Saturday, June 11, 2016

Terbaik - Intipati perbahasan oleh YB Fazzrudin dalam Sidang Dewan Undangan Negeri buat pertama kali.


Buat pertama kali, YB Fazzrudin Abd Rahman telah menghadiri sidang DUN yang pertama selepas pembentukan Kabinet Kerajaan Negeri Sarawak 2016.

Di bawah berikut merupakan antara catatan ringkas mengikut pengolahan penulis melalui rakaman dan gambar yang diletakkan sebagai ilustrasi kepada pembaca.

*****

YB Fazzrudin Abd Rahman
Mukadimah

Setinggi-tinggi penghargaan kepada para pengundi yang telah memilih beliau kerana memberikan peluang untuk berkhidmat dan mewakili mereka dalam DUN Sarawak.

Setinggi-tinggi terima kasih juga beliau ucapkan kepada mantan ADUN N6 Tupong, YB Datuk Daud Abd. Rahman yang telah banyak berjasa dalam membangunkan kawasan Tupong. Kerjasama Ahli Parlimen Petra Jaya bersama mantan Adun YB Datuk Daud merupakan salah satu resepi kejayaan Barisan Nasional, insyaAllah akan meneruskan perjuangan beliau demi kesejahteraan rakyat di N6 Tupong.

Kejayaan Barisan Nasional melalui keputusan pilihanraya yang lepas menunjukkan bahawa belia-belia di negeri Sarawak ini menyokong teguh kepimpinan YAB Ketua Menteri Sarawak. Ia juga adalah disebabkan inisiatif-inisiatif ataupun usaha-usaha Ketua Menteri yang dekat di hati rakyat terutama manifesto pilihanraya yang memfokuskan pembangunan dan pengiktirafan belia.

Antara lain inisiatif belia yang mengambil kira kebajikan rakyat Sarawak amnya dan kesannya terhadap masyarakat Tupong khasnya adalah;

  • Pemansuhan Tol di Jambatan Tun Salahuddin
  • Pemansuhan cukai tanah
  • Pemansuhan cukai GST bagi semua khidmat Majlis Perbandaran dan Kerajaan Negeri Sarawak.


Projek mega seperti PAN Borneo Highway juga akan memberikan impak ekonomi yang lebih baik kepada rakyat Sarawak khususnya syarikat-syarikat tempatan serta masyarakat yang mendiami di sepanjang kawasan jajaran lebuhraya.

Mengekalkan budaya bertoleransi, tidak ekstrimis dan terbuka kepada perbincangan yang matang agar berjaya menghadapi cabaran-cabaran yang akan datang. Mengingatkan diri serta menyeru kepada seluruh ahli dewan untuk berpegang teguh kepada prinsip ini agar keharmonian serta perpaduan kaum dapat dikecapi oleh anak cucu kita nanti.


Hidangan dimasak si anak dara,
Berbilang jenis berbagai rasa,
Belia menjadi harapan negara,
Meneruskan kesinambungan warisan bangsa


Program-program untuk Belia

Tahniah kepada Kerajaan Negeri yang telah menganjurkan program-program peningkatan belia seperti Sarawak Carrier and Training (SCAT FAIR) Fair yang memberi peluang kepada pelajar lepasan SPM untuk mencari peluang melanjutkan pelajaran dan latihan, atau lepasan-lepasan universiti atau kolej untuk mempertingkatkan lagi keupayaan mereka agar menjadi lebih berdaya saing.


Ini merupakan bukti kerajaan negeri sememangnya memberi penekanan dan pengiktirafan bahawa para belia merupakan modal atau aset yang begitu penting dan perlu diberi perhatian yang khusus.

YB Fazzrudin memohon agar statistik kejayaan program ini dalam pencapaian objektifnya hendaklah dikongsi bersama dalam sidang DUN kelak, serta memohon agar program yang berskala lebih kecil lagi dapat dilaksanakan.


Sukan Bola Sepak Kuching



YB Fazzrudin berasa amat bangga dengan usaha FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) telah julung kalinya menganjurkan perlawanan Liga Bolasepak Rakyat (LBR 2016) yang disertai oleh 111 buah pasukan daripada seluruh negara. Dan Pasukan Kuching, di mana beliau sendiri yang terlibat secara langsung telah menjuarai kejohanan tersebut baru-baru ini.

Ia membuktikan bahawa Sarawak mampu melahirkan juara dengan perancangan, ketekunan dan kerjasama yang erat di antara kerajaan dan persatuan-persatuan sukan.

Dengan itu, beliau memohon agar kerjasama yang lebih erat dapat dijalinkan di antara Kuching Division Football Association dan kerajaan negeri agar memberi peluang untuk mengembangkan potensi pasukan ini demi untuk mengharumkan nama Sarawak di peringkat kebangsaan.


Sukan Permotoran Kuching

Dalam tahun ini juga, beliau terlibat secara langsung dalam penganjuran Petra Jaya Motor Drag Race di Matang dan telah berjaya menarik minat penyertaan dari negeri-negeri daripada semenanjung Malaysia dan antarabangsa seperti Thailand, Singapura serta juara dunia dalam acara tersebut iaitu Greece.



Dengan itu, YB Fazzrudin memohon kerajaan untuk melihat kepada pembinaan Litar di lokasi yang tetap agar ianya dapat digunakan untuk penganjuran perlumbaan Cub Prix dan juga Drag Race. Jika kita mempunyai litar yang lengkap dan tetap, maka mungkin kita akan dapat memasukkan Sarawak sebagai salah satu lokasi bagi kejohanan Cub Prix Kebangsaan dan juga dapat menarik minat penyertaan pelumba-pelumba antarabangsa untuk kejohanan-kejohanan yang dianjurkan.

