaran seolah-olah kedua-dua individu ini terpaksa lari dari Malaysia, mencari perlindungan di luar negara sebab tidak mahu dizalimi oleh kerajaan yang tidak membernarkan kritikan dan kebebasan bersuara. Sebab itu ditulis tentang "tindakan tegas Putrajaya terhadap musuh politik."

Mari kita semak semula kes-kes Ali dan Alvin ini. Apakah kes mereka ini merupakan kritikan politik? Apakah mereka ini musuh politik kerajaan? Wajar kita semak semula segala details berkenaan kes mereka sebab mengikut spin artikel ini, mereka adalah pelarian politik yang menentang kerajaan dengan menggunakan hak kebebasan bersuara.

Dalam kes Alvin, ramai yang sedia makulm bahawa beliau didakwa di mahkamah bukan kerana mengkritik kerajaan tetapi kerana telah muat naik gambar 'bak kut teh halal' yang menimbulkan kemarahan umat Islam di Malaysia. Gambar tersebut boleh dilihat dibawah.



Dalam kes Ali pula, memang betul beliau mengkritik UMNO tetapi beliau didakwa di mahkamah bukan kerana itu tetapi kerana komen tentang institusi Raja. Antara komen beliau, mahu raja dihapuskan dan Sultan rasa negara ini "kepala bapak depa punya." Tulis "kami berani mati," ini baru kena dakwa di mahkamah terus lari.

Tengok permainan portal pro-Pakatan ini? Tak sebut langsung apakah kesalahan sebenar dua orang ini. Memberi gambaran seolah-olah mereka ini hero anak muda yang menentang kerajaan atau polisi kerajaan. Sengaja cuba tutup fakta-fakta kes dimana mereka didakwa kerana menghina perkara-perkara yang sensitif.

Nak jadikan mereka ini ikon orang muda? Nak kata mereka ini contoh bagi orang muda di Malaysia? Saya rasa majoriti anak muda Malaysia lebih suka melihat dua orang ini tidak kembali semula ke tanahair.

THE MALAYSIAN INSIDER

Rakyat cari suaka, penganalisis beri amaran pada Putrajaya kekecewaan meningkat

OLEH ANISAH SHUKRY DAN ELIZABETH ZACHARIAH
Published: 27 October 2014

Keputusan Ali Abd Jalil dan Alvin Tan mencari suaka politik berbanding berdepan dengan sistem keadilan bagi kesalahan mereka merupakan simptom peningkatan kekecewaan anak muda berhubung tindakan tegas Putrajaya terhadap musuh politik, kata penganalisis.

Jika Putrajaya terus menggunakan Akta Hasutan untuk mendiamkan pengkritik, Malaysia akan berdepan dengan masa depan yang mereka tidak bersedia untuk hadapi, kata penganalisis kepada The Malaysian Insider.

Dr Lim Teck Ghee yang mengetuai Centre for Policy Initiatives (CPI) berkata, kes Ali dan Tan menjadi trend terkini jika kerajaan terus bertindak autoritarian dan mengambil pendirian agama yang jumud.

“Ini akan menyebabkan mereka yang lebih berpendidikan dan berbakat merasa penindasan politik tidak boleh ditoleransi,” katanya, dan menambah ribuan lagi rakyat Malaysia walaupun tidak didakwa akan meninggalkan negara jika Putrajaya tidak menghentikan tindakan keras terhadap mereka yang berbeza ideologi politik.

“Tetapi mungkin kerajaan hari ini melihat dari sudut berbeza dan lebih suka musuh politik mereka menetap di luar negara berbanding dalam negara. Jika itu yang mereka rancangkan, terbukti mereka berjaya,” katanya.

Beliau berkata, Putrajaya silap jika percaya sekatan terhadap kebebasan bersuara rakyat tidak akan ada tindak balas. “Orang muda tahu hak asasi manusia dan undang-undang lebih daripada apa yang kerajaan fikir mereka tahu,” kata Lim.

“Jika mereka fikir tidak boleh mendapatkan keadilan daripada sistem Malaysia dan diberikan label yang menyusahkan sepanjang hidup mereka, lebih baik mereka ke negara yang menghormati hak asasi manusia dan masa depan mereka akan menjadi lebih cerah.”

Pengarah Merdeka Center Ibrahim Suffian bersetuju dan mengatakan anak-anak muda sekarang dipaksa untuk tidak bersuara dan Putrajaya akan menerima akibat daripada itu.

“Kita mempunyai angka pengundi muda yang besar. Dan jika kita takutkan mereka untuk bersuara sekarang, kita akan memaksa mereka ke ‘bawah tanah’ yang akan lebih mengecewakan.

“Walaupun ia merupakan proses panjang, jika ini berterusan dan peluang untuk berbeza pendapat ditutup, kita sedang mencipta sesuatu yang kita tidak bersedia untuk hadapi pada masa hadapan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata terlalu awal untuk mengatakan pendakwaan Akta Hasutan akan menyebabkan penghijrahan beramai-ramai aktivis dari Malaysia.

Dr Wong Chin Huat dari Penang Institute berkata kes Ali akan memberikan kesan kepada kekecewaan anak muda berbahasa Melayu dan anak muda kurang mampu terhadap kerajaan.

“Ali di luar sana dan melihat kepada karakternya yang suka melawan, dia akan terus bersuara dan menjadi suara rakyat Malaysia dalam buangan.

“Bercakap menggunakan nada agama, beliau membandingkan kesetiaan membuta tuli kepada raja sebagai satu pemujaan. Ini akan memberikan kesan kepada komuniti Melayu, terutamanya yang bercakap bahasa Melayu dan yang kurang mampu.”

Beliau berkata kes ini juga memberikan pengajaran kepada semua rakyat Malaysia tentang bagaimana kerajaan bertindak terhadap mereka yang mempunyai ideologi berbeza.

“Tindakan Ali mencari suaka akan mencipta debat: apakah perbezaan ideologi seharusnya dianggap sebagai jenayah atau diterima dengan baik?

“Lebih daripada itu, keselamatannya tidak dijamin kerajaan. Dia bukan sahaja dihukum dengan undang-undang akan tetapi dipukul polis dan tiada tindakan diambil.”

Lim berkata sekarang sudah tiba masanya mereka yang “mengaku berpendirian sederhana” termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk bersuara.

“Kelihatan terdapat tiga kem dalam kerajaan: golongan autoritarian, sederhana dan golongan tidak peduli, dengan kem autoritarian dan tidak peduli sedang berkuasa.

“Mereka (golongan sederhana) perlu segera memansuhkan Akta Hasutan dan polisi berkaitan dan menyingkirkan individu seperti Peguam Negara yang bertanggungjawab terhadap pendakwaan mengikut Akta Hasutan secara besar-besaran,” kata Lim.

Melalui tulisan di Facebooknya pada Sabtu, Ali mengatakan beliau terbang ke Sweden untuk mencari suaka di luar negara kerana beliau diancam samseng dan “kumpulan rasis Melayu.”

Ali berdepan tiga dakwaan mengikut Akta Hasutan kerana menghina kesultanan Johor dan Selangor di akaun Facebooknya.

Ali juga ditahan polis di penjara selama 22 hari sejak 8 September dan dibebaskan pada 29 September.

Amnesty International menyifatkan Ali sebagai "banduan hati nurani" sebagai usaha menghentikan apa yang mereka sifatkan "pendakwaan terpilih". – 27 Oktober, 2014.

No comments:

Post a Comment