JAKARTA, 30 Jun (Bernama) -- Sebuah pesawat tentera jenis Hercules dilaporkan terhempas di sebuah kawasan perumahan awam di Kota Medan, Sumatera Utara pada kira-kira pukul 11.50 pagi waktu tempatan tadi.
Siaran stesen televisyen tempatan melaporkan pesawat itu terhempas di atas puluhan rumah awam di Royal Gardenia, Jalan Letjen Jamin Ginting, KM 9, Padang Bulan dan setakat ini 10 mayat dikeluarkan oleh pasukan keselamatan dan dibawa ke Rumah Sakit Adam Malik di Medan.
Setakat ini belum dapat disahkan mangsa yang ditemui terkorban itu sama ada tentera atau orang awam.
Pesawat Hercules A1310 jenis C-130 milik Tentera Nasional Indonesia Angkatan Udara (TNI AU) membawa 12 penumpang dan dilaporkan terhempas setelah beberapa minit berlepas dari Pangkalan Udara Soewondo, Kota Medan.
Pesawat itu dikendalikan juruterbang Kapten Sandy Permana dari Skuadron 32 Abdul Rahman Saleh, Malang, Jawa Timur dan antara nama pegawai dalam pesawat itu ialah Lt Udara Pandu Setiawan dan Lt Dian Sukma P.
Pembantu juruterbang ialah Kpt Riri Setiawan, Juru Radio Udara Bambang H, Juru Mesin Ibnu Kohar, serta dua pegawai muda Andik S dan Pelda Parijo.
"Jumlah korban mungkin banyak dan kerja-kerja mencari masih diteruskan dan setakat ini api yang membakar pesawat telah dipadamkan," seorang petugas pasukan keselamatan dipetik sebagai berkata dalam sebuah siaran berita televisyen.
Setakat ini belum ada kenyataan rasmi pihak berkuasa dan TNI AU mengenai tragedi ini.
Pada tahun 2005 sebuah pesawat komersial Mandala Airlines berjenis Boeing 737-200 yang membawa 112 penumpang dan lima anak kapal terbabit, terhempas dan dan meletup di tempat yang sama.
Sementara itu, Kepala Staf Komando Daerah Militer (Komdam) I Bukit Barisan Brig Jen TNI Cucu Sumantri dipetik oleh MetroTV sebagai berkata, dipercayai kesemua anak kapal pesawat itu terkorban dan kerja-kerja mencari dan menyelamat masih giat dijalankan.
Katanya, pesawat itu menuju ke Tanjung Pinang, Kepulauan Riau dan membawa tentera dari Pangkalan Udara Soewondo, Medan, Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma (Jakarta) dan dari Pangkalan Udara Ranai di Natuna, Kepulauan Riau.
"Para perajurit hendak menjalankan misi rutin pergantian personel untuk pertahanan pangkalan di Tanjung Pinang," kata beliau.
Orang ramai berpusu-pusu mengerumuni kawasan nahas untuk melihat keadaan nahas dari dekat |
Bahagian ekor pesawat sahaja yang masih dalam bentuk asal sementara bahagian lainnya telah berkecai |
Keadaan dahsyat pesawat C130 TNI berpunca kegagalan enjin. Desas desus menyatakan ia dipercayai terbalik dan terjatuh ketika cuba membuat pusingan untuk berpatah balik ke lapangan terbang. |
Gerakan mencari dan menyelamat giat dijalankan untuk mengesan mangsa-mangsa nahas |
Sebuah kenderaan mewah yang diparkir di tepi jalan turut musnah dalam tragedi ini. Turut musnah secara total ialah 2 buah rumah milik penduduk tempatan. |
Gambar sebelum api marak tidak lama selepas pesawat terhempas |
Pandangan udara keadaan pesawat malang C130 milik TNI yang terhempas |
Anggota TNI mengalihkan roda pesawat malang dalam usaha mencari mangsa nahas |
Kesukaran menghadapi keadaan serpihan pesawat sisa runtuhan bangunan yang bertaburan |
No comments:
Post a Comment