Showing posts with label pemuda PBB Sarawak. Show all posts
Showing posts with label pemuda PBB Sarawak. Show all posts

Wednesday, October 19, 2016

Lawatan ADUN N6 Tupong, YB Fazzruddin ke Pasar Malam Belia N6 di Metro City malam tadi. Beliau sempat beramah mesra bersama para pengunjung serta menemui para peniaga di gerai-gerai yang sempat dikunjunginya. 

Turut serta bersama beliau ialah Pengarah Eksekutif CKH Realty (Pemaju Metro City), David Chong bersama penganjur Pasar Malam Belia serta beberapa ahli jawatankuasa yang terlibat dalam program tersebut. 

Antara tumpuan yang diberi keutamaan YB Fazzrudin dalam pertemuan kali ini ialah mengenai kebersihan di tempat tumpuan orang ramai. 

Dalam usaha beliau untuk memberikan ruang perniagaan kepada para belia serta menjadikan kawasan DUN Tupong sebagai tarikan utama warga Kuching, kebersihan adalah fokus utama yang perlu dibudayakan agar ia menjadi contoh sebagai pasar malam tersibuk namun dikenali antara yang terbersih di Bandaraya Kuching.

Pertemuan ringkas dan santai yang sempat diikuti saya merangkumi perbincangan tentang pelan

 1. Pembinaan atau penambahbaikan kemudahan tandas sedia ada
2. Lokasi tetap berbumbung serta berkanopi, kemudahan peniaga
3. Pengurusan sampah sebaik sahaja selesai pasar malam dibuat. (Sedang dipraktikkan)
4. Kemungkinan penambahan gerai2 sedia ada. 
5. Penambahbaikan kemudahan ruang solat bagi pengunjung2 serta peniaga Islam.

Apapun, keselesaan pengunjung adalah perkara yang diutamakan beliau bagi menjadikan persekitaran pusat perniagaan belia N6 sebagai pasar contoh kepada pasar malam yang lain.

 

Wednesday, April 13, 2016

Nurhanim calon PKR yang lesu di Tupong


Calon BN dari PBB DUN N6 Tupong
Calon Pakatan Harapan dari PKR DUN N6 Tupong

DUN N6 Tupong meletakkan calon baru Barisan Nasional, saudara Fazzrudin sebagai pengganti YB Datuk Daud Abdul Rahman. Calon lawan daripada parti PKR, Nurhanim Hanna Mokhsen bagaimanapun optimis untuk memperoleh kemenangan 50% bagi pihak Pakatan Harapan..

Ketika PRN ke-10, di bawah pentadbiran Pehin Sri Taib Mahmud, pembangkang menggunakan sentimen anti-Taib (politik kebencian) berkempen secara 'all-out' dengan dibantu aura Anwar Ibrahim selaku watak utama dalam siri jelajah seluruh Sarawak.

Kaedah itu walaubagaimanapun tidak mampu mengubah kedudukan penyandang asal, Datuk Daud Abdul Rahman daripada kerusi DUN N6 Tupong. Malah masyarakat tempatan mempersoalkan kewajaran PKR menggunakan sentimen memburukkan calon lawan lebih kerap berbanding dengan sumbangan yang dibuat parti itu di Tupong.

Penolakan rakyat Sarawak terhadap PKR amat jelas sehinggakan daripada 41 kerusi DUN yang ditandingi mereka, hanya 3 kerusi sahaja yang dapat dimenangi itupun dengan dibantu oleh DAP selaku penyokong utama bagi kawasan yang dipertandingi.

Datuk Daud Abdul Rahman akhirnya dipilih rakyat dengan majoriti 4,551 dan diumumkan sebagai ADUN untuk penggal yang ke-5 beliau.

Pada PRN kali ini, Nurhanim dilihat bertarung sendirian bersama beberapa rakan parti yang kurang menyerlah setanding Anwar Ibrahim. Krisis perebutan kerusi dan perang dingin terhadap DAP sedikit sebanyak menggugat kerjasama di antara mereka sekalipun mereka mendakwa masalah penetapan calon telah selesai sebelum pembubaran DUN.

Kaedah berkempen PKR yang agresif sebelum ini tidak mendatangkan kesan malah memburukkan lagi peluang untuk meraih undi. PKR tidak mempunyai rekod kerja yang cemerlang seperti PBB.

Nurhanim menggunakan taktik politik 'safe play'. Watak beliau cukup berbeza dengan cara calon PKR sebelumnya. Beliau dilihat tidak menyerang peribadi calon lawan. Mungkin kerana beliau sendiri cukup mengenali calon BN Tupong secara peribadi, mungkin juga Fazzrudin adalah sahabat baik beliau.

Namun perjuangan PKR yang sebenar tidak menepati kehendak dan citarasa masyarakat Tupong. PKR tidak pernah menjanjikan apa-apa pembangunan kepada penduduk setempat. Jauh sekali untuk membawa Tupong ke arah yang lebih baik daripada apa yang diusahakan oleh Barisan Nasional.

Dalam kempen ceramah PKR, mereka tidak bercakap tentang pembangunan yang telah dibuat. Juga tidak akan wujud cerita tentang sumbangan yang dihulurkan oleh PKR Pusat kepada Tupong. Mereka hanya akan menggunakan isu nasional dengan hanya mengharapkan undi protes bagi meraih kemenangan.

Isu GST, korupsi, ketidakmampuan Barisan Nasional menangani kos hidup rakyat akan menjadi hidangan utama dalam setiap ceramah kempen pilihanraya PKR. Tetapi keberkesanan PKR dalam menentu ukur kemampuan sendiri menjaga kebajikan rakyat contohnya di Selangor menunjukkan mereka hanya sekadar tahu bercakap.

