Monday, June 6, 2016

Kenyataan Muhammad Ali yang mengemparkan dunia satu ketika dulu

Selamat menyambut Ramadhan, selamat berpuasa pada hari yang pertama ini dan hari-hari berikutnya sehinggalah menjelangnya Syawal. Semoga dipermudahkan dalam segala urusan beserta ibadah mudah-mudahan kita mendapat rahmat dan keberkatan di sini Allah. Amin.

*****

Baru-baru ini dunia dikejutkan dengan pemergian lagenda tinju dunia, Muhammad Ali yang telah kembali ke rahmatullah pada 3hb Jun 2016. Beliau bukan sahaja terkenal dengan karier tinjunya, tetapi juga disebabkan penghijrahan beliau kepada Islam serta dakwah yang cuba disampaikan kepada masyarakat Amerika ketika hayatnya.


39 tahun yang lalu beliau pernah menggemparkan para peminatnya dengan kenyataan-kenyataan beliau tentang alam selepas kematian, nasib beliau setelah mati dan arah tujunya samada ke syurga atau neraka.

Apa yang dikuatiri beliau pada 39 tahun yang lalu, bagaimana nasibnya selepas mati kini mula dilalui beliau. Hanya Allah sahaja yang maha mengetahui keadaan setiap hambanya yang telah mati, wallahualam.

Sebagai umat Islam, bersamalah kita mendoakan keselamatan beliau moga-moga ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin..

Di bawah ialah terjemahan video beliau yang diringkaskan apabila ditanya oleh salah seorang peminatnya mengenai apa yang akan dibuat beliau setelah meninggalkan sukan boxing/tinju dunia..




Soalan Peminat :

Saya ingin tahu apakah yang anda akan buat setelah bersara daripada sukan Boxing?

Muhammad Ali :

Setelah saya bersara daripada Boxing, saya benar-benar tidak tahu.. Saya mahu menyatakan sesuatu di sini, ia mungkin akan membuatkan anda semua terfikir… kehidupan ini benar-benar singkat.

Jika diambil kira kesemua perjalanan anda, semua waktu tidur anda, persekolahan anda, hiburan anda, berkemungkinan separuh daripada kehidupan anda itu tidak berbuat apa-apa (sia-sia). Saya sudah berusia 35 tahun sekarang.. dalam 30 tahun lagi, saya akan berusia 65 tahun. Kita tidak lagi mempunyai pengaruh, kita tidak mampu berbuat apa-apa pada usia 65, isteri anda akan memberitahukan itu kepada anda kelak.

Dan apabila anda berusia 65 tahun, tidak banyak lagi perkara yang boleh dibuat. Jadi, sedarkah anda yang saya akan berusia 65 pada 30 tahun akan datang?

Dalam 30 tahun itu, saya mengambil masa untuk tidur selama 9 tahun. Saya tidak mempunyai 30 tahun waktu siang. Saya kena berangkat pulang ke Amerika dan ia mengambil masa 6/7 jam. Kesemua perjalanan saya, mungkin mengambil masa 4 tahun untuk 30 tahun yang akan datang. Television, movie, hiburan, kesemuanya mengambil masa sekitar 3 tahun.. Daripada 30 tahun tersebut, saya berkemungkinan hanya mempunyai lebih kurang 16 tahun sahaja waktu produktif.

Jadi beginilah keadaannya apabila kita membahagikan kehidupan kita satu persatu. Apa yang saya akan buat dalam 16 tahun akan datang? Apakah perkara terbaik yang saya boleh buat?

- Mempersiapkan diri untuk menghadapi Tuhan (Allah Azzawajalla)

Pulang ke kampung halaman, menguruskan perniagaan, mengajar para peninju, kesemuanya tidak akan membawa saya ke syurga (al Jannah). Berapa ramai kalangan di sini yang percaya wujudnya Maha Pencipta, percaya wujudnya Tuhan? Berapa ramai yang percaya terdapatnya satu kuasa yang mencipta matahari, bulan, bintang?

Berapa ramaikah yang percaya bahawa kesemua ini tidak akan wujud dengan sendirinya? Ada sesuatu yang lebih bijak daripada kita yang telah menciptanya.

