Wednesday, October 14, 2015
Perutusan Ma’al Hijrah 1437/2015 YAB Perdana Menteri
Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
1. Alhamdulillah, fajar 1 Muharam 1437 takwim hijri kini menyingsing menerangi alam dan kita akan dihubungkan kembali kepada peristiwa agung yang memberikan impak yang tinggi kepada ketamadunan insan, iaitu peristiwa hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat baginda ke Kota Madinah. Kota bertuah ini yang sebelumnya bernama Yathrib yang bermakna ‘dukacita’ telah bertukar kepada Kota Yang Bercahaya (Madinah Munawarah). Cahaya yang memancar daripada Madinah inilah, yang telah menjadi sumber kepada transformasi ketamadunan dan kemakmuran manusia kemudiannya.
2. Limpahan cahaya ini akhirnya telah mewarnai serta mencorakkan Tanah Arab, Eropah, Afrika, benua kecil India hatta ke China. Sudah tentu gugusan Nusantara juga telah disinari dengan cahaya rahmat ini. Malah ada pakar-pakar sejarah menukilkan bahawa sejarah Islam di Nusantara ini telah bermula seawal zaman hayat baginda Nabi Muhammad SAW lagi.
3. Sesungguhnya, sejarah adalah sumber penting untuk kita mengorak langkah ke hadapan serta paksi dalam kita membentuk wawasan. Wawasan nasional kita adalah iaitu untuk menjadi sebuah Negara Islam moden yang maju dan berpendapatan tinggi. Manakala wawasan global kita pula ialah untuk menjadikan dunia yang mengandungi panca negara, bangsa, bahasa dan agama ini sebagai medan kehidupan yang sejahtera dan makmur.
4. Itulah juga yang telah saya tekankan semasa berucap dalam perbahasan umum Sesi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-70 di New York tempohari. Saya menegaskan sesebuah Negara Islam itu berperanan untuk mempromosikan perlumbaan dari segi kemuliaan, pengetahuan, kebaikan, simpati dan merendah diri – tetapi yang penting, tanpa paksaan.
5. Hari ini kita berhadapan dengan corak ekstrimisme yang pelbagai bentuk wajahnya. Di satu pihak, ekstrimis radikal seperti kumpulan IS membuat onar mencalar kesucian wajah Islam yang sebenar. Pada satu hujung yang lain, muncul pula kelompok pelampau yang menjadikan liberalisme sebagai akar-budi mereka. Pelampau liberalisme ini telah melonggarkan segalanya hatta agama. Ini juga satu ekstrim yang membawa ancaman kepada keselamatan dan kesejahteraan negara.
6. Marilah kita teruskan perjalanan transformasi kita, untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bertuah yang berpegang dengan pendekatan wasatiyyah bersendikan Maqasid Syariah dengan Ahli Sunnah wal Jamaah adalah pegangan kita. Walau cabaran ekonomi dan politik menyergah kita, namun dengan izin Allah Taala, cita-cita kita untuk menjadi sebuah negara maju yang makmur akan kita teruskan.
7. Semoga dengan semangat hijrah ini menjadi sumber kesungguhan dan iltizam kita untuk menjadi umat yang terbaik dan mampu membawa rahmat risalah Islam ini keseluruh alam sepanjang zaman.
Sekian, wabillahittaufik wal hidayah wassalaamu’alaikum warahmatullahi wabarakaatuh.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment