Tuesday, June 30, 2015

Gambar-gambar pesawat C-130 Hercules milik TNI yang terhempas

JAKARTA, 30 Jun (Bernama) -- Sebuah pesawat tentera jenis Hercules dilaporkan terhempas di sebuah kawasan perumahan awam di Kota Medan, Sumatera Utara pada kira-kira pukul 11.50 pagi waktu tempatan tadi.

Siaran stesen televisyen tempatan melaporkan pesawat itu terhempas di atas puluhan rumah awam di Royal Gardenia, Jalan Letjen Jamin Ginting, KM 9, Padang Bulan dan setakat ini 10 mayat dikeluarkan oleh pasukan keselamatan dan dibawa ke Rumah Sakit Adam Malik di Medan.

Setakat ini belum dapat disahkan mangsa yang ditemui terkorban itu sama ada tentera atau orang awam.

Pesawat Hercules A1310 jenis C-130 milik Tentera Nasional Indonesia Angkatan Udara (TNI AU) membawa 12 penumpang dan dilaporkan terhempas setelah beberapa minit berlepas dari Pangkalan Udara Soewondo, Kota Medan.

Pesawat itu dikendalikan juruterbang Kapten Sandy Permana dari Skuadron 32 Abdul Rahman Saleh, Malang, Jawa Timur dan antara nama pegawai dalam pesawat itu ialah Lt Udara Pandu Setiawan dan Lt Dian Sukma P.

Pembantu juruterbang ialah Kpt Riri Setiawan, Juru Radio Udara Bambang H, Juru Mesin Ibnu Kohar, serta dua pegawai muda Andik S dan Pelda Parijo.

"Jumlah korban mungkin banyak dan kerja-kerja mencari masih diteruskan dan setakat ini api yang membakar pesawat telah dipadamkan," seorang petugas pasukan keselamatan dipetik sebagai berkata dalam sebuah siaran berita televisyen.

Setakat ini belum ada kenyataan rasmi pihak berkuasa dan TNI AU mengenai tragedi ini.

Pada tahun 2005 sebuah pesawat komersial Mandala Airlines berjenis Boeing 737-200 yang membawa 112 penumpang dan lima anak kapal terbabit, terhempas dan dan meletup di tempat yang sama.

Sementara itu, Kepala Staf Komando Daerah Militer (Komdam) I Bukit Barisan Brig Jen TNI Cucu Sumantri dipetik oleh MetroTV sebagai berkata, dipercayai kesemua anak kapal pesawat itu terkorban dan kerja-kerja mencari dan menyelamat masih giat dijalankan.

Katanya, pesawat itu menuju ke Tanjung Pinang, Kepulauan Riau dan membawa tentera dari Pangkalan Udara Soewondo, Medan, Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma (Jakarta) dan dari Pangkalan Udara Ranai di Natuna, Kepulauan Riau.

"Para perajurit hendak menjalankan misi rutin pergantian personel untuk pertahanan pangkalan di Tanjung Pinang," kata beliau.



Orang ramai berpusu-pusu mengerumuni kawasan nahas untuk melihat keadaan nahas dari dekat
Bahagian ekor pesawat sahaja yang masih dalam bentuk asal sementara bahagian lainnya telah berkecai
                                     
Keadaan dahsyat pesawat C130 TNI berpunca kegagalan enjin. Desas desus menyatakan ia dipercayai terbalik dan terjatuh ketika cuba membuat pusingan untuk berpatah balik ke lapangan terbang. 
Gerakan mencari dan menyelamat giat dijalankan untuk mengesan mangsa-mangsa nahas
Sebuah kenderaan mewah yang diparkir di tepi jalan turut musnah dalam tragedi ini. Turut musnah secara total ialah 2 buah rumah milik penduduk tempatan.
Gambar sebelum api marak tidak lama selepas pesawat terhempas
Pandangan udara keadaan pesawat malang C130 milik TNI yang terhempas 
                                       