Berapa ramaikah yang percaya akan kewujudan tuhan?
Berapa ramai pula yang percaya tuhan tidak wujud?

Baiklah, jika saya memberitahukan anda, gelas ini wujud secara tersendiri.. gelas ini mencipta dirinya sendiri, tiada manusia yang membuatnya adakah anda akan percaya? Adakah anda akan percaya benda ini membuat dirinya sendiri?

Tidak…

Bila saya memberitahu anda, anda tentu tidak akan mempercayainya, bukan?

Jika saya memberitahu yang stesen television ini wujud dengan sendirinya, tanpa dibuat manusia, anda akan mengatakan yang Muhammad Ali sudah gila…

Baiklah, jika gelas ini tidak mampu membuat dirinya sendiri, jika saya memberitahu pula bahawa pakaian yang anda pakai itu menganyam dirinya sendiri, tiada sesiapa menciptanya, serta membuat dirinya sendiri, sudah tentu anda tidak akan percaya..

Tetapi, jika pakaian itu tidak membuat dirinya sendiri, gelas itu pula tidak mampu membuat dirinya sendiri, jika bangunan ini tidak dibuat dengan sendirinya, bagaimana pula Bulan boleh wujud di luar sana? Bagaimana bintang dan Jupitar, Neptune dan Marikh dan matahari, bagaimana dengan alam semulajadi?

Bagaimana kesemua ini boleh datang jika tiada kebijaksanaan, sesuatu perancang yang mengatur segalanya? Jadi apa yang ingin saya katakan di sini, ialah saya percaya bahawa kita semua akan diadili. Haruskah orang seperti Hitler yang telah membunuh kesemua kaum Yahudi terlepas begitu sahaja?

Seseorang akan menghukumnya.. mungkin dia tidak dibalas pada masa ini, tetapi dia akan dihukum apabila dia sudah mati kelak. Dalam neraka selama-lamanya..

Jadi, apa yang saya akan buat bila saya meninggalkan sukan Boxing?

- Ialah membuat persiapan untuk menemui Tuhan, kerana pesawat saya mungkin boleh meletup (bila-bila masa). Bukankah pesawat kadang-kala meletup di negara ini dan terhempas? Bukankah manusia mati setiap hari? Ia sesuatu yang menakutkan untuk memikirkan yang saya akan ke neraka dan dibakar selama-lamanya.

Jadi apakah yang akan saya buat?

Sebab kenapa saya ambil keputusan berikut, saya akan terangkan kepada anda persoalan tadi.. Anda bertanyakan soalan yang tidak boleh saya jawab dengan begitu sahaja..

Apabila saya meninggalkan sukan Boxing atau apabila saya melaluinya.. saya akan buat segala yang termampu untuk membantu orang ramai, itulah sebabnya saya berada di sini bersama Johnny Walker. Di sini terdapat lelaki miskin, sepanjang perjalanannya untuk datang ke Amerika.. Terdapat juga segolongan budak lelaki yang memerlukan sedikit wang.. dan ‘seseorang’ telah menyeru saya untuk membantu mereka.

Tuhan sedang memerhatikan saya.. Tuhan tidak memuji saya kerana telah menewaskan Joe Frazier. Tuhan tidak memberikan sesuatu apapun kerana Joe Frazier..

Tuhan tidak kisah satu apapun tentang England atau Amerika sepertimana kita yang mengambil berat tentangnya.. Ia semua adalah milikNya. Dia mahu melihat bagaimana perlakuan kita terhadap orang lain, bagaimana kita membantu orang lain..

Jadi, saya akan dedikasikan (meluangkan) hidup saya, menggunakan nama dan pupolariti saya untuk membantu badan kebajikan, membantu orang ramai, menyatukan manusia.. manusia mengebom antara satu dengan yang lain disebabkan perbezaan agama, kita mahukan seseorang dalam dunia ini membantu wujudkan keamanan. Jadi bila saya mati, jika syurga itu ada, saya mahu melihatnya.
Kerana berapa lama kita boleh hidup? 80 tahun?

Kebarangkalian sebahagian daripada kita dalam bilik ini mungkin akan mati dalam 20 tahun akan datang, sebahagian mungkin akan mati 50 tahun akan datang, sebahagian akan mati 30 tahun, sebahagian lagi mungkin akan mati 60, 70 tahun akan datang.. Lambat laun, kita semua akan mati juga.

