Thursday, August 27, 2015

BERSIH 4.0 lebih patriotik? NGO pun mabuk ketum..

Mereka yang sertai BERSIH 4.0 lebih patriotisme tinggi kerana bukan partisan?

Fikirkan semula.... jangan kerana tidak faham impak ekonomi yang merundum akibat kejatuhan harga minyak dunia, kita pula yang mahu 'menang sorak kampung tergadai' akibat kedangkalan dalam permainan politik pihak yang cuba menangguk di air keruh.

Siapa sebenarnya penaja BERSIH 4.0 yang begitu gah di seluruh negara? NGO mana yang terlalu banyak peruntukan untuk kempen seperti ini?

Patriotisme jenis apa yang dimaksudkan jika tujuannya untuk mewujudkan ketegangan dan ketidakstabilan politik sehingga menakutkan para pelabur-pelabur luar yang juga majikan-majikan kepada puluhan ribu anak tempatan di negara kita?

Jangan jadi alat kepada dakyah DAP yang hanya mahu berkuasa dengan menjatuhkan kerajaan sedangkan mereka sendiri sarat dengan skandal dalam pemilihan parti yang lalu.

Tak faham mainan politik, NGO Politiking ke laut....

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/turun-ke-bersih-4-satu-patriotisme-kata-ngo-pesara-tentera





Saturday, August 22, 2015

Bersih 4.0 di Padang Merdeka, Kuching diharamkan!

Rakyat Sarawak diingatkan supaya tidak menyertai perhimpunan BERSIH 4.0 yang akan dibuat di Padang Merdeka, Kuching.

Sekali lagi rancangan pembangkang untuk menyebar propaganda anti-BN melalui kempen politik jalanan sebagai kaedah untuk mewujudkan kepimpinan yang bersih (kata mereka)...

Antara yang hadir adalah MASTERMIND pembangkang yang penulis yakin kempen ini ditunjangi oleh DAP.

Kebiasaannya perhimpunan seperti ini akan berakhir dengan demonstrasi luar kawal, tak pun berlaku Vandalisme seperti yang kita lihat terjadi di Kuala Lumpur sebelum ini.



Mari kita lihat siapa yang akan datang nanti.. sebelum ini majoriti pro-pembangkang Sarawak kononnya tolak 100% budaya 'politik kecoh' di semenanjung.

UMNO tidak wujud di Sarawak, jadi sudah tentu UMNO bukan punca kecelaruan politik di Sarawak.

Apabila kerajaan negeri menyekat beberapa individu yang boleh membawa budaya politik tidak sihat daripada semenanjung, terdapat segolongan rakyat Sarawak pro-pembangkang menghentam kepimpinan BN Sarawak. Kononnya salah guna kuasa, takut kepada kebenaran dan bermacam lagi..

Dan apabila berada dalam keadaan seperti biasa, mereka inilah juga antara yang berlebih-lebihan dalam kempen Sarawak for Sarawakian (-Tolak budaya politik semenanjung, tolak Malaya dan seumpamanya..)

Memang hipokrit dah jadi darah daging pembangkang... sebusuk-busuk politik di semenanjung, tak pula pernah dengar kempen anti-Borneo, kempen benci orang Sarawak, kempen semenanjung for semenanjungian atau Johor for Johorian yang menyampah kepada warga selain negeri sendiri.

Sedarlah, jika tidak mahu budaya politik kotor di Malaya melanda Negeri Sarawak, jauhilah semua jenis kempen politik tidak sihat tajaan pembangkang.

Kalau nak juga lepas geram kepada kerajaan sedia ada, sila lakukan secara sah di peti undi ketika pilihanraya kelak. Tak perlu buang masa, buang tenaga, buang duit pada perkara yang tak berfaedah. Orang Sarawak bijak, bukan tukang kecoh yang melalak supaya individu tertentu dapat keuntungan dalam politik.


Kerajaan tidak benar Perhimpunan BERSIH 4.0 di Padang Merdeka

KUCHING: Kerajaan negeri mengeluarkan notis tidak membenarkan Perhimpunan BERSIH 4.0 diadakan di Padang Merdeka pada 29 Ogos ini.

Ketua Polis Daerah (KPD) Kuching, Roslan Bek mengesahkan bahawa pejabatnya telah menerima notis tersebut sejak Khamis lalu.