Angka korban disahkan meningkat kepada 74 orang setakat ini. Bagaimanapun, jumlah sebenar masih tidak dapat dipastikan lagi. Sementara yang lain masih dalam usaha mengenalpasti identiti serta mengumpul bahagian sisa anggota tubuh  mangsa yang terlibat. Media tempatan melaporkan kesemua 113 penumpang dipercayai telah terkorban.
Anggota TNI mengalihkan roda pesawat malang dalam usaha mencari mangsa nahas
Kesukaran menghadapi keadaan serpihan pesawat sisa runtuhan bangunan yang bertaburan 



Persediaan PRN Sarawak - Pemilihan PBB mungkin ditangguh



PUTRAJAYA - Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tidak menolak kemungkinan untuk menangguhkan pemilihan parti itu yang dijadual berlangsung tahun ini untuk membuat persediaan awal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
 
Ketua Pemuda PBB, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kemungkinan pemilihan parti itu akan diadakan selepas PRN Sarawak yang mandatnya akan berakhir pada Jun tahun depan.
 
"Penangguhan ini adalah biasa untuk menjaga kepentingan parti. Sebelum ini, PBB pernah menangguhkan (pemilihan parti) yang jatuh hampir pada pilihan raya kerana kita nak membuat persiapan untuk pilihan raya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
 
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada parti tulang belakang Barisan Nasional (BN) Sarawak itu akan mengikut jejak Umno menangguhkan pemilihan parti.
 
Sebelum itu, Fadillah, yang juga Menteri Kerja Raya, menghadiri majlis menandatangani perjanjian pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri Sarawak dan Lebuhraya Pan Borneo Utara Sdn.Bhd., di sini.
 
Jumaat lepas, Majis Tertinggi Umno menangguhkan pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung pada tahun depan selama 18 bulan bagi membolehkan Umno mengukuhkan parti serta menumpukan perhatian kepada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
Ditanya sama ada pemilihan PBB sebelum PRN akan menjejaskan sokongan khususnya dalam kalangan orang muda, Fadillah berkata calon PRN dan calon parti adalah tidak sama.
 
"Kalau (seseorang) pegang jawatan parti, dia tidak semestinya menjadi calon dalam pilihan raya. Calon boleh dari luar parti pun. Ini adalah amalan PBB pada setiap pilihan raya...kita akan letak 10 peratus calon orang muda," katanya.- Bernama

Friday, June 26, 2015

Kenapa Malaysia harus menolak TTPA


Keghairahan Malaysia untuk menyertai perjanjian Trans-Pacific Partnership dapat difahami dengan melihat sendiri senarai negara dalam perjanjian tersebut yang turut merangkumi  Singapura dan Vietnam. Melihatkan adanya rakan negara di rantau ini, menguatkan lagi rasional Malaysia dalam menerima perjanjian yang merupakan misi Amerika Syarikat untuk mendominasi pasaran dunia di Asia Pasifik.

Malah, kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar 15 Jun lalu memberi petanda bahawa kepimpinan negara ini mengambil pendekatan positif dalam menentukan keputusan Malaysia yang bakal menandatangani perjanjian penuh kontroversi tersebut.

Kenyataan tersebut dikeluarkan sewaktu sesi soal jawab ketika beliau menghadiri satu majlis ramah mesra Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) yang diadakan Isnin lalu. Dalam kenyataannya, beliau menegaskan supaya masyarakat Malaysia perlu mengambilkira kerugian yang bakal negara ini alami sekiranya tidak menyertai perjanjian tersebut. Malah, beliau menjelaskan dengan adanya Singapura dan Vietnam melengkapi 12 buah negara yang terlibat memudahkan lagi usaha syarikat asing dalam menembusi pasaran tempatan Malaysia.

Namun, menurut satu laporan portal berita yang bertarikh 14 April 2013,  bekas Menteri Kesihatan Malaysia, Liow Tiong Lai telah mengeluarkan kerisauan beliau terhadap perjanjian TPP yang mampu memberi kesan terhadap perkhidmatan kesihatan untuk rakyat Malaysia melalui peruntukan harta intelek dalam perjanjian TPP yang digariskan oleh Washington. Malah usaha rundingan antara Washington dan Kuala Lumpur ini sudah pun dimulakan sejak tahun 2010, namun kepastian perjanjian TPP masih menjadi tanda tanya.

