Sunday, January 4, 2015
Ujian Allah untuk Datuk Seri Najib...
Kepimpinan Najib Razak sedang diserang bukan hanya daripada pembangkang malah dari dari kalangan parti dan pro-UMNO sendiri. Kritikan sepatutnya bukanlah sesuatu yang negatif, ia harus dipandang baik kerana tujuannya ialah untuk memperbaiki kelemahan dalam perancangan atau tindakan terhadap sesuatu keputusan. Namun jika ia diterjemahkan secara melampau, kesannya bukan hanya pada DS Najib sahaja, malah terhadap parti dan pada rakyat yang memilih beliau keseluruhannya.
Sudah fitrah, manusia itu tidak ada yang sempurna. Tentu ada sahaja kelemahan dan kekurangannya. Satu-satunya pemimpin yang sempurna kepimpinannya dalam sejarah peradaban manusia telahpun meninggalkan kita 1436 tahun dahulu.
Apapun, pemimpin yang hidup di zaman kita dalam meneruskan tanggungjawab sebagai seorang ketua negara bukan satu perkara yang mudah. Bukan sahaja di masa kini teknologi dunia multimedia menjadi semakin pintar dan semakin canggih, bahkan iklim politik dan penyebaran maklumat juga menjadi satu ujian kepada sesiapa sahaja yang menjadi Perdana Menteri.
Kita hidup pada zaman diambang fitnah. Ketika Tun Mahahthir memegang tampuk pemerintahan sebagai PM, akses maklumat dan berita dikawal sepenuhnya oleh media perdana. Tidak wujud medium yang dinamakan facebook, twitter, watssapp dan sebagainya. Tidak ada sentimen politik yang meletakkan seseorang itu berisiko untuk difitnah. Kini, keadaan jauh berubah. Pendek kata, apa sahaja yang PM kita lalui semuanya tertulis buat tatapan rakyat.
Zaman Pak Lah
Ketika Abdullah Badawi menjadi PM, ramai reformis, aktivis NGO, penulis blog, pelajar, anak muda telah menghentam Abdullah Badawi. Pak Lah (nama gelarannya) telah dijadikan bahan gelak ketawa. Beliau turut diperlekehkan, dijadikan ikon PM tidur. Sedihnya yang menyerang beliau pula bukan dari pakatan rakyat sahaja, tetapi orang parti sendiri. Zaman kejatuhan BN dilihat berpunca dari kelemahan sistem pentadbirannya. Beliau dilihat gagal, ramai percaya ia didalangi oleh penyokong-penyokong UMNO sendiri yang mensabotaj 22 DUN dan 14 Parlimen sehingga menyumbang kepada kekalahan Barisan Nasional di empat buah negeri..
Disebabkan tekanan daripada pelbagai pihak, Pak Lah mengambil keputusan untuk mengundurkan diri. Datuk Seri Najib kemudian mengambil amanah untuk menggalas tanggungjawab yang sebelumnya disandang Pak Lah. Perlu diingat, keadaan politik dan dunia multimedia sudah berubah. Rakyat sudah semakin terdedah dengan lambakan maklumat daripada pelbagai pihak tidak kira daripada dalam mahupun luar parti, yang sahih hatta yang palsu pun turut sama disebarkan.
Di waktu inilah, kita lihat bagaimana seorang pemimpin diburuk-burukkan supaya kredibilitinya jatuh dan menjadi tidak popular di kalangan rakyat. Datuk Seri Najib pada kali ini menjadi sasaran atas semua isu yang berlaku di negara kita.
Tidak cukup dengan itu, beliau difitnah dan dikaitkan dengan segala amalan yang tidak baik walhal yang menghentam dasar beliau itu tidak pernah mengambil kira kesan positif yang terhasil daripada keputusan yang dibuat beliau.
Banyak keadaan harus dipertimbangkan untuk menjadikan umno sebuah parti yang terus relevan buat semua lapisan masarakat. Menjadi ketua yang bertanggungjawab dalam mencorakkan kepimpinan dengan didokong oleh parti-parti yang kepelbagaian bukan satu tugas yang mudah.
Pepatah melayu mengatakan, 'umpama menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berciciran'.. Cuba nyatakan, jika sesiapa pernah mengaitkan Najib sebagai rasis secara terbuka? Baik kaum melayu mahupun Cina dan India semuanya menyenangi beliau. Beliau menangani keadaan sebaik mungkin di sebalik provokasi kaum dan agama yang semakin menjadi-jadi pada masa kini. Apakah akan berlaku pada negara kita jika pemimpin kita tidak bijak menangani keadaan sedemikian?
