Thursday, May 12, 2016

Parti TERAS dibubarkan di Sarawak

Ada eloknya parti pecahan daripada SPDP iaitu parti TERAS dibubarkan serta memberi sokongan padu kepada 4 komponen Barisan Nasional  Sarawak (SPDP, PRS SUPP dan PBB).

Kenyataan Pemangku Presiden TERAS, Datuk Peter Nansian bahawa parti itu tidak mempunyai hala tuju yang kukuh amat tepat dan menepati gesaan Ketua Menteri yang tidak menerima parti lain sebagai parti komponen Barisan Nasional selain daripada 4 parti yang sedia ada.

Pilihanraya Negeri yang baru berlalu telah mengajar kita betapa pentingnya kesepakatan dalam kerjasama sesama parti komponen. Jangan seperti parti Amanah yang terbit daripada pecahan PAS yang akhirnya bersaing sesama sendiri dalam perebutan kerusi DUN yang dipertandingkan.

Pentingnya bersatu-padu dalam kepimpinan selain meyakinkan rakyat, ia dapat mengekang sebarang usaha orang berkepentingan daripada memecahbelahkan kerjasama di antara parti komponen dalam Barisan Nasional.

Parti mesra-BN mirip SWP sudah berlalu. Yang tinggal hanyalah Barisan Nasional diiktiraf oleh Ketua Menteri, Tan Sri Datuk amar Adenan Satem selaku penaung kerajaan Negeri Sarawak.


Artikel di bawah adalah petikan daripada Borneopost

Tiada lagi hala tuju, proses pembatalan pendaftaran sedang dijalankan: Nansian



KUCHING: Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) tidak lagi mempunyai hala tuju kukuh apabila wakil rakyatnya tidak boleh kembali ke parti selepas menang pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) sebagai calon langsung Barisan Nasional (BN).

Justeru, tidak ada sebab untuk parti mesra BN itu terus wujud, demikian menurut Pemangku Presiden TERAS Datuk Peter Nansian Ngusie.

Selepas berunding dengan ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif, katanya, mereka bersetuju untuk membubar dan membatalkan pendaftaran TERAS dan proses itu sedang dijalankan.

“Pada Pilihan Raya Negeri Ke-11, tiga YB (wakil rakyat) dipilih untuk bertanding, manakala dua lagi digugurkan. Apabila dipilih untuk bertanding, mereka berjanji untuk menyertai parti komponen BN sedia ada dan tidak boleh kembali kepada TERAS.

“Oleh itu, TERAS sudah tidak ada tujuan lagi dan tiada sebab untuk terus mewujudkan TERAS,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Tiga wakil rakyat yang dipilih sebagai calon langsung BN dalam ‘Pasukan Adenan’ ialah bekas Presiden TERAS Tan Sri William Mawan Ikom, Rosey Yunus dan Paulus Palu Gumbang yang masing-masing menang di kerusi Pakan, Bekenu dan Batu Danau.

Manakala, Nansian dan Datuk Sylvester Entri Muran tidak terpilih untuk mempertahankan kerusi masing-masing di Tasik Biru dan Marudi, apabila ia diberikan kepada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Nansian berkata, pembubaran parti itu dijangka akan terus mengukuhkan BN apabila kurang parti untuk ditangani oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang juga Pengerusi BN Negeri.

Menurut beliau, kesemua ahli TERAS yang dianggar lebih 20,000 orang akan mengikut langkah tiga bekas pemimpin parti iaitu Mawan, Rosey dan Paulus menyertai parti komponen BN yang dipilih.

“Ketiga-tiga YB dan kesemua ahli TERAS akan menyertai parti komponen BN secara satu kumpulan, seperti dipersetujui BN,” jelasnya.

Parti serpihan SPDP itu diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 2013 selepas Nansian dan Entri dipecat dari parti susulan krisis pucuk pimpinan.

Bagaimanapun, pada 2014 Mawan yang merupakan Presiden SPDP ketika itu membawa mereka masuk semula ke dalam parti, namun keputusan itu ditentang pemimpin-pemimpin lain dalam parti.

Kelima-lima mereka kemudiannya mengumumkan pada satu sidang media pada persidangan Dewan Undangan Negeri 15 Mei 2014, keluar dari SPDP untuk menyertai TERAS.

Borneopost

No comments:

Post a Comment