Kerajaan Negeri Selangor tetap gagal menyelesaikan masalah air dan sampah yang sehingga kini tiada kesudahan. Sebahagian tempat mendapat kemudahan manakala sebahagian tempat lagi terus menderita ketiadaan sumber air. Manakala krisis kepimpinan dalam parti mengundang pelbagai persoalan akan kemampuan PKR bertindak adil kepada ahli-ahli yang bukan daripada kalangan keluarga elit.

Di sebalik kejayaan PKR menawan Selangor, dilihat pelbagai krisis kepimpinan tinggi kerajaan negeri dilihat telah berlaku. Ia termasuklah niat untuk meletakkan ahli keluarga sendiri sebagai pemimpin utama dalam kerajaan. Pertelingkahan berlaku akhirnya menyebabkan Datuk Khalid Ibrahim terpaksa meletak jawatan selaku Menteri Besar dan meninggalkan parti.

Rakyat sudah pasti tidak mahu keadaan sedemikian berlaku di negeri Sarawak. Biarlah parti Semenanjung menguruskan negeri-negeri mereka dengan cara mereka. Di Tupong, kami mengamalkan cara politik yang jauh lebih baik daripada kempen memburuk-burukkan orang lain iaitu, politik pembangunan dan kebajikan masyrakat.


Pemuda PBB juga tidak gentar berdepan PKR.

Nurhanim Hanna tidak gentar berdepan Fazruddin di Tupong

http://www.theborneopost.com/2016/04/12/nurhanim-hanna-tidak-gentar-berdepan-fazruddin-di-tupong/#ixzz45efsGgbX





Thursday, April 7, 2016

Calon BN Dun N6 Tupong, saudara Fazzrudin malas melayan fitnah pembangkang

Beliau belum bertanding lagi sudah bermacam-macam fitnah dilemparkan.

Kali ini sudah melampau. Cara berpolitik seratus-peratus berniat jahat. Membuat fitnah, memburukkan calon dan pembangkang rasa lebih layak untuk menjadi wakil rakyat di negeri Sarawak?

Parti PBB dan komponen BN Sarawak sudah sekian lama mentadbir negeri Sarawak.

Tidak ada walau seorang pun pemimpin daripada parti PBB yang berkempen membuat fitnah, memaki hamun calon lawan untuk meraih sokongan, seperti yang kita lihat diamalkan Pakatan Harapan pada setiap pilihanraya.

Semoga Calon DUN N6 Tupong, saudara Fazzrudin tetap tabah dalam menghadapi cabaran demi untuk berkhidmat kepada rakyat. Cara PBB meraih sokongan ialah dengan membuktikan melalui khidmat dan kerja-kerja yang telah dilaksanakan.

Beliau banyak membantu masyarakat ketika berkhidmat di pusat khidmat Parlimen sebagai pembantu Datuk Fadillah Yusof sejak 2003 lagi. Saudara Fazzrudin juga mempunyai hubungan yang rapat dengan masyarakat di DUN Tupong, itulah sebabnya segala fitnah yang dilemparkan pembangkang akan dibidas serta-merta oleh masyarakat yang sebenarnya mengenali sifat-sifat beliau.

Respon Fazzrudin adalah tepat. Fokus utama ialah bagaimana cara berkesan untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan lebih efisien. Usah buang masa melayan fitnah.

Fitnah datang saling berganti. Dijawab satu, diputarbelit sepuluh, Budaya Pembangkang cuma berminat pada pandangan negatif sahaja. Maka sebab itulah kita lihat aksi-aksi ganas sering berlaku di dalam setiap pemilihan ahli majlis tertinggi parti mereka.




"Saya Malas Nak Layan Fitnah" – Kata Calon Tupong



Teguran yang baik dengan niat untuk memperbaiki diri agar dapat memberi khidmat terbaik kepada masyarakat akan sentiasa diterima dan dialu-alukan, kata calon Barisan Nasional (BN) N.6 Tupong Fazzrudin Abdul Rahman.

Beliau berkata demikian ketika menjawab satu kenyataan sebuah blog dan portal atas talian yang menyebarkan propaganda “20 dalil mengapa Fazzruddin tidak layak jadi calon PBB, DUN Tupong”.

Fazzruddin menyifatkan kenyataan tersebut hanyalah fitnah dan bukanlah satu teguran yang ikhlas.

“Saya sentiasa menerima teguran dgn niat untuk memperbaiki diri dan merik khdmat terbaik kpd masyarakat. tetapi jika berunsur fitnah, saya sebenarnya malas nok melayan,” katanya

Beliau yang mengambil contoh tuduhan yang mendakwa beliau memiliki Stesen Minyak Petronas yang bernilai jutaan ringgit, sebenarnya stesen tersebut dimiliki oleh bapa mertua beliau sejak 1994 sebelum ditukar hak milik kepada isterinya.

“Jelas semua itu tiada kaitan langsung dengan saya, oleh itu saya menganggap dalil tersebut tidak ikhlas dan hanyalah fitnah semata-mata,” ujarnya.

Fazzrudin yang juga Setiausaha Politik Kepada Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof turut menyatakan terima kasih kepada pengkritiknya jika kritikan yang dilontarkan dapat membantu beliau untuk memberi khidmat yang terbaik kepada masyarakat Tupong.

Beliau yang merupakan Ketua Penerangan Pemuda PBB diumumkan sebagai calon N.6 Tupong menggantikan penyandangnya Datuk Hj Daud Abdul Rahman yang telah membuat keputusan tidak mempertahankan kerusi tersebut.

Pengumuman nama Fazzrudin,40, dibuat sendiri oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Hj Adenan Satem pada 26 Mac lalu sebagai calon “Pasukan Adenan” mewakili N.6 Tupong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke 11 yang dijangka berlangsung pada bila-bila masa sebelum Jun 2016. - Sarawakiana

Monday, March 28, 2016

Pilihanraya Negeri - Fazzrudin merupakan calon muda yang terbaik untuk DUN N6 Tupong (gambar)





Calon BN DUN N6 Tupong yang baru diumumkan oleh ketua menteri Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman kini semakin giat bergerak ke kawasan-kawasan Tupong serta mula mengorak langkah sebagai pemimpin yang bakal memikul amanah yang berat demi kesejahteraan masyarakat setempat.