Dan jika anda hidup, katakan untuk 125 tahun ianya tidak mungkin bukan? Katakan anda hidup sehingga 250 tahun dan mengecapi seks untuk 145 tahun dalam waktu tersebut, akhirnya anda akan sampai ke penghujungnya juga selepas itu.  Jadi kita tidak mempunyai usia melainkan 80 tahun di atas muka bumi. Inilah ujian bagi melihat bagaimana kita menggunakan kehidupan kita, ke arah syurga atau neraka..

Ini bukanlah kehidupan.. kehidupan sebenar ialah dalam diri anda. Tubuh anda akan menjadi tua. Sebahagian daripada anda akan melihat cermin, anda tidak lagi mempunyai gigi, rambut anda akan mulai gugur, tubuh anda semakin uzur, tetapi roh dan jiwa anda tidak akan mati..ia akan hidup selamanya. Jadi tubuh hanyalah perumah bagi roh dan jiwa anda.

Tuhan sedang menguji kita, bagaimana perlakuan kita terhadap orang lain.. bagaimana kita menjalani kehidupan untuk menuju tempat tinggal sebenar, di syurga. Benda-benda fizikal tidak selamanya akan kekal. Kereta saya, bangunan ini akan berada di sini sedangkan manusia yang membinanya telah pun mati.

Terdapat ramai raja-raja serta permaisuri terdahulu di England, kesemua mereka sudah mati. Selepas ini satu akan pergi sementara yang satu lain akan bakal mengganti. Jadi, kita tidak tinggal di sini, kita cuma pemegang amanah. Kita tidak memiliki apa-apa pun, bahkan anak-anak bukanlah milik anda… jika anda fikir saya berbohong, isteri anda bukan milik anda. Anda tidak memiliki anak-anak anda, anda juga tidak memiliki keluarga anda, jadi apakah yang saya maksudkan?

Perkara yang paling penting ialah apa bakal terjadi kepada diri anda sekiranya anda mati, adakah anda akan ke syurga atau ke neraka..  dan ia adalah untuk selama-lamanya (kekal). Berapa lamakah, selama-lamanya itu?

Bayangkan, ambil contoh gurun sahara.. ia mengandungi pasir yang luas bukan? Kemudian bayangkanlah sebutir pasir yang kita ambil daripada gurun tersebut, mewakili 1000 tahun.. dan sekiranya anda mati dan  dimasukkan ke dalam neraka, anda akan terbakar selama-lamanya, kekal abadi. Tiada pengakhiran..

Berapa lama (tiada pengakhiran)?

Ambil gurun sahara, saya akan menyuruh anda menunggu untuk 1000 tahun dan 1000 tahun selepas itu, saya mahu anda ambil lagi sebutir pasir demi sebutir sehinggalah tiada lagi tinggal pasir di gurun tersebut. Bayangkanlah berapa lamanya tempoh itu..

Maksud saya, Amerika telah wujud kini 200 tahun usianya. Terdapat 800 tahun lagi untuk mencapai 1000 tahun tersebut, ia benar-benar menggerunkan saya untuk memikirkan sekiranya saya mati satu hari kelak kemudian pergi ke neraka. Kapal terbang saya mungkin boleh meletup, saya sentiasa mengembara dan Tuhan akan mengadili roh saya.

Kepada pihak polis, saya berkemungkinan membunuh orang lain, saya berkemungkinan merompak orang lain, pihak berkuasa mungkin tidak dapat menangkap saya. Pihak FBI, Scotland Yard, mungkin tidak dapat menangkap saya, tetapi apabila saya mati kelak, seseorang yang memerhatikan saya akan mencatat segalanya dan SAYA TIDAK AKAN DAPAT MELEPASKAN DIRI.

Saya akan dibakar selamanya, saya dihantar ke neraka. Jadi apa yang saya akan lakukan bila meninggalkan Boxing, saya hanya mempunyai 16 tahun untuk menjadi produktif, mempersiapkan diri untuk bertemu Tuhan dan kembali ke tempat yang lebih baik. Adakah ia masuk akal?

Terima Kasih..


No comments:

Post a Comment