“Penganjur Perhimpunan BERSIH 4.0 sebelum ini berkunjung ke Balai Polis bersama lapan orang pengiring jam 10 pagi kelmarin.

“Pertamanya saya maklumkan kepada mereka, niat mereka mengadakan perhimpunan di Padang Merdeka tidak terlaksana kerana kita telah menerima bantahan daripada kerajaan negeri.

“Surat datang dari Pejabat Ketua Menteri dan kita sudah melalui semua proses perundangan yang ditetapkan di bawah akta perhimpunan. Saya nyatakan apa terkandung di dalam surat itu perkara tersebut kita letakkan dalam syarat dan perhimpunan hanya dibenarkan oleh pemilik.

“Mereka diketuai Nicholas Mujah selaku yang menandatangani surat pemberitahuan di bawah seksyen 19 (1) untuk penganjuran perhimpunan itu,” katanya ketika mempengerusikan sidang media pada Perhimpunan Bulanan di Balai Polis Tabuan Jaya di sini semalam.

Menurutnya, setelah menerima notis pihaknya menampal di kawasan yang mana penganjur berniat membuat perhimpunan dan pemilik kepada kawasan tersebut pada 13 Ogos lalu.

Bagaimanapun, dalam tempoh 48 jam pihaknya menerima surat bantahan daripada kerajaan negeri menyatakan tidak membenar penggunaan padang tersebut atas alasan membaik pulih.

Pihak kami juga sudah menyerahkan 20 syarat termaktub dalam seksyen 15 termasuk tidak membawa senjata atau kanak-kanak dan banyak lagi undang-undang perlu dipatuhi.

“Paling mustahak perhimpunan itu hendaklah dilakukan di tempat tertutup dan mendapat kebenaran daripada pemilik kerana polis tidak mempunyai kuasa melarang sebarang perhimpunan aman melainkan terjadinya rusuhan,” jelasnya.

Roslan juga mencadangkan agar penganjur meneruskan niat mereka untuk diadakan di Stadium Perpaduan atau padang ragbi Song Keng Hai yang berkemungkinan bersesuaian.

Perhimpunan itu juga dipercayai diadakan melebihi 24 jam iaitu bermula jam 2 petang pada 29 Ogos sehingga 11.50 malam pada 30 Ogos ini.

“Kalau dibuat di kawasan terbuka berkemungkinan menyebabkan gangguan lalu lintas, perjalanan perniagaan dan sebagainya. Sebab itu, jika diadakan di stadium dengan meminta kebenaran terlebih dahulu mungkin bersesuaian.

“Sekiranya penganjur masih berkeras mahu mengadakan perhimpunan di Padang Merdeka ia sebenarnya melanggar Seksyen 15 dan Seksyen 20 dan pihak kita boleh menangkap tanpa waran.

“Kita bukan tangkap penganjur kerana perhimpunan itu tetapi kesalahan melanggar syarat-syarat lain dan sekiranya didapati bersalah boleh membawa hukuman tidak lebih RM10,000 denda.

“Jadi, saya minta mereka patuhi arahan seperti mana yang kami bincangkan.

“Pada saya penganjur mempunyai niat baik kerana mematuhi kehendak undang-undang dari peringkat awal, jangan saat akhir pada 29 Ogos mereka langgar undang-undang,” tambahnya.

Roslan menasihati agar orang ramai yang mengetahui perhimpunan itu dibatalkan tidak hadir kerana salah di sisi undang-undang.

Beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada orang ramai dan anggota yang menunjukkan kecemerlangan sepanjang Ogos.

Turut mengumumkan Timbalan KPD, DSP Fauzilan Abdul Aziz bertukar ke Universiti Malaya menjawat jawatan sebagai Pegawai Keselamatan di bawah Gred 48 bermula 1 September ini.

Upacara serah terima tugas kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kuching, DSP Lim Bak Thai pada Isnin ini, jam 10 pagi.



Saturday, August 15, 2015

Berhenti memfitnah saya - Fadillah

Kepimpinan tertinggi UMNO sudah berkali-kali menjelaskan bahawa parti itu sekali-kali tidak akan mengembangkan sayapnya ke Sarawak. Rasanya sejak bertahun-tahun yang sudah, kita telah menjadi saksi kepada kenyataan seperti ini. Malah sebelum Datuk Seri Najib memegang amanah sebagai Perdana Menteri.

