Monday, August 15, 2016

Isu pembekuan Permit pekerja Petronas, semoga kepincangan berakhir dengan baik

Kita mengharapkan penyelesaian yang baik dapat dicapai demi kebaikan kedua belah pihak, Petronas dan Kerajaan Negeri Sarawak.

Sebagai rakyat sarawak, kami turut sama menyokong tindakan Ketua Menteri yang dibuat untuk memastikan kebajikan dan kepentingan anak Sarawak sebagai perkara yang perlu diutamakan.

Walaubagaimanapun, Kerajaan Negeri Sarawak juga haruslah mempertimbangkan keadaan beratus ribu anak Sarawak yang mencari rezeki di seberang laut seperti di Kuala Lumpur atau di negeri-negeri lain di Semenanjung tanpa sebarang masalah diskriminasi. Kerana kita tidak mahu isu pembekuan permit kerja ini kelak menjadi modal politik oleh mereka yang berkepentingan di kemudian hari.

Begitu juga keadaannya dengan Anak Sarawak yang mempunyai kemahiran dalam bidang Oil & Gas, namun terpaksa bekerja di luar negara kerana kurangnya peluang pekerjaan di negeri sendiri.

Toleransi merupakan kunci kesejahteraan masyarakat dan kestabilan negara kita Malaysia. Kekuatan ekonomi negeri pula tidak bergantung hanya pada pengurusan sumber manusia syarikat tertentu sahaja.

Saya yakin dengan kepimpinan Sarawak yang sedia ada mampu meningkatkan usahanya untuk menyediakan peluang pekerjaan untuk Anak Sarawak di negeri sendiri sama ada dalam jawatan Kerajaan atau di sektor Swasta.

Dan sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai pelbagai latar belakang yang berbeza, kita mahukan kerjasama erat terus terjalin dan kedua pihak dapat mencapai kata sepakat agar tidak ada pihak yang mengambil kesempatan untuk mengeruhkan lagi keadaan.

-Admin.

Pembekuan Permit Kerja Tiada Kaitan Dengan Penurunan Kuasa

KUCHING: Tindakan Sarawak membekukan sementara pengambilan baharu pekerja dari luar Sarawak bekerja dengan Petronas di negeri ini tiada kena-mengena dengan isu penurunan kuasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata ini kerana rundingan penurunan kuasa antara kerajaan persekutuan dan negeri masih berlangsung dan komitmen yang diberikan sangat positif.

“Ini adalah kali pertama tindakan seperti ini dikenakan ke atas Petronas selepas 1963 menggunakan kuasa autonomi negeri, menerusi undang-undang imigresen.

“Adakah tindakan ini menggambarkan kesungguhan kerajaan negeri mengenai isu-isu penurunan kuasa atau untuk menunjukkan kuasa autonomi mereka di bawah persekutuan?”ujarnya.

Beliau dalam satu kenyataan akhbar semalam menambah, tindakan diambil kerajaan negeri itu adalah untuk memastikan Petronas adil serta telus dengan Sarawak dalam mengurus operasinya di negeri ini.

Ujarnya lagi tindakan itu adalah kes terpencil dan tindakan bebas selepas menerima aduan daripada Suarah Petroleum Group (SPG) dan rakyat Sarawak secara keseluruhannya.

“Ini menggambarkan rakyat Sarawak lebih sedar hak-hak mereka di bawah perlembagaan dan kerajaan negeri bertindak mengikut kepentingan rakyat Sarawak seperti termaktub di bawah perlembagaan,”tegasnya.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong, berkata meletakkan moratorium atau pembekuan sementara adalah tindakan normal diambil Kerajaan Negeri Sarawak.

Beliau percaya kerajaan negeri akan bertindak adil dan telus dalam membuat keputusan terbaik selepas Petronas mendedahkan maklumat terperinci terkini mengenai pekerja mereka di Sarawak dan menjelaskan tindakan mereka.

Katanya sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, tindakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem memberi maklum balas adalah suatu yang tepat hanya selepas rakyat berasa dilayan dengan tidak adil dengan menamatkan perkhidmatan mereka.

“Saya membuat kenyataan ini berdasarkan apa yang saya baca dalam media sejak saya di luar negara.

“Secara peribadi saya ‘cemas’ dengan terlalu banyak komen dan jika ia tidak diselesai dengan segera ia boleh mewujudkan hubungan tidak sihat antara Petronas dengan kerajaan negeri,” katanya.

Oleh itu beliau percaya kerajaan negeri akan melakukan perkara yang betul untuk pekerja Petronas dari Sarawak.

“Ketua menteri (Adenan) sudah tentu akan menyelesaikan masalah ini dengan baik, selepas mendapat gambaran jelas mengenai isu ini, kerana beliau juga baharu pulang dari luar negara (atas urusan rasmi),” tambahnya.

Menurut Nancy, isu itu juga merupakan perkara yang diberi perhatian ketika Malaysia ditubuhkan iaitu kebajikan rakyat Sarawak.

Katanya British mahu memastikan kebajikan rakyat Sarawak dijaga apabila Malaysia ditubuhkan dan ketika itu Sarawak masih mundur dari segi pembangunan infrastruktur dan tidak ramai rakyatnya berkelayakan untuk berada dalam agensi kerajaan.

“Hari ini saya percaya pekerja direkrut Petronas adalah yang berkelayakan menyandang jawatan tertentu.

“Oleh itu saya berharap Petronas dan kerajaan negeri segera menyelesaikan isu ini. Fikirkan pekerja yang harus menyara keluarga mereka,” katanya.

Justeru ujarnya, penyelesaian ‘menang-menang’ perlu dicapai segera bagi membuktikan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia dan Sarawak benar-benar harmoni serta mengutamakan perpaduan.

“Saya mendoakan Kerajaan Negeri Sarawak dan Petronas melakukan yang terbaik menyelesaikan isu berpanjangan ini dan rakyat seharusnya memberi cadangan positif bukannya menjadi ‘hakim’,” kata Nancy. - UB

Wednesday, August 3, 2016