Sebelum ini beliau sudah biasa dengan kerja-kerja aktiviti kemasyarakatan ketika bertugas sebagai pembantu ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Haji Fadillah Yusof di pejabat Pusat Khidmat PBB yang terletak di Jalan Astana. Cuma bezanya pada kali ini, beliau memikul sendiri tangungjawab yang lebih besar sebagai calon ADUN.

Jika dibandingkan isu-isu semasa dan isu tempatan, beliau lebih selesa membincangkan isu tempatan yang lebih mengutamakan kebajikan kawasan-kawasan di DUN sendiri. Dengan demikian, masa tidak banyak terbuang oleh isu dan perkara-perkara remeh politik daripada semenanjung Malaysia yang terlalu banyak diselitkan dengan pembohongan dan permainan persepsi.

Untuk kempen saudara Fazzrudin pada kali ini, beliau dijangka akan lebih fokus kepada isu-isu di kawasan DUN dan sama sekali tidak akan memburukkan keperibadian calon lawan khususnya calon yang bertanding di Tupong.

PBB selaku parti pemerintah negeri Sarawak yang kita sedia maklum, TIDAK PERNAH menggunakan kaedah politik memburukkan keperibadian calon lain dan mengajak rakyat menjadi masyarakat biadap terhadap pemimpin seperti yang diamalkan dalam Pakatan Harapan. Parti bermusim gabungan Pakatan Harapan cuma berminat menumbangkan Barisan Nasional dan tidak pernah peka kepada isu-isu kemasyarakatan serta hanya muncul ketika menjelang hari pilihanraya sahaja.

Selamat berkempen kepada Saudara Fazzrudin, calon DUN N6 Tupong. Semoga Allah merahmati serta bersama pemimpin-pemimpin Barisan Nasional yang ikhlas berkhidmat untuk kemakmuran rakyat Sarawak.

Saturday, March 26, 2016

Tahniah! Fazzrudin sah sebagai calon BN DUN N6 Tupong.


Tahniah kepada saudara Fazzrudin Abd Rahman yang telah diumumkan sebagai calon Barisan Nasional untuk DUN N6 Tupong oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem ketika perasmian Program Armada Pemuda PBB "Kamboh Bersama Tok Nan" di Tanjong Datu, Lundu petang ini tadi.

Fazzrudin sebelum ini merupakan Setiausaha Politik Menteri Kerja Raya, Datuk Hj. Fadillah Yusof dan juga merupakan Ketua Penerangan Pemuda PBB. Beliau adalah antara pemimpin Pemuda yang sangat aktif dalam aktiviti bersama Belia Sarawak.

Penyandang kerusi DUN N6 Tupong sebelum ini ialah Datuk Haji Daud Abd Rahman yang bersara setelah 5 penggal memegang amanah sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut. Supaya tidak keliru, saudara Fazzrudin tiada talian persaudaraan dengan Datuk Haji Daud cuma kebetulan sama nama ayahanda mereka.

Semoga DUN Tupong akan lebih cemerlang sesuai dengan perwatakan aktif beliau serta sering mempunyai visi ke arah memajukan taraf kehidupan warga setempat.


Sunday, March 13, 2016

DUN Tupong - Video PKR terkantoi menipu janji..

Inilah dia calon PKR untuk DUN Tupong, Nurhanim Hanna Mokhsen. Orangnya baik, peramah tetapi parti yang diwakilinya merupakan parti yang paling kuat menipu janji-janji kepada rakyat selepas pilihanraya. Slogan Cuba PKR katanya..



Sentimen kroni BN kaya, mainan PKR mungkin merujuk kepada majoriti calon BN Sarawak yang dipilih terdiri daripada kalangan orang yang berjaya dalam bidang kerjaya masing-masing sehingga dipilih untuk membantu masyarakat kawasan yang kurang bernasib baik sepertinya.

Juga mempunyai 'networking' yang sangat baik dengan jabatan-jabatan serta badan-badan swasta bagi memastikan kesejahteraan di tahap terbaik disediakan untuk rakyat. Itulah 'kroni BN kaya' mengikut pemahaman penulis.

BN sudah pasti tidak akan memilih calon wakil rakyat yang hanya tahu merayu derma dan simpati para pengundi contohnya seperti wakil S4S di bawah...



Balik kepada Nurhanim, semoga beliau menyertai BN satu hari kelak dan meninggalkan parti yang terkontang kanting dalam Pakatan Harapan dan hanya mementingkan kroni sendiri sahaja serta tiada pelan untuk membantu seluruh rakyat di negeri Sarawak (bertanding cuma di kawasan tertentu sahaja).

Video ini menjelaskan kenapa PKR tidak boleh diharap untuk menunaikan janji.

Dengarlah apa katanya tentang janji PKR pada beliau dulu..


Ingatan kepada diri kita sendiri, jangan terpedaya dengan kempen minyak motosikal percuma bermusim PKR. Masyarakat di Tupong majoritinya sudah mempunyai kereta sendiri dan tidak memerlukan sogokan minyak motosikal sebagai tukar ganti kepada undi yang tetap kepada parti pemerintah.

Iboh terkait ngan sidak parti luar mok nyadi wakil kita. Sik ku pian ngan minyak sekali isik kitak ya.. you..you..



Saturday, March 12, 2016

Video PKR kena amuk balu P.I Bala waktu sidang akhbar.

PKR sahaja. Janji tinggal janji, akhirnya orang lain yang teraniaya.

Menunjukkan modal minyak hitam motosikal sahaja tidak cukup untuk meyakinkan semua janji-janji PKR ditunaikan kepada rakyat Tupong di Kuching.