Namun gerakan pembangkang tetap memainkan isu ini dengan niat untuk menyemarakkan rasa benci dengan sentimen anti-malaya khususnya parti UMNO yang menjadi tunjang kekuatan Barisan Nasional di Semenanjung Malaysia.

Mungkin fitnah, politik benci menjadi sumber utama mereka untuk menjadi tokoh yang paling mulia di negeri Sarawak. Jadi usahlah para menteri kita bersusah payah cuba menerangkan perkara-perkara yang mereka tidak pernah buat. Pembangkang tegar amat suka menyebar fitnah, mereka bukan jenis yang risau tentang kebenaran. Otak mereka tenat..

Abaikan saja kenyataan orang-orang gila di pihak sebelah sana...


Berhenti memfitnah saya - Fadillah



Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato' Sri Haji Fadillah Haji Yusuf menegaskan beliau tidak pernah mempromosi UMNO untuk masuk ke Sarawak.

"Hentikan fitnah siber kononnya saya mempromosi UMNO ke Sarawak. Saya dan Pemuda PBB tidak akan pernah berbuat demikian."

"Seperti ditegaskan pucuk kepimpinan Pusat dan Negeri, UMNO tidak akan masuk ke Sarawak," tegasnya lagi.

Fadillah, yang juga merupakan Menteri Kerja Raya berkata demikian selepas mempengerusi Mesyuarat Majlis Tertinggi Pemuda PBB di Miri semalam.

Sejak kebelakangan ini, terdapat poster palsu yang tersebar di media sosial yang kononnya Fadillah sedang dalam usaha untuk membawa UMNO ke Sarawak.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Presiden UMNO bersama Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan Satem (Presiden PBB) juga telah acap kali menafikan yang UMNO akan masuk ke Sarawak.

Fitnah tersebut dilihat sebagai usaha pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memecahbelahkan PBB serta mengganggu gugat hubungan rapat PBB dan UMNO. - Sarawakiana

Friday, August 14, 2015

Tiada yang baik tentang Najib?



Assalamualaikum dan salam sejahtera,

1. Selama ini saya menulis kepada ahli UMNO, izinkan saya buat kali pertama menulis kepada rakyat Malaysia. Hari ini, Perdana Menteri Mohd Najib Razak sudah menjadi seperti sampah dan kain buruk kepada sebahagian rakyat Malaysia yang mempunyai kepentingan politik dan yang sekadar ikut-ikutan. Seolah-olah Mohd Najib tidak pernah berbuat apa-apa kepada kita.

2. Hampir menitis air mata saya apabila melihat keadaan di media sosial, rangkaian perbualan WhatsApp dan perbualan politik di kalangan sebahagian besar rakyat Malaysia yang mencerca, menghina, memfitnah dan menipu untuk memburukkan Mohd Najib.

3. Memang dalam masa lapan bulan ini Mohd Najib berhadapan dengan kemelut 1 Malaysia Development Berhad (1MDB). Mohd Najib dalam usaha memulihkan 1MDB kerana beliau percaya syarikat ini sungguhpun bermasalah, ia adalah masalah yang perlu diselesaikan.

4. Tidak cukup itu Mohd Najib dituduh merompak wang 1MDB sebanyak RM 2.6 Bilion. Siasatan SPRM mendapati ia tidak benar. SPRM juga mengesahkan ia merupakan sumbangan dana politik yang tiada kena mengena dengan sebarang keputusan atau hasil kerajaan mahu pun 1MDB.

5. Dengan kata lain tiada unsur rasuah atau korupsi. Rakyat biasa memang tidak faham dan tidak akan faham permainan politik ini. Baiklah kita anggaplah ini sisi buruk Mohd Najib. Soal salah atau tidak biarkan Undang-undang menentukan. Namun, apakah sejak mengambil alih pentadbiran Mohd Najib tidak melakukan apa-apa kebaikan kepada kita semua rakyat Malaysia sehingga beliau layak dijadikan bahan jenaka, cercaan, umpatan dan lebih teruk difitnah?

