Showing posts with label JKR. Show all posts
Showing posts with label JKR. Show all posts

Wednesday, March 2, 2016

PKR Sudah Mengelabah Dan Tidak Mempunyai Modal - Fadillah


Dakwaan pemimpin PKR bahawa projek Hospital Petra Jaya hanya janji kosong kerajaan adalah tidak benar sama sekali, sebaliknya ia membuktikan betapa pembangkang jelas sudah ketandusan modal menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11, sehingga sanggup menyebarkan fitnah.

Pihak PKR sudah mengelabah dan tidak mempunyai modal lagi menjelang PRN akan datang, memandangkan prestasi amat cemerlang ditunjukkan oleh YAB Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, sehinggakan isu dibangkitkan secara semborono, tanpa usul periksa.

Ingin saya kongsi bersama bahawa Hospital Petra Jaya sedang rancak dalam pembinaan dan mengikuti jadual asal siap dan beroperasi menjelang 2017, manakala kalau YB See Chee How melapangkan sedikit masa untuk ke Sarikei mungkin beliau sedar bahawa Hospital Sarikei telah pun siap dan beroperasi sejak tahun 2005.



Pada masa yang sama, tender dokumen untuk kerja-kerja tanah Kilinik Kesihatan Serian sedang disediakan oleh Jabatan Kerja Rya (JKR) Sarawak.

BN pimpinan YAB Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak di peringkat Pusat dan YAB Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di peringkat Negeri Sarawak, sentiasa berpegang kepada janji demi kesejahteraan rakyat.

Contoh paling jelas adalah Projek Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 2,300 km bermula dari Sematan di Sarawak hingga ke Serudong di Sabah sebagai sebahagian daripada janji Kerajaan dalam pilihan raya yang lalu.

Secara keseluruhannya, kos pembinaan Fasa 1 Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dianggarkan sebanyak RM16.488 bilion, manakala kos pembinaan Fasa 1 Lebuhraya Pan Borneo Sabah pula dianggarkan sebanyak RM12.8 bilion dengan ia disasarkan siap sepenuhnya 2021 - 2022.

Justeru janganlah mana-mana pihak terutama pembangkang cuba mengelirukan rakyat sedangkan sudah jelas pembangunan yang dibawa oleh Barisan Nasional (BN) sememangnya telah dirasai dan dinikmati oleh rakyat Sarawak dan kita yakin YAB Ketua Menteri akan membawa Sarawak ke peringkat yang lebih tinggi lagi -klxpress.com


Monday, February 1, 2016

3 Jambatan untuk rakyat Sarawak buat DAP semakin kepanasan.


Terdapat 3 jenis Jambatan dibina untuk kemudahan rakyat Sarawak dan satu daripadanya sedang giat dijalankan dan akan siap tidak lama lagi. Pembinaannya pula bukan calang-calang. Akan merupakan yang terpanjang dan kedua terpanjang di negeri ini. 

Kini ia terpulang kepada rakyat untuk menilai pihak mana yang menyediakan kemudahan terbaik di negeri ini tanpa bercakap banyak dan pihak mana yang meraih sokongan dengan kaedah budaya politik bangkangan yang dibawa daripada Semenanjung Malaysia.

1) Jambatan Batang Sadong (Panjang 774 meter)

Jambatan Batang Sadong merupakan jambatan yang terpanjang di Sarawak dengan kos pembinaannya bernilai RM230 juta. Ia menghubungkan Daerah Asajaya dan Daerah Simunjan.

Kepada yang bertanya tentang projek ini, kerja pembinaan telah pun bermula pada tahun 2012 dan kini telah 91.3% siap. Dijangka siap sepenuhnya pada Ogos ini.

Merupakan Jambatan terpanjang di Sarawak dan akan menjadi pelengkap kepada laluan dari Kuching ke Muara Tuang-Asajaya-Sadong Jaya- Simunjan dan Sebuyau tanpa perlu lagi menggunakan perkhidmatan feri.

Sambutan rakyat yang mendapat manfaat dengan pembinaan Jambatan seperti di fb wall..