KUALA LUMPUR – Balu kepada bekas penyiasat persendirian mendiang P Balasubramaniam, A Santamil Selvi mengamuk ketika sidang media yang diadakan di sini, sebentar tadi.

Selvi ketika sidang media tersebut berkata PKR tidak mampu menyediakan dana yang diperlukan untuk pendidikan anaknya.

“Sekarang saya rasa saya nak berhentikan saja sidang media ni, sebab saya datang sini untuk minta bantuan untuk anak saya sahaja bukan untuk buka cerita-cerita lain” kata sambil beredar meninggalkan sidang media tersebut.

Selvi dikatakan tidak berpuasa hati apabila ada dikalangan wartawan yang mempertikaikan tindakannya membuat sidang akhbar untuk menyatakan permohonan maaf terhadap Perdana Menteri atas tuduhan yang dilemparkan sebelum ini.

Bagaimanapun wartawan asing yang tidak berpuas hati dengan tindakan Selvi itu terus mengasak beliau dengan pelbagai soalan lain.

“Tiada lagi soalan, saya datang sini untuk dapatkan dana pendidikan untuk anak saya itu sahaja sebanyak RM20,000 tapi PKR tidak mahu bagi jadi saya terpaksa datang ke pejabat ini.

Saya datang sini hanya untuk duit bagi membiayai pelajaran anak saya itu sahaja” jeritnya pula sebelum beredar.

Anak kepada Selvi yang turut hadir dalam sidang media tersebut menggesa agar pihak wartawan berhenti bertanyakan sebarang soalan bagi mententeramkan keadaan.

– Kredit kepada SuaraTV


Wednesday, March 9, 2016

Manifesto PRN Sarawak. Lebih banyak gambar daripada mesej bertulis..

Berucap ketika melancarkan edisi digital akhbar Sin Chew dan The Star, Adenan berkata, manifesto tersebut akan melebihkan penggunaan imej dan gambar berbanding teks.

Manifesto Pilihanraya Negeri Sarawak pada kali ini akan menampilkan sesuatu yang lain daripada yang lain. Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem berkata kali ini lebih banyak penggunaan banyak gambar berbanding mesej yang ditulis panjang lebar.

Banyak gambar, sedikit mesej bertulis.. Itulah kaedah untuk memudahkan masyarakat masa kini agar mudah faham terutama bagi jenis yang suka mengambil tahu dengan hanya sekali imbas.

"Saya sedar, orang kita malas membaca, jadi tidak perlulah kita menggunakan terlalu banyak perkataan untuk manifesto kali ini, sebaliknya kita lebihkan gambar, terutama gambar saya," kata Adenan sambil ketawa.

Katanya lagi, penting untuk memastikan rakyat memahami secara mudah mesej yang hendak disampaikan, dan bukannya ditulis dengan panjang berjela.

” Ia akan mempermudah rakyat memahami apa yang diaspirasikan kita, terutamanya 50 pencapaian yang telah kita laksanakan selama dua tahun ini."

Ketika ini pihaknya sedang berusaha untuk menyiapkan manifesto bagi tujuan pilihanraya Negeri Sarawak, dengan beberapa perubahan dilakukan sesuai dengan keperluan semasa.


Sunday, March 6, 2016

Cara PKR yang murah untuk raih sokongan masyarakat Tupong

Ini sahaja yang termampu dari PKR berbanding pemberian BR1M yang disediakan oleh kerajaan pimpinan Barisan Nasional kepada rakyat setiap tahun.

Walaupun bukan satu parti yang sesuai untuk masyarakat Tupong, sekurang-kurangnya kempen seperti ini tidak memburukkan sesiapa dalam mengekalkan sokongan ahli sendiri.


Menyediakan program menukar minyak hitam motosikal, serta kempen petrol percuma untuk penunggang motosikal tidak membolehkan rakyat untuk mengharap PKR sebagai parti rakyat. Ia terlalu sedikit jika dibandingkan dengan perbelanjaan jutaan ringgit hanya untuk memasang billboard dalam kempen 'bebaskan Anwar' di Selangor baru-baru ini.

Lihat sini.

Kita juga sudah melihat perebutan kuasa di Selangor dengan cubaan pemimpin tertinggi PKR untuk meletakkan kerabat keluarga sendiri sebagai Menteri Besar.

Bagaimanapun, kita mahu melihat parti pembangkang lain terutamanya DAP mengamalkan budaya bersaing secara sihat di Sarawak, bukannya dengan memainkan sentimen perkauman, budaya hasut-menghasut serta memburukkan keperibadian orang lain tanpa perlu membuat apa-apa kebaikan kepada rakyat.


Monday, February 22, 2016

Fitnah Adenan Satem.. CM Sarawak enggan mengulas apa-apa.

Berbeza akhlak pemimpin PBB, BN Sarawak dengan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming.

Fitnah perkauman sememangnya makanan politik dan cara DAP. Sejak dulu lagi isu rasis menjadi modal politik pembangkang di Sarawak.

Contoh politik rasis Pengerusi DAP Sarawak sebelum ini..

http://sarawakia.blogspot.my/2016/01/kenyataan-tergempar-pengerusi-dap.html

Terbaru,

Nga Kor Ming menyebar kenyataan Adenan yang telah diubah mengenai komuniti Cina di Sarawak.


Biarlah rakyat melihat derita penyakit hati yang sedang mereka alami... Politik rasis, bukan cara kita.


Cina: Adenan enggan ulas tindakan Nga ubah kenyataannya

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem enggan mengulas tindakan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Perak Nga Kor Ming yang mengubah kenyataannya mengenai komuniti Cina di Sarawak.

“Terima kasih (kepada media) kerana memaklumkan perkara ini, saya tidak tahu, kerana saya tidak mengata demikian.