6. Selama lima tahun Mohd Najib memacu pertumbuhan ekonomi negara yang begitu cemerlang. Sudah lupakah rakyat Malaysia bahawa sejak pentadbiran Mohd Najib, jumlah pelaburan asing langsung meningkat dari RM 5.1 Bilion pada 2009 (tahun beliau mengangkat sumpah) meningkat kepada RM 29.183 B (2010), RM 37, 325 B (2011), RM 31,118 B (2012), RM 38.8 B (2013) dan RM 39.6B pada 2014.

7. Apakah kerana kita tidak mendapat dan secara langsung, maka kita tidak langsung menghargai pentadbiran Mohd Najib? Pertumbuhan dan pelaburan besar inilah yang membolehkan ramai dari kita meningkatkan taraf hidup. Dulu makan di KFC atau McDonald adalah acara bila dapat gaji, hari ini sebahagian besar sudah menjadi acara mingguan dan harian.

8. Mohd Najib juga dimaki hamun oleh sebahagian rakyat yang tidak mahu membaca dan mengkaji apabila ringgit jatuh kepada RM4 per USD1. Kejatuhan nilai ringgit terburuk dalam tempoh 17 tahun adalah fenomena antarabangsa berikutan hampir semua matawang negara pesat membangun mengalami kejatuhan berbanding dolar. http://www.mykmu.net/wp-content/uploads/2015/08/1998-2015.jpg

9. Adakah rakyat Malaysia tahu daripada 174 matawang dunia, hanya 18 matawang yang tidak terjejas berikutan pengukuhan US Dollar? Malaysia sebagai negara pengeksport minyak dan minyak kelapa sawit sama seperti beberapa negara yang komoditi utama jatuh.

10. Bencinya mereka kepada Mohd Najib, sanggup menipu mengatakan keadaan sekarang lebih teruk dari 1998.

11. Ramai tidak suka tapi saya mahu sebut juga bahawa di bawah Mohd Najib, pembangunan luar bandar digandakan, Sabah dan Sarawak serta kawasan pedalaman mendapat perhatian khusus. Polisi pro-rakyat seperti BR1M, Klinik 1 Malaysia, Pusat Tranformasi Bandar (UTC), Permata, bantuan pembinaan rumah rakyat miskin, pembinaan rumah mampu milik untuk rakyat dan ratusan pembaharuan lain; dilaksanakan dengan pantas bagi mengurangkan beban hidup rakyat dan karenah birokrasi.

12. Malangnya ini dilupakan oleh sebahagian rakyat kerana mereka suka melihat keburukan dari kebaikan. Kita lebih suka mendengar keburukan dari kebaikan. Budaya apa, ajaran apa dan budi apa yang kita ada hari ini?

13. Sangat mengelirukan yang banyak memaki hamun dan mencerca Mohd Najib di laman sosial ialah manusia Melayu, Islam dan ada yang bertudung. Mereka seolah-olah lupa sumbangan dan usaha Mohd Najib menyediakan begitu banyak peluang dan modal kepada bumiputera dan pembangunan syiar Islam.

14. Sepanjang lima tahun pentadbiran ini sudah berbilion Mohd Najib beri bantuan dan peruntukan kepada kaum bumiputera. Namun Melayu tidak pernah sepatah mengucap terima kasih. Sebaliknya apabila Mohd Najib mengumumkan bantuan 50 juta kepada usahawan Cina, itulah dijadikan modal memaki Mohd Najib.

15. Melayu apa, Islam apa kita ini? Hanya kerana diuji sedikit dalam kegetiran ekonomi kini, kita mula menghina dan mencerca pemimpin Islam. Sebahagian kita menghina pemimpin Islam hanya kerana prasangka buruk dan kecewa dengan kehidupan kita sendiri?

16. Perdana Menteri yang kita hina ini, seperti kata Profesor Ridhuan Tee Abdullah, merupakan penggerak pendamaian Islam di seluruh dunia, dari mengatur pertemuan Fatah dan Hamas di Kuala Lumpur, sehinggalah turun sendiri ke Gaza bagi mendamaikan umat Islam di sana.

17. Mohd Najib juga turun sendiri ke Selatan Filipina bagi membantu umat Islam, menamatkan konflik 70 tahun bangsa Moro dengan kerajaan Filipina; dan sekarang sedang berusaha menyelesaikan konflik umat Islam Selatan Thailand yang telah berlarutan selama 50 tahun.