Siri 1: Isu Hak Harta Intelek Dalam TPPA

1. Dua dokumen yang meliputi hak harta intelek yang bakal dikenakan kepada negara yang menandatangani perjanjian TPP ini sudahpun bocor dan disiarkan di laman web Wikileaks bertarikh 16 Oktober 2014. Berdasarkan laporan yang dikeluarkan Wikileaks ini, perjanjian TPP bertujuan untuk mengurangkan atau menghapuskan secara langsung tahap kebergantungan syarikat asing kepada kerajaan tempatan melalui pelbagai hak istimewa baru yang bakal dinikmati syarikat korporat.

2. Malah, perjanjian yang diusulkan akan menyebabkan kerajaan negara tersebut bertanggungjawab menanggung akibat sekirannya ada syarikat asing yang terjejas dengan undang-undang negara itu, termasuklah dari aspek kesihatan, keselamatan, dan undang-undang terhadap alam sekitar. Bahkan usul ini akan mengakibatkan beban pampasan yang diberi kepada syarikat asing terpaksa ditanggung oleh pembayar cukai dan dana awam di negara tersebut.

3. Selain itu, berdasarkan dokumen bocor yang disiarkan Wikileaks, dapat kita lihat perjanjian TPP mengetengahkan matlamat besar syarikat-syarikat besar kepunyaan Amerika Syarikat dalam memperoleh manfaat dan hak istimewa yang keterlaluan bagi pelabur asing, malah mereka meletakkan kepentingan syarikat persendirian dan pelabur dari negara luar setaraf dengan kerajaan negara yang terlibat dalam perjanjian ini.

4. Selain daripada bekas Menteri Kesihatan, NGO seperti Majlis AIDS Malaysia dan Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia turut meluahkan kebimbangan mereka terhadap undang-undang hak intelek yang ketat digariskan dalam perjanjian TPP yang bakal mengakibatkan  syarikat perubatan Amerika Syarikat memonopoli pasaran ubatan Malaysia melalui halangan pengeluaran sebarang ubatan generik; ubatan yang dikeluarkan syarikat lain setelah paten syarikat asal telah luput. Malah peruntukan ini dilihat mampu meningkatkan kos harga ubat di pasaran tempatan.

5. Tambahan lagi, Amerika Syarikat tegas dalam menuntut satu peruntukan dalam perjanjian TPP yang melanjutkan tempoh paten yang sudah sedia ada dalam pasaran ubat sehingga tempoh 10 tahun, satu tempoh tambahan kepada syarat 20 tahun yang sedia ada.

6. Tuntutan ini dipercayai bakal mengganggu gugat perkhidmatan kesihatan awam negara sekiranya  berjaya dikenakan Amerika Syarikat dalam perjanjian TPP. Malah, besar kemungkinan kos menampung perkhidmatan kesihatan negara ini akan meningkat, menjadikan ia satu beban bagi rakyat dan kerajaan Malaysia.

Secara ringkasnya, rumusan dan analisa perjanjian TPP hanya dapat dilakukan secara terhad memandangkan perjanjian ini begitu sulit. Malah prosedur perjanjian yang begitu rahsia ini menjadi isu yang besar dalam kalangan ahli politik di Amerika Syarikat sendiri. Sehingga kini Wikileaks berjaya mendedahkan beberapa draf dari perjanjian TPP yang merangkumi peruntukan hak harta intelek, peruntukan alam sekitar, serta peruntukan kontroversi TPP-TISA-TTIP.



Sumber: GlobalResearch.org, FMT, TheStar

*Ikuti perkembangan isu perjanjian TPP di laman web FOCUS dalam siri seterusnya yang bakal menampilkan isu perjanjian ini dari sudut luar dan dalam negara.