“Saya tidak akan memberi maklum balas kepada perkara yang saya tidak tahu. Saya tidak tahu apa yang beliau (Nga Kor Ming) katakan,” ujarnya pada sidang media di sini, semalam.

Terdahulu Adenan menyempurnakan Majlis Penutupan Konvensyen Pendidikan Kenegaraan Peringkat Sarawak 2016 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dekat sini.

Pada majlis tertutup itu, Adenan telah menyampaikan amanat di hadapan kira-kira 2,500 peserta yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Malaysia Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing dan Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah.

Adenan yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai tindakan Nga dalam akaun Facebook peribadinya memetik Adenan sebagai berkata: “Balik Tong San Cina Babi, apa lagi mau”, yang turut dilaporkan  dalam portal berita baru-baru ini.

Hakikatnya kapsyen itu telah diubah atau direka daripada gambar asalnya iaitu ‘Adenan: Kerajaan kami akan sentiasa melayan kaum Cina dengan baik’.

Sementara itu, ditanya mengenai inti pati ucapannya, Adenan berkata ia lebih kepada komen serta pandangan beliau mengenai dasar-dasar pendidikan negara.

“Saya mengulas mengenai dasar-dasar pendidikan negara, itu sahaja. Saya tidak boleh nyatakan dengan terperinci kepada anda (media).

“Ia lebih kepada pemerhatian saya kepada dasar-dasar pendidikan negara,” jelasnya.

Adenan bagaimanapun mengakui beberapa perkara menyebabkan beliau tidak berpuas hati tetapi menegaskan perkara itu akan dimaklumkan kemudian, apabila tiba masanya. - Borneopost


Saturday, February 20, 2016

Video Tony Pua dan Teo Nie Ching melampau..



Beginilah cara DAP mengucapkan selamat Tahun Baru Cina kepada rakyat Malaysia. Dengan gaya mempersendakan pemimpin negara dengan fitnah rasuah RM2.6billion dalam lagu sambutan perayaan mereka.

Syabas kepada lelaki berbaju arab, yang pastinya bukan cina. Bangga dirimu diperbodohkan dengan berpakaian sunnah gimik hamba politik wang. Laknat sungguh perbuatan kamu itu!

Ahli politik seperti Tony Pua dan Teo Nie Ching berperangai seperti budak-budak. Sebati sifat kepimpinan cara DAP menyedarkan kita rupa-rupanya perayaan Tahun Cina boleh disambut dengan cara menghina orang lain.

A Happy New Year to all.. Inilah dia contoh kepimpinan DAP yang menjanjikan kemakmuran kepada masyarakat majmuk di Malaysia.

Masihkah kita yakin pada parti yang pemimpinnya yang tidak matang seperti ini?

Sedarlah rakyat Sarawak... Sedarlah....



Friday, February 19, 2016

Kerjasama BN-DAP Sarawak? Taktik terbaru Pembangkang terdesak.

Apa yang diperkatakan oleh ahli MT PBB, Datuk Abdul Karim tentang pembentukan kerajaan perpaduan BN-DAP sebagai mustahil adalah tepat sekali.

Sebelum ini DAP begitu lancang mengaitkan BN Sarawak sebagai boneka UMNO dalam propaganda pra PRN berbanding isu-isu tempatan membuktikan mereka sudah kehabisan modal untuk berkempen.

Sentimen perkauman, politik kebencian adalah satu-satunya cara DAP untuk meraih sokongan masyarakat di Sarawak. Harus ingat, komponen BN Sarawak adalah satu-satunya gabungan parti tempatan yang tidak melibatkan parti luar dalam pembentukan kerajaan negerinya.

Di Sarawak, asalnya kempen politik gabungan BN dan pembangkang tempatan merupakan persaingan sihat. Masing-masing berusaha memujuk rakyat dengan berlumba membawa kemajuan di kawasan DUN, mengambil berat hal-ehwal masyarakat dan terlibat aktiviti amal serta mempunyai 'testimoni' daripada rakyat.

Berlainan caranya dengan DAP. Mereka hanya tahu melabelkan kepimpinan BN sebagai korup kononnya penuh dengan penyalahgunaan kuasa, mengamal rasuah tetapi pada masa yang sama mahu bekerjasama pula. Tidakkah itu cukup untuk memberitahu kita ada sesuatu yang tidak kena?

Muslihat sama DAP cuba buat pada UMNO Johor pada tahun lepas, themalayonline.com



Rakyat tahu menilai sememangnya DAP cukup bijak memanipulasi keadaan. Mereka tidak akan bekerjasama melainkan ada muslihat di sebalik niat itu. 

Ketika bekas TPM, Datuk Seri Muhyiddin Yassin digugurkan jawatan, DAP segera menggunakan kesempatan itu untuk menangguk di air keruh. Johor merupakan kubu kuat UMNO. Pergeseran akibat pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin (yang merupakan anak kelahiran Johor) daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri, digunakan agar UMNO dan Melayu Johor berpecah-belah serta menentang kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Di situlah DAP memainkan peranan 'lidah beracunnya'.

DAP bercita-cita mensasarkan Johor sebagai negeri utama yang perlu dirampas dan diperintah selepas PRU, begitu juga halnya dengan Negeri Sarawak. Maka sebab itulah mereka begitu terdesak lalu berubah menjadi sangat mesra kepada masyarakat Dayak di kawasan pedalaman, membina jalan-jalan tikus, membina empangan sementara semuanya di bawah projek propaganda Impian Sarawak DAP. 

Nyatakan, mengapa DAP tidak mahu menggunakan PKR, atau setidak-tidaknya parti pembangkang tempatan dalam usaha yang dilakukan kononnya demi meperjuangkan nasib bumiputera? Ia seolah-olah memberitahu kita gabungan Pakatan/Harapan hanya untuk memecah undi BN Sarawak sahaja.

