Tuesday, December 22, 2015

PBB Akan Tampilkan 10 Muka Baru menjelang Pilihanraya Negeri Sarawak 2016




KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan menampilkan sepuluh muka baru dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Lima daripada calon muka baru tersebut bakal menggantikan muka lama yang telah membuat keputusan untuk berundur diri, manakala lima lagi akan bertanding kerusi baru di kawasan persempadanan semula yang diluluskan parlimen baru-baru ini.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mendedahkan perkara tersebut dalam sidang media selepas penanggguhan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di pejabatnya di sini hari ini.

Sebelum ini, beliau yang juga Presiden PBB memberitahu parti PBB akan mendapat sekurang-kurang 5 dari 11 kerusi DUN baru.

Pertambahan 11 kerusi DUN baru berikutan usul persempadanan semua bahagian Pilihan raya negeri Sarawak telah diluluskan Dewan Rakyat 2 Disember lepas, ini menyaksikan Sarawak memiliki 82 kerusi DUN yang bakal dipertandingkan dalam PRN-11, berbanding 71 kerusi ketika ini.

Mengulas mengenai agihan 11 kerusi baru yang diwujudkan setelah persempadanan semula, Adenan yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata setiap parti komponen BN negeri akan mendapat sekurang-kurangnya satu kerusi DUN baru untuk dipertandingkan.

11 kerusi DUN baru berkenaan ialah Batu Kitang, Stakan, Serembu, Bukit Semuja, Gedong, Kabong, Tellian, Bukit Goram, Murum, Samalaju dan Mulu.

Menjawab soalan pemberita mengenai krisis yang melibatkan “SUPP-UPP” dan “SPDP-TERAS”, beliau berkata sekiranya parti terlibat tidak dapat mencapai kompromi, sebagai pengerusi BN negeri, beliau perlu membuat keputusan tegas untuk mengemukakan satu pasukan kuat dan bersatu pada pilihan raya itu nanti.

“Manakala peruntukan jumlah kerusi untuk parti-parti berkenaan akan diselesaikan dengan sewajarnya sebelum berlangsung hari penamaan calon,” katanya. – Sarawakiana

No comments:

Post a Comment