18. Malangnya ada antara kita bukan sekadar mahu menjatuhkan beliau, malah sanggup memfitnah, memaki hamun dan tidak mahu menerima sebarang penjelasan langsung kerana kepentingan politik. Tidak cukup itu, isteri Perdana Menteri juga dicerca, dihina dan dituduh bermacam-macam, seolah-olah kita semua hidup berjiran dengannya dan tahu segala perilaku beliau.

19. Mohd Najib sebagai manusia biasa tidak dapat lari dari kesilapan dan kelemahan. Namun apakah sekian banyak usaha baik yang dibuat beliau ini tak ubah seperti mencurah air di atas daun keladi? Atau kita sudah menjadi bangsa yang tidak mengenang budi?

20. Hari ini Allah uji kita sedikit, kita sudah berpecah belah, lupa kepada jasa dan usaha pemimpin hari ini dan menafikan nikmat hidup di negara ini yang jauh lebih baik dari sebahagian negara.

21. Sedar atau tidak mereka yang memperlekehkan kerajaan hari ini melalui gosip, taksud dan taklid buta kepada usaha menjatuhkan Mohd Najib telah mewujudkan krisis keyakinan kepada negara ini di kalangan pelabur asing. Jadi siapa yang sedang memusnahkan negara ini, Najib atau kita sendiri?

Akhirul kalam, jangan kita kufur (nafikan) nikmat Allah kerana saya khuatir suatu hari nanti Allah tarik nikmat ini.

Wassalam,

Amin bin Yatim
Petaling Jaya.

Sumber: http://www.mykmu.net/2015/08/warkah-buat-rakyat-malaysia-najib-razak-umpama-kain-buruk-kita-sedang-memusnahkan-negara-sendiri/

Fakta kejatuhan nilai ringgit yang Macai tak tahu

Hari ini kalau buka saja facebook, rata-rata warga kita sudah bijak berbicara tentang ekonomi negara... daripada teori spekulasi sehingga ke bab hukum agama, kebanyakannya menghentam tanpa ada satu pun pandangan yang adil buat pemimpin negara.

Bukan nak pertahankan atau menghukum sesiapa, tetapi jika nak bercakap tentang tanggungjawab orang lain biarlah kita faham benda yang kita cakap.

Kejatuhan matawang ringgit negara tidak hanya dialami oleh Malaysia sahaja tetapi juga melibatkan matawang negara jiran yang lain.



KEJATUHAN NILAI RINGGIT

Hari ini, nilai Ringgit adalah RM4.00 bagi satu dolar. Apabila saya membuka akaun Facebook dan Twitter, 9 daripada 10 status yang keluar di Facebook menghentam kerajaan berkenaan nilai mata wang Ringgit Malaysia. 

Berdasarkan penelitian, mereka yang menghantar komen-komen di laman sosial tersebut kebanyakannya adalah daripada golongan belia yang seolah-olah menganggap Malaysia akan musnah esok.

Dalam masa sebulan yang lalu, saya melihat bagaimana rakyat Malaysia menjalani transformasi menjadi pakar perlembagaan, penganalisis dan kini pakar ekonomi pula. 
Ada juga yang menyalahkan Najib dan UMNO. Terdapat satu kumpulan yang dinamakan Suara Rakyat yang gemar berkata ‘negara lain adalah lebih baik kerana UMNO tiada di Negara mereka’. 

Sudah tentu, apabila anda mempunyai pandangan yang sempit, anda akan terlepas pandang fakta bahawa :

•    Russian Roubles hilang 114 peratus berbanding dolar AS 
•    Indonesian Rupian hilang 51 peratus berbanding dolar AS 
•    Indian Rupees hilang  38 peratus berbanding dolar AS 
•    Norwegian Krone hilang 37 peratus berbanding dolar AS 
•    Australian Dollars hilang 24 peratus berbanding dolar AS 
•    Euro hilang 20 peratus berbanding dolar AS 
•    Thai Baht hilang 10 peratus berbanding dolar AS 

Adakah saya perlu teruskan? 

Salah satu faktor yang menyumbang kepada kejatuhan nilai mata wang negara-negara ini adalah kejatuhan harga minyak. Minyak mentah diniagakan pada US$70-80 setong. beberapa tahun yang lalu dan kini ianya jatuh kepada US$50 setong.

Bukan AS sahaja rakan niaga kita dan prestasi Ringgit kita tidak diukur berbanding dolar AS sahaja.