MH17, MH370
Mungkin ada di antara yang mengkritik beliau masih belum lupa bagaimana DS Najib mengharumkan nama negara apabila menjadi satu-satunya pemimpin yang berjaya melembutkan pemberontak pro-Rusia di Ukraine dalam penyerahan kotak hitam pesawat MH17 dan jaminan akses ke kawasan medan perang yang mengancam keselamatan pasukan mana-mana negara dalam dunia ini. Diplomasi beliau bagaimanapun berjaya untuk tampil sebagai pihak berkecuali dalam konflik-konflik yang biasanya menuntut pendirian berpihak sebelum memasuki kawasan mereka.
Tragedi MH370 merupakan sejarah hitam negara, namun negara kita berhasil menyatukan dua buah blok, pro-Amerika dan negara Komunis dalam satu kerjasama SAR membabitkan pelbagai jenis aset, teknologi serta kemampuan yang sepatutnya menjadi rahsia bagi negara-negara kuasa besar yang terlibat.
Sehingga kini, belum ada mana-mana negara yang mampu mengetuai operasi yang melibatkan beberapa buah negara sehingga menjadi misi mencari yang terbesar dan termahal dalam sejarah selepas operasi SAR Amelia Earhart pada 1937.
PRU-13 telah membuktikan keberkeasanan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib yang telah berjaya merampas kembali Perak, Kedah dan Terengganu daripada Pakatan Rakyat. Ini merupakan satu keputusan yang mengejutkan di sebalik Tsunami Pakatan Rakyat dengan gabungan PKR, PAS dan DAP yang ketika itu berada di puncak kebangkitannya.
Menjadi peneraju parti bukan mudah, mengekalkan penguasaan parti juga bukan mudah. Banyak kemungkinan boleh berlaku sekiranya DS Najib gagal dalam tugasnya sebagai Perdana Menteri, kita akan lihat berlakunya ahli-ahli merusuh dalam pemilihan parti, fenomena lompat parti, seperti yang kita lihat seolah-olah menjadi budaya dalam parti pembangkang.
Ujian Allah untuk DS Najib
2015 dijangkakan menjadi tahun yang mencabar buat negara kita dari segi ekonomi, sosial dan lain-lain. Dengan permulaan 2015 yang menguji negara satu demi satu - bencana alam, tragedi kemalangan dalam aviator, mata wang RM yang lemah, penurunan harga petrol dunia dan sebagainya, merupakan antara indikator yang boleh kita jangkakan bahawa ekonomi negara pada tahun ini berada di tahap yang agak sukar.
Pembangunan semula infrastruktur bagi negeri Kelantan yang dilanda bencana banjir teruk, dilaporkan sebanyak RM1 Bilion, belum lagi negeri2 lain yang dilanda banjir termasuk Terengganu, Pahang, Perak, Johor dan lain2. Sungguhpun pelbagai ujian diberikan Allah bagi menguji rakyat di negara ini, negara kita masih di tahap baik.
Tidak ada tanda-tanda negara mengalami krisis ekonomi seperti yang berlaku pada tahun 1997. Bagi rakyat yang tidak memahami keadaan semasa, DS Najib yang berperanan sebagai Menteri Kewangan sudah tentu lebih tahu keadaan yang terbaik untuk negara kita.
Tun Mahathir pemimpin disegani oleh rakyat dan masyarakat dunia. Beliau juga digeruni oleh politikus kuasa Barat yang sentiasa memperlekehkan Islam dan kepimpinan di negara kita. Namun setiap pemimpin mempunyai masa dan zaman kemuncaknya sendiri. Beliau yang banyak berjasa kepada negara sehingga dikenali sebagai ikon Bapa Pemodenan negara. Namun demikian, berapa ramaikah kalangan rakyat yang sentiasa menghargai segala hasil usahanya terutama pengkritik-pengkritik media sosial di zaman fitnah sedang berleluasa sekarang? Atau sepatutnya dianggap biasa sahaja untuk menjadi salah seorang daripada mereka?
DS Najib mempunyai kekuatannya tersendiri. Beliau disenangi oleh rakyat dan masyarakat dunia. Setiap hari beliau menyerap segala bentuk kritikan dan serangan peribadi melibatkan diri dan keluarganya demi untuk mengekalkan kepimpinan parti sebagai peneraju dalam pentadbiran negara.
Tidak memadaikah semuanya dikorbankan untuk kepentingan negara, bangsa dan agama kita? Tanyalah pada Pak Lah, sekuat manakah DS Najib sehingga mampu bertahan disebalik satu persatu dugaan menghurungi beliau?
Pada pendapat penulis, biarlah apa orang nak kata. DS Najib ialah pemimpin kita, orang yang kita sendiri amanahkan dengan tanggungjawab dan ujian yang berat seperti ini. Negara kita terus membangun, rakyat tetap hidup dalam sejahtera. Itulah yang paling penting...
Labels:
Datuk Seri Najib Razak,
Malaysia,
UMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Najib perlu tenang dan semangat. Teruskan usaha yang baik. Semuga Allah memberkati.
ReplyDelete