Apabila ada usaha kerajaan Sarawak untuk menaiktaraf kehidupan rakyat, DAP mempolitikkannya. Perhatikan gambar di bawah. Ini bukan contoh yang baik untuk memajukan taraf hidup rakyat.


Penulis setuju 100% kenyataan YB Datuk Karim tentang kerjasama BN-DAP Sarawak. Kaedah berpolitik tidak sama dan pastinya sangat mustahil untuk menjadi kenyataan. 

Komponen BN Sarawak yang dipimpin PBB tidak mengamalkan politik buruk-memburukkan lawan secara keterlaluan sehingga mengundang provokasi perkauman dan agama. Itu bukan cara kita..


Mustahil BN, DAP bentuk kerajaan perpaduan

KUCHING: Gabungan antara Barisan Nasional (BN) Sarawak dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak bagi membentuk kerajaan perpaduan adalah sesuatu yang mustahil.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pada dasarnya BN tidak akan menerima DAP menyertai kumpulan itu kerana parti dari Semenanjung Malaysia itu mempunyai objektif serta organisasi berbeza dengan BN.

Menurutnya BN dan DAP mempunyai sejarah dan objektif tersendiri, yang boleh menimbulkan masalah sekiranya kedua-dua parti itu bekerjasama membentuk satu kerajaan.

“DAP berjuang bertahun-tahun, dilihat ‘cauvanis’, parti bersifat perkauman.

“Mungkin berusaha mendekati kaum lain sejak beberapa tahun lalu untuk dilihat parti pelbagai kaum namun hakikatnya ahli parti itu sebahagian besarnya adalah Cina.

“Walaupun tiada yang mustahil dalam politik, namun melihat senario politik sekarang prospek kerajaan gabungan antara BN dan DAP nampak ‘hampir sifar’ dan mustahil,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada kenyataan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen yang menyatakan bahawa beliau tidak menolak kemungkinan membentuk kerajaan perpaduan dengan BN Sarawak di peringkat negeri.

Chong yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching dan ADUN Kota Sentosa, dalam akhbar kebangsaan berbahasa Cina berkata, selagi beliau pengerusi DAP Sarawak, DAP tidak akan menyertai BN.

Bagaimanapun beliau tidak menolak 100 peratus kemungkinan membentuk kerajaan perpaduan dengan BN, sambil menambah dalam banyak negara, pembangkang bekerjasama dengan parti memerintah di peringkat negeri tetapi bersaing di peringkat persekutuan.

Mengulas kenyataan Chong itu, Karim yang juga ADUN Asajaya berkata: “Setahu saya, Chong bukannya presiden (DAP), saya fikir beliau hanya bermimpi.

“DAP adalah parti Semenanjung Malaysia dan sesiapa sahaja yang berasal dari Sarawak hanya bermimpi untuk dipilih menjadi presiden parti,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung BN Datuk Dr Stephen Rundi Utom dipetik dalam portal berita menyifatkan kenyataan Chong itu hanya gimik politik.

Rundi berkata sebagai parti komponen BN Sarawak terbesar dan mempunyai objektif yang jauh bertentangan dengan DAP, Chong orang terakhir dipilih PBB untuk bekerjasama.

“Tidak perlu untuk PBB membentuk kerajaan perpaduan dengan DAP bagi merampas kerusi Cina memandangkan sokongan komuniti itu kepada BN kini semakin meningkat berbanding Pilihan Raya Negeri 2011, disebabkan populariti Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem,” ujar setiausaha agung PBB itu. - Borneopost


http://www.theborneopost.com/2016/02/19/mustahil-bn-dap-bentuk-kerajaan-perpaduan/





Friday, February 12, 2016

Gambar Ketua Pemuda PBB selepas banjir di Kuching

Menteri Kerja Raya, YB Dato Fadillah Hj Yusof bersama gotong-royong kerja membersih Tadika Hikmah di Petra Jaya yang terjejas oleh banjir dan fenomena air pasang besar baru-baru ini.

Bersama beliau ialah Setiausaha Politik beliau yang juga merupakan Ketua Penerangan Pemuda PBB Sarawak, En. Fazzruddin Abd Rahman serta beberapa anggota sukarelawan yang terdiri daripada Bomba Sarawak, para ibubapa pelajar, kakitangan Tadika hikmah, Yadim dan orang ramai.

Semoga usaha murni mereka semua mendapat keberkatan Allah demi kesejahteraan rakyat bersama.  


Di bawah berikut, ialah jadual untuk kerja bergotong-royong di tempat yang memerlukan bantuan sukarelawan. 

Dipetik daripada laman fb Fazruddin Abd Rahman. Sama-sama kita membantu, ringankan tangan. bertemu di sana besok.. 

The more, the merrier.

*****
Keep Calm and Volunteer... Salam semua. Esok 13 Feb program gotong royong pukul 8.30 pg. Berikut adalah lokasi dan person in charge,

1. Surau dan Tadika Kpg Gita Lama (Othman Saet)
2. Dewan dan Tadika Kpg Tupong Tengah (Affandi Boyd)
3. SRB Chung Hua Sejijak (Hj Ahmad Nahap)
4. Mahad Tahfiz Darul Uloom Jalan Muhibbah Kpg No 6 (Cikgu Zulkeria)


 
 

Monday, February 8, 2016

Banjir di Matang - Gambar serta bantuan PBB ranting Malihah dan Taman Alamanda

Pusat pemindahan banjir Malihah. Terima kasih kepada agensi-agensi yang terlibat dan PBB Ranting Malihah 1, Malihah 2 dan Alamanda di atas tindakan pantas menyediakan bantuan, bermasak dan lain-lain lagi. Semoga keluarga yang terlibat tabah menghadapi dugaan ini.

Pusat permindahan banjir, Matang Malihah bersama Saudara Fazzrudin A Rahman setiausaha politik Menteri Kerja Raya pada malam tadi.




