Sunday, February 1, 2015

Jambatan Golden Bridge Kuching bukan bahan politiking sampah


Jambatan Golden Bridge yang menghubungkan kampung seberang dengan pusat bandar raya melalui waterfront Kuching bukan untuk laluan kenderaan sebaliknya untuk pejalan kaki bagi mengukuhkan aktiviti ekonomi penduduk kampung serta menggalakkan pelancongan ke kawasan itu.

Projek pembinaan jambatan itu yang menelan belanja sekitar RM35 juta dijangka akan memberi impak yang besar terhadap kegiatan ekonomi penduduk tempatan yang tinggal di kampung-kampung seberang serta menjadi tarikan baru bagi pelancong-pelancong di Bandaraya Kuching.

Pembinaan ini tidak kena mengena langsung dengan agenda politik di negeri Sarawak mahupun kerajaan pusat di Putra Jaya. Rakyat Sarawak sudah matang dengan eksploitasi kebebasan bersuara pembangkang yang hanya mahu merencatkan pembangunan dan kemudahan yang dirancang semata-mata, supaya kerajaan pemerintah dilihat gagal dan korup dalam pentadbirannya.

Suara-suara sumbang politik sampah turut sama kedengaran ketika pembinaan KLCC, Litar Sepang, Putra Jaya, KLIA2 dan sebagainya kononnya ia satu pembaziran, namun lihatlah manfaatnya kepada rakyat sekarang.

Di bawah adalah berita baik buat warga-warga Matang dan sekitar Batu Kawa, kerajaan  negeri telah merancang pembinaan jejambat bagi keselesaan pengguna jalanraya terutama ketika waktu puncak ke pusat Bandaraya.


RM145j bina jalan baharu dari Matang ke Batu Kawa

KUCHING: Kementerian Kerja Raya meluluskan pe­runtukan berjumlah RM145 juta untuk kerajaan negeri membina jalan baharu empat lorong dari Matang (Emart) menuju ke Batu Kawa.

Menteri Pembangunan In­frastuktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Ja­wong berkata, projek tersebut turut melibatkan pembinaan jambatan atau baraj yang akan merentangi Sungai Sarawak bagi menghubungkan laluan alternatif itu.

“Hari ini (semalam) merupakan penetapan tapak bagi pembinaan jalan baharu ini dan akan dilaksanakan selepas perbincangan antara Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mengkaji bentuk jambatan atau baraj yang akan dibina.

“Jalan baharu empat lorong dari Matang ke Batu Kawa berserta jambatan atau baraj ini merupakan fasa pertama di mana projek ini akan disusuli dengan fasa kedua melibatkan kerja-kerja pembinaan jalan dari Batu Kawa ke Jalan Kim Hin,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penepatan Tapak Jalan Ba­haru Empat Lorong Matang (Emart) ke Batu Kawa di pekarangan parkir kenderaan Pusat Komersial Lee Ling di sini, semalam.

Manyin berkata, selain pembinaan jalan baharu sebagai laluan alternatif ke­pada penduduk dari kawasan Matang menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuch­ing (LTAK) dan Kuching Sentral, kerajaan turut mer­ancang untuk membina lima lagi jejambat di bandar ini.
“Satu daripada jejambat yang akan kita bina ialah di Bulatan Datuk Kipali yang menghubungkan Matang, Petra Jaya, Jalan Astana dan Satok yang mana telah kita kemukakan kepada pihak kementerian.

“Empat lagi jejambat mas­ing-masing akan kita bina di Jalan Mendu, Batu Lintang, Jalan Keretapi, Rock Road dan di Stutong dengan ang­garan kos RM70 juta bagi setiap jejambat.

“Bagaimanapun kos sebe­nar mungkin lebih rendah berdasarkan kepada jejambat Jalan Song yang hanya mene­lan perbelanjaan RM48 juta,” ujarnya.

Mengulas mengenai projek itu, ia akan melibatkan jarak sepanjang lapan kilometer (km) bermula dari bulatan Emart Matang menyeberangi Sungai Sarawak ke Stapok dan dihubungkan ke Jalan Stapok Utama.

Dari Jalan Stapok Utama, jalan baharu ini akan di­hubungkan ke Jalan Batu Kawa seterusnya ke Jalan Kim Hin menuju ke LTAK dan Kuching Sentral.

Skop kerja melibatkan naik taraf jalan sedia ada iaitu Jalan Matang/Kampung Meroh dan membina jalan baharu pada jarak 1.5 km dari bulatan Emart ke jambatan baharu yang dicadangkan merentangi Sungai Sarawak.

Projek ini turut melibatkan kerja-kerja menaik taraf bu­latan Emart kepada persim­pangan lampu isyarat, menaik taraf persimpangan lampu isyarat dari Jalan Stapok Utama ke Jalan Batu Kawa serta pemasangan lampu jalan dan lain-lain.

Anggaran projek berjum­lah RM145 juta melibatkan kerja-kerja mengenal pasti tapak, pembinaan jalan ba­haru, menaik taraf jalan se­dia ada, membina Jambatan Sungai Sarawak, pampasan tanah, yuran perunding bagi rekaan dan penyeliaan serta lain-lain.

Dalam pada itu, cadangan jalan baha ru ini akan mem­beri manfaat kepada kira-kira 50,000 pengguna jalan di kawasan ini untuk ke desti­nasi yang ditujui tanpa perlu melalui pusat bandar.

Turut hadir, Menteri Pe­rumahan dan Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Menteri Muda Pembangunan In­frastruktur Datuk Daud Abdul Rahman, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Yong Khoon Seng, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof serta yang lain. - Borneopost

No comments:

Post a Comment