Apabila kita lihat pada Ringgit,

• kita  lebih kukuh berbanding Dolar Kanada (2 peratus) 

• kita lebih kukuh berbanding Rupiah India (10 peratus) 

• kita  lebih kukuh berbanding Yen Jepun (14 peratus) 

• kita  lebih kukuh berbanding Rupiah Indonesia (18 peratus) 

Tidak perlulah saya senaraikan kesemuanya, memadai dengan menyebut beberapa contoh.

Adakah anda tahu bahawa nilai perdagangan kita dengan India, Jepun dan Indonesia hampir dengan 20 peratus? 

Sesetengah dari kita cepat untuk memberi berita negatif dan cepat mengulas seperti seorang pakar dalam Facebook dan Twitter. Itulah hakikat sikap kita hari ini. 

Malangnya, tiada di antara kita yang merujuk kepada tahun 1998. 

Ramai yang lupa bahawa Ringgit pernah jatuh serendah RM4.725 untuk satu dolar pada 7 Januari 1998 (kadar menjual BNM, di kaunter adalah lebih daripada RM4.80-4.88). 

Mungkin mereka yang rancak  menghentam mengenai keadaan ekonomi kita di Facebook kini masih di bangku sekolah ketika itu.  Sudah pasti mereka tidak tahu apa yang berlaku pada tahun 1998, zaman Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan. 

Dulu, 

a) Orang kehilangan pekerjaan atau mempunyai kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan 

b) Isi rumah yang membebankan 

b) kadar bunga pinjaman purata adalah 12.16 peratus 

c) Kadar inflasi hampir kepada 3 peratus tanpa penarikan subsidi. 

Sesiapa yang meragui bahawa kadar inflasi 2-3 peratus hari ini adalah benar dan merasakan ia sebenarnya yang lebih tinggi, cuba terapkan pemikiran yang sama untuk tahun 1998-1999. 

Ya pasti anda terkejut, kadar bunga pinjaman purata adalah lebih 12 peratus. Itulah yang berlaku pada masa itu. 

Anda boleh mengatakan ia adalah sejarah lalu dan anda boleh terus menyalahkan Perdana Menteri, Bank Negara Malaysia dan Kerajaan untuk kejatuhan hari ini. 

Tetapi dimasa akan datang, sebelum anda berkongsi kemarahan anda di Facebook atau Twitter, tanya diri sendiri, adakah penurunan nilai Ringgit memberi kesan kepada anda?

1. Adakah anda membeli-belah dalam talian daripada laman web Amerika Syarikat? 

2. Adakah anda merancang untuk terbang ke Amerika Syarikat untuk bercuti? 

3. Adakah anda seorang rakyat Malaysia yang belajar di Amerika Syarikat? 

4. Adakah anda mengimport barang yang akan dijual semula di Malaysia? 

5. Adakah anda membeli barang keperluan dan makanan dari Amerika Syarikat untuk digunakan di sini?

6. Adakah anda sama sekali menggunakan dolar AS dalam kehidupan harian anda? 

Kerana, hanya jika anda menjawab ya kepada perkara di atas, barulah anda akan terjejas. Jika tidak, apa yang membimbangkan anda? Gaji anda masih dalam Ringgit Malaysia dan anda tidak membeli barang keperluan dengan dolar Amerika. 

Pastinya, tiada siapa yang boleh menafikan bahawa ia memberi sedikit kesan kepada beberapa segmen terutama import dan jika merancang untuk melakukan perjalanan ke Amerika Syarikat, United Kingdom dan beberapa destinasi lain. 

Dari aspek penarafan antarabangsa oleh beberapa agensi penarafan, kita wajar menarik nafas lega kerana Fitch, Moody dan S&P kesemuanya memberikan penarafan "Stabil" kepada Malaysia.

Hakikat sebenar, tiada seorangoun ahli ekonomi di luar sana yang mengatakan bahawa ekonomi Malaysia akan runtuh, hanya ahli politik yang mereka tahayul ini.

Rencana asal dari
Goh Wei Liang

Tuesday, August 11, 2015

Gara-gara stiker #TangkapNajib, wanita ditahan polis di Kuching..