Sunday, February 7, 2016

Ucapan Selamat Tahun Baru Cina daripada Menteri JKR bersama pembantu beliau.

Selamat Tahun Baru Cina saya ucapkan kepada seluruh masyarakat Tionghua. Adalah diharapkan sambutan tahun baru ini membawa bersamanya kesihatan yang berpanjangan, kebahagiaan dan kemakmuran kepada kita semua.

Kepada seluruh rakyat Malaysia, gunakanlah kesempatan ini untuk kunjung mengunjung antara satu sama lain. Eratkanlah tali silaturahim yang telah sedia terjalin.

Kepada yang memandu, berhati-hatilah di jalan raya. Patuhi had laju serta arahan dari pihak berkuasa. Semoga perjalanan anda semua selamat.

Gong Xi Fa Cai!
Fadillah Haji Yusof
Menteri Kerja Raya Malaysia
Ahli Parlimen P.194 Petra Jaya


To all families and friends..



Friday, February 5, 2016

Pengajaran buat rakyat Sarawak - Jangan tersilap seperti mereka..

Memilih pemimpin yang betul, dengan parti yang betul, serta kepimpinan kerajaan yang betul adalah asas untuk kemakmuran dan kemajuan yang diidamkan semua rakyat.

Kurang satu pertimbangan daripada tiga perkara di atas akan menyebabkan kepincangan. Tugas mentadbir sesebuah negeri bukan hak bagi pihak yang berkepentingan. Dan kita pula tidak mahu menjadi mereka yang tersilap langkah seperti dalam rakaman di bawah.

Apabila wakil rakyat PKR sendiri merintih mengenang nasib disisihkan DAP, kepada siapa lagi hendak mengadu? Semoga menjadi pengajaran kepada kita..

*******

Kredit kepada SarawakToday.

[VIDEO] Rakyat Sarawak perlu tahu..kawasan PKR diabaikan dibawah pentadbiran DAP Pulau Pinang



Rakyat Sarawak mungkin tidak tahu bahawa di Pulau Pinang, kerajaan dibawah pentadbiran DAP mengabaikan pembangunan rakyat di kawasan pedalaman.

Apa yang menarik ialah kawasan DUN Menanti adalah dibawah kendalian ADUN PKR, rakan DAP dalam Pakatan Harapan!


ADUN PKR Pulau Pinang, Dr. Norlela Ariffin menangis kesedihan semasa sidang DUN Pulau Pinang kerana luahan dan persoalannya mengenai pembangunan penduduk kawasan Penanti diabaikan.

"Kawasan saya kawasan kampung yang terpinggir, saya bawa suara orang kampung...yang mendengar suara saya Padang Kota saja," luahnya sambil menangis.

Dr Norlela Ariffin (PKR-Penanti) berkata, semua 28 kawasan di DUN Penanti adalah kampung yang tidak mempunyai kemudahan asas seperti pengangkutan, mesin ATM dan banyak lagi.

"Saya sedih sangat...sebab kerajaan ini (Pulau Pinang) sepatutnya...DAP adalah satu parti yang sosial demokrat...apa yang saya nak cakap dengan orang kampung bila balik, tanya pasal sungai jeti pun tak jawab," katanya.

Sebelum memerintah, DAP menabur janji manis kepada rakyat di kawasan tersebut; slogan UBAH menjadi bahan kempen. Namun apa yang terjadi, selepas menang, DAP meminggirkan kawasan tersebut.

Berbalik kita kepada keadaan atau senario politik di Sarawak, DAP menabur janji kepada rakyat seolah-olah segala masalah rakyat akan selesai apabila mereka (DAP) diberi peluang untuk memerintah.

Sedangkan rakyat di Sarawak tidak tahu keadaan sebenar; keluhan bukan setakat dari penyokong BN, malah rintihan penduduk di DUN PKR Pulau Pinang turut diabaikan oleh DAP.

DAP Sarawak fokus kepada kawasan pedalaman Sarawak yang mana menurut mereka semua kawasan pedalaman akan penuh dengan projek pembangunan sekiranya DAP atau Pakatan Harapan diberi peluang memerintah.

Bagaimana rakyat di Sarawak mahu percaya dengan janji manis DAP? Kawasan rakan sepakatan (PKR) diabaikan, inikan pula mahu membangunkan kawasan di Sarawak yang sekarang ini berada di dalam kawasan Barisan Nasional Sarawak.

Apa kemampuan DAP Sarawak? Walhal kawasan bandar yang dimegah-megah oleh DAP sebelum ini dibangunkan menggunakan peruntukan projek dari kerajaan Pusat dan Negeri Sarawak (Barisan Nasional).

Penyokong PKR Sarawak pula jangan jadi seperti PKR Pulau Pinang. Bukti video diatas sudah cukup untuk mengajar bahawa DAP bukan sekadar berjanji kosong, malah mereka (DAP) juga hanya mementingkan agenda parti, bukan membantu rakyat.-Sarawak Today


Tuesday, February 2, 2016

Gambar-gambar yang dirakam ketika Program 1000 Belia, Dun Lambir di Miri


Gembira melihat komitmen anak-anak muda yang bakal menjadi pemimpin satu hari nanti.

Tahniah kepada penganjur DUN Lambir, Pergerakan Pemuda PBB Lambir, Miri K-Car Community dan Miri Amateur Radio Club atas kejayaan menghimpunkan lebih 1500 belia.






Fadillah bersama 1000 orang belia di DUN Lambir

Belia boleh bergantung kepada Barisan Nasional (BN) untuk merangka lebih banyak program pembangunan dan projek di Negeri Sarawak.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof memberi jaminan kepada belia bahawa hanya BN boleh berjuang untuk kepentingan rakyat Sarawak.

"Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah mengenal pasti orang yang mampu melakarkan masa depan yang lebih baik dan cerah untuk diri anda. Dari perspektif politik, parti-parti politik negeri BN mampu berjuang untuk masa depan anda di Sarawak", beliau memberi jaminan itu ketika menutup kem belia yang digelar" 1000 Belia # Dun Lambir di ParkCity Everly Hotel Miri semalam.

Sehubungan itu, Fadillah yang juga Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mahu belia untuk memastikan calon-calon BN akan mencapai majoriti besar pada pilihan raya negeri yang akan datang pada tahun ini.

"Ketua Menteri kita Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mahu rakyat memberi mandat yang kuat supaya suaranya untuk memperjuangkan kepentingan Sarawak yang boleh didengar oleh Kerajaan Persekutuan.

"Sebab itu kita mesti menyokong Ketua Menteri untuk memastikan bahawa kerajaan persekutuan memberikan lebih banyak projek pembangunan untuk Sarawak," katanya.

Mengulas mengenai kem pemuda itu, beliau mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa penganjur kerana mempunyai program yang bermakna itu untuk membangunkan sekumpulan belia dengan pemikiran yang positif.

Oleh itu, beliau mahu program ini menjadi program ikon kepada belia PBB dan diperluaskan ke kawasan-kawasan lain.

Kira-kira 1,500 belia dari rumah panjang, kampung-kampung, dan menengah pelajar sekolah mengambil bahagian dalam kem. Lambir ADUN Ripin Lamat ketika berucap sebelum itu mengumumkan bahawa cawangan PBB Lambir telah menubuhkan Putera dan Puteri Briged.


Kredit artikel kepada TheBorneopost.

Monday, February 1, 2016

3 Jambatan untuk rakyat Sarawak buat DAP semakin kepanasan.


Terdapat 3 jenis Jambatan dibina untuk kemudahan rakyat Sarawak dan satu daripadanya sedang giat dijalankan dan akan siap tidak lama lagi. Pembinaannya pula bukan calang-calang. Akan merupakan yang terpanjang dan kedua terpanjang di negeri ini. 

Kini ia terpulang kepada rakyat untuk menilai pihak mana yang menyediakan kemudahan terbaik di negeri ini tanpa bercakap banyak dan pihak mana yang meraih sokongan dengan kaedah budaya politik bangkangan yang dibawa daripada Semenanjung Malaysia.

1) Jambatan Batang Sadong (Panjang 774 meter)

Jambatan Batang Sadong merupakan jambatan yang terpanjang di Sarawak dengan kos pembinaannya bernilai RM230 juta. Ia menghubungkan Daerah Asajaya dan Daerah Simunjan.

Kepada yang bertanya tentang projek ini, kerja pembinaan telah pun bermula pada tahun 2012 dan kini telah 91.3% siap. Dijangka siap sepenuhnya pada Ogos ini.

Merupakan Jambatan terpanjang di Sarawak dan akan menjadi pelengkap kepada laluan dari Kuching ke Muara Tuang-Asajaya-Sadong Jaya- Simunjan dan Sebuyau tanpa perlu lagi menggunakan perkhidmatan feri.

Sambutan rakyat yang mendapat manfaat dengan pembinaan Jambatan seperti di fb wall..





2) Jambatan Batang Lupar 

Kerajaan pusat dan negeri merancang membina jambatan merentasi Batang Lupar, lebih panjang daripada Jambatan Batang Sadong termasuk membangunkan keseluruhan kawasan pantai di negeri ini sehingga ke bahagian Bintulu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, projek itu elok dilaksanakan melalui kerjasama erat pusat dan negeri dengan perbelanjaannya ditanggung 50 peratus kerajaan pusat dan 50 peratus kerajaan negeri.

Projek pembinaan Jambatan Batang Lupar di sungai Batang Lupar, Sri Aman yang dianggarkan bernilai RM1 bilion. Pembinaan jambatan terpanjang di Malaysia ini juga akan menjadi sebahagian daripada manifesto Barisan Nasional menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11.

Bagaimanapun, wakil DAP Melayu, Aziz Isa cuba untuk mempolitikkan isu pembinaan jambatan ini demi kelansungan partinya yang ibarat 'hidup segan mati tak mahu' di kawasan tersebut. Antaranya projek Jambatan Samarahan dan isu award tender projek.




3)  Jambatan Batang Sadong

Mungkin saudara Aziz Isa, 'bakal calon Melayu DAP kawasan N6 Tupong' sangat prihatin dengan masalah jambatan namun tidak peka dengan keadaan sekeliling beliau. Atau mungkin beliau tidak tahu langsung apa yang berlaku di depan batang hidungnya sendiri.

Soal beliau, mengapa Jambatan Batang Samarahan tidak diumumkan ketika pemimpin kerajaan merancang pembinaan Jambatan Batang Lupar yang merupakan jambatan terpanjang di Sarawak semalam?

Untuk makluman pihak DAP di kawasan N6 DUN Tupong, perlaksanaan pembinaan projek telah pun bermula pada tahun lepas. 

Majlis pecah tanah pembinaan Jambatan Batang Samarahan itu disempurnakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di tapak pembinaan, Kampung Baru, Kota Samarahan pada awal Febuari 2015.




Tempoh pembinaan Jambatan Batang Samarahan akan memakan selama masa 3 tahun dan dijangka siap pada Januari 2018. Syarikat yang menerima award projek ini ialah Piasau Konkerit Sdn. Bhd.

Tidak ada dominasi projek oleh syarikat kroni seperti yang berlaku di negeri-negeri pimpinan parti pembangkang. Yang diamalkan di Sarawak cuma kerja untuk rakyat, buat rakyat dan hanya kepada rakyat.

Rakyat Sarawak tidak perlukan parti yang sekadar mampu memburukkan lawan dan mengharapkan undi protes dengan tidak perlu berbuat apa-apa untuk kebaikan bersama. Politik di negeri Sarawak ialah politik bekerja, bukannya politik spekulasi, benci-membenci, politik angan-angan dan sebagainya..