Jika ini berlaku, sudah pasti ia akan dapat menyumbang serta meningkatkan industri pelancongan sebagai daya tarikan kepada negeri kita pada masa akan datang. Antara lokasi cadangan yang boleh dipertimbangkan ialah di tempat letak kereta di Stadium Sarawak.

Ini sekaligus diharap dapat membendung kegiatan lumba haram yang berleluasa akibat dari ketiadaan tempat khusus untuk belia yang berkeinginan untuk berlumba di litar lumba.


Penempatan rakyat DUN N6 Tupong

Kawasan N6 Tupong merangkumi kawasan bandar, pinggir bandar dan sedikit kawasan luar bandar. Fokus kepada keutamaan cabaran penghijrahan masyarakat luar bandar ke kawasan  bandar untuk mencari peluang-peluang mempertingkatkan hidup mereka. Sudah tentu antara isu utama adalah tempat tinggal.

Pilihan-pilihan dihadapi oleh mereka antaranya menyewa rumah-rumah atau flat kediaman ataupun tinggal dirumah ahli keluarga malah terdapat juga kes-kes membina rumah kediaman di atas tanah yang bukan milik mereka. Merupakan cabaran yang amat tinggi sekali jika tidak diselaras dengan lebih baik di peringkat awal lagi.

Kementerian perumahan telah menyediakan pelbagai skim-skim perumahan untuk memudahkan masyarakat  yang memerlukan bagi memiliki rumah. Sudah tentu masyarakat yang menyewa flat-flat kediaman mahu menaiktaraf kehidupan dengan memiliki rumah-rumah yang lebih selesa.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kajian dan tindakan dapat dibuat untuk melihat semula kepada kemampuan penghuni-penghuni flat kos rendah sedia ada bagi mencari dan membeli rumah lain yang bernilai lebih tinggi dan lebih selesa. Mungkin peluang diutamakan kepada mereka yang mempunyai sewa bulanan yang baik dan tetap.



Selain itu, YB Fazzrudin memohon agar lebih banyak rumah-rumah kos rendah dan sederhana dibina di kawasan DUN N6 Tupong.


Pusat perniagaan untuk Para Belia

Untuk para belia yang memerlukan peluang-peluang pekerjaan serta peluang perniagaan, YB Fazzrudin memohon agar diwujudkan satu ‘One Stop Info Centre’ khas untuk menyalurkan maklumat-maklumat menyeluruh kepada belia-belia ini. Jika ia dapat dipertimbangkan serta diluluskan, beliau ingin menawarkan kawasan Tupong untuk dijadikan ahli projek bagi permohonan tersebut.

Pasar Uptown Satok di tempat letak kereta belakang civic center

Dari segi keusahawanan, model Satok Uptown amat baik sekali jika ia dijadikan model bagi kerajaan untuk membantu usahawan-usahawan kecil dan usahawan-usahawan  belia. DUN Semariang juga telah mengambil inisiatif dengan mewujudkan pusat perniagaan yang sama seperti Uptown Satok baru-baru ini.

Memohon agar kerajaan negeri mewujudkan model yang lebih kurang sama tetapi khas unutk belia dan juga kalau boleh dinamakan sebagai Pasar Malam Belia. Beliau juga memohon agar bantuan dan latihan dapat diselaraskan daripada pelbagai sumber dan disalurkan kepada usahawan-usahawan belia. Serta mengharapkan penyelarasan bagi memastikan pusat-pusat perniagaan ini saling bantu membantu dan bukannya bersaing dalam perniagaan masing-masing.


Isu Banjir Kilat

Pembangunan pesat di N6 Tupong merangkumi pembinaan perumahan serta premis-premis perniagaan di atas tanah yang dulunya belukar serta kebun getah, secara tidak langsung telah memberikan kesan negatif kepada masyarakat, seperti contoh Taman Sejoli Murni, Kampung Pinang Jawa, Jalan Matang Baru, Jalan Taman Malihah Batu Kawa yang sering dilanda banjir kilat.

Keadaan jalan di kawasan Malihah Batu Kawa ketika dilanda banjir kilat

Oleh itu beliau memohon terutama bagi kawasan Malihah Batu Kawa, memandangkan ia merupakan jalan utama yang melibatkan ribuan penduduk jika jalan tersebut dinaiki air, langkah jangka pendek sementara menunggu projek perparitan di kawasan terjejas mungkin boleh diturap semula atau ditinggikan jalannya agar kenderaan masih boleh melalui kawasan tersebut jika berlaku banjir kilat.

Beliau juga memohon status projek tebatan banjir atau projek perparitan kawasan kampung pinang jawa, projek perparitan jalan matang baru dan memohon kajian terperinci dilakukan terhadap isu bajir kilat di taman sejoli murni. Agar cadangan penyelesaian yang lebih konkrit dapat dihasilkan.


Isu Kesesakan Jalanraya



Selain itu, YB Fazzrudin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang telah membina jalan alternative dari EMart ke Sungai Maong dengan projek yang sedang dijalankan serta juga pembinaan Underpass di bulatan Datuk Kipali bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Beliau turut memanjangkan penghargaan kepada warden-warden Traffik yang bertugas bagi mengurangkan kesesakan di bulatan tersebut ketika waktu puncak. Bagaimanapun, beliau memohon agar pihak DBKU dan MPP agar dapat bekerjasama bagi mengatasi masalah sama di Jalan Matang menuju ke bulatan Matang berdekatan Emart yang sering menghadapi kesesakan ketika waktu puncak.

Turut sama dibahaskan ialah pertanyaan mengenai status permohonan projek pelebaran jalan daripada Matang Jaya ke Simpang Taman Malihah.


No comments:

Post a Comment