Tak perlu jadi 'macai' semata-mata nak tunjuk awak itu peka politik. Kalau tak suka Najib, apa untungnya yang kamu dapat dengan iklan untuk bagitau satu dunia kononnya kamu nak Najib ditangkap? Ada duit hasil iklan? elaun kempen?

Akhirnya susah yang datang mengundang..

Rakyat Sarawak tinggi budi bahasa, kalau berpolitik bukan dengan cara provokasi. Ini bukan budaya kita. Jangan jadi HIPOKRIT mengata politik orang semenanjung tidak beretika sedangkan kamu yang duduk di Sarawak melebih-lebih daripada orang bekerjaya yang makannya, tidurnya, hidupnya dikelilingi oleh politik segalanya..


Syabas PDRM.


Wanita ditahan polis untuk diambil keterangan.

Gambar sticker yang dimaksudkan


10 Ogos - KUCHING : Pihak polis semasa membuat rondaan pada pukul 2.55 petang, di hadapan Tabung Haji Travel, Jln Kulas, terserempak dengan sebuah kenderaan yang diletakan di tepi jalan.
Pemeriksaan lanjut oleh pihak polis mendapati terdapat perkataan ‪#‎TangkapNajib‬ berwarna putih dibelakang cermin kenderaan tersebut.

Pemilik kenderaan tersebut, seorang wanita berumur 31 tahun, telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching untuk membantu siasatan polis.

Kes disiasat dibawah Sek 504 Kanun Keseksaan ( Dengan sengaja mengaibkan dgn niat hendak membangkitkan pecah keamanan ).


Hukuman sekiranya didapati bersalah :-

Boleh dihukum penjara sampai 2 tahun atau denda atau Kedua-duanya.
Pihhak polis nenasihatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana orang yang melanggar peraturan ini. Dan Orang ramai adalah dinasihatkan supaya tidak mempamerkan pelekat yang seumpamanya dimana-mana bahagian kenderaan.

KPD KUCHING.

Sumber artikel 

Sunday, August 9, 2015

Tol jambatan Tun Salahuddin, keputusannya akhir tahun 2015

Kutipan Tol di Jambatan Lanang sudah dimansuhkan. Ketika warga di semenanjung Malaysia mengalami kenaikan harga tol, di Sarawak pemimpin BN berusaha menghapuskan konsesi kutipan tol untuk rakyat. Terima Kasih Ketua Menteri Sarawak.


Sasar mansuhkan tol Jambatan 
Tun Salahuddin akhir tahun ini

KUCHING 3 Ogos – Rundingan bersama syarikat konsesi tol Jambatan Tun Salahuddin bagi memansuhkan kutipan diharap membuahkan hasil baik menjelang hujung tahun ini.

Menurut Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, beliau berharap syarikat tersebut akan mencontohi usaha syarikat konsesi Jambatan Lanang di Sibu yang memansuhkan tol bagi kepentingan rakyat.

“Sekarang, hanya tinggal satu lagi tol iaitu Tol Jambatan Tun Salahuddin belum dimansuhkan.

“Saya harap dapat keputusan bagus sebelum hujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri di Pusat Sumber Tun Openg, Kampung Bandarsah di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Perumahan negeri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Amar Mohd. Asfia Awang Nassar dan Pengerusi Pertubuhan Anak Seni Bandarsah, Abdul Rahman Zainuddin.

Adenan memperuntukkan RM100,000 kepada Pertubuhan Anak Seni Bandarsah disamping RM300,000 daripada Abang Johari bagi membeli sebidang tanah.

Tambah Adenan, beliau juga menyeru agar diberi mandat selama lima tahun lagi untuk meneruskan agendanya sebelum mengundur diri daripada politik.

“Walaupun dalam masa singkat ini, banyak yang kita dapat capai.

“Sebab itu, saya minta tempoh lima tahun lagi agar kita dapat mengecapi lebih banyak kejayaan untuk negeri ini,” jelasnya.

Sementara itu, Abang Johari memberitahu, beliau juga melahirkan harapan agar Adenan terus memimpin negeri ini dalam lima tahun akan datang.

“Kita harap, beliau yang meng­utamakan rakyat akan terus me­mimpin,” ujarnya.

- See more at: http://m.utusan.com.my/berita/wilayah/sasar-mansuhkan-tol-jambatan-8232-tun-salahuddin-akhir-tahun-ini-1.120074#sthash.PbzYiily.dpuf