2) Jambatan Batang Lupar 

Kerajaan pusat dan negeri merancang membina jambatan merentasi Batang Lupar, lebih panjang daripada Jambatan Batang Sadong termasuk membangunkan keseluruhan kawasan pantai di negeri ini sehingga ke bahagian Bintulu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, projek itu elok dilaksanakan melalui kerjasama erat pusat dan negeri dengan perbelanjaannya ditanggung 50 peratus kerajaan pusat dan 50 peratus kerajaan negeri.

Projek pembinaan Jambatan Batang Lupar di sungai Batang Lupar, Sri Aman yang dianggarkan bernilai RM1 bilion. Pembinaan jambatan terpanjang di Malaysia ini juga akan menjadi sebahagian daripada manifesto Barisan Nasional menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11.

Bagaimanapun, wakil DAP Melayu, Aziz Isa cuba untuk mempolitikkan isu pembinaan jambatan ini demi kelansungan partinya yang ibarat 'hidup segan mati tak mahu' di kawasan tersebut. Antaranya projek Jambatan Samarahan dan isu award tender projek.




3)  Jambatan Batang Sadong

Mungkin saudara Aziz Isa, 'bakal calon Melayu DAP kawasan N6 Tupong' sangat prihatin dengan masalah jambatan namun tidak peka dengan keadaan sekeliling beliau. Atau mungkin beliau tidak tahu langsung apa yang berlaku di depan batang hidungnya sendiri.

Soal beliau, mengapa Jambatan Batang Samarahan tidak diumumkan ketika pemimpin kerajaan merancang pembinaan Jambatan Batang Lupar yang merupakan jambatan terpanjang di Sarawak semalam?

Untuk makluman pihak DAP di kawasan N6 DUN Tupong, perlaksanaan pembinaan projek telah pun bermula pada tahun lepas. 

Majlis pecah tanah pembinaan Jambatan Batang Samarahan itu disempurnakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di tapak pembinaan, Kampung Baru, Kota Samarahan pada awal Febuari 2015.




Tempoh pembinaan Jambatan Batang Samarahan akan memakan selama masa 3 tahun dan dijangka siap pada Januari 2018. Syarikat yang menerima award projek ini ialah Piasau Konkerit Sdn. Bhd.

Tidak ada dominasi projek oleh syarikat kroni seperti yang berlaku di negeri-negeri pimpinan parti pembangkang. Yang diamalkan di Sarawak cuma kerja untuk rakyat, buat rakyat dan hanya kepada rakyat.

Rakyat Sarawak tidak perlukan parti yang sekadar mampu memburukkan lawan dan mengharapkan undi protes dengan tidak perlu berbuat apa-apa untuk kebaikan bersama. Politik di negeri Sarawak ialah politik bekerja, bukannya politik spekulasi, benci-membenci, politik angan-angan dan sebagainya..

Thursday, December 10, 2015

Perasmian Majlis Projek Naiktaraf Jalan Serian Batu 10 ke Batu 15


SERIAN : Kementerian Kerja Raya (KKR) telah memperuntukkan kos sebanyak RM79,999,998 juta untuk Projek Menaiktaraf Jalan Kuching-Serian dari Batu 10 ke Batu 15 dan dijangka akan siap pada Ogos tahun hadapan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek naiktaraf tersebut merupakan merupakan missing link Pan Borneo Sarawak.

“Jalan Kuching –Serian dari Batu 15 hingga Bandar Serian telah dinaiktaraf kepada 4 lorong 2 hala pada 2005, jajaran dari Batu 10 ke Batu 15 ini masih 2 lorong 2 hala dan menyebabkan “bottleneck” yang membawa kepada kesesakan trafik dengan Level of service (LOS) peringkat ‘F’,” tambahnya.

Menurutnya, projek naiktaraf jalan ini telah diluluskan peaksanaannya oleh Kerajaan Persekutuan pada tahun 2014 dalam Rolling Plan ke 4 rancangan Malaysia ke 10 (RMKe-10).

“Antara skop projek ialah, menaiktaraf jalan sedia ada daripada 2 lorong 2 hala kepada 4 lorong 2 hal dengan piawaian U5 sepanjang 9.2 kilometer (km) ; membina 4 jambatan baru dan mengganti 1 jambatan lama; menaiktaraf 5 persimpangan utama; menyediakan kemudahan 5 uturns di persimpangan dan 1 Roundabout – WD50; menyediakan 1 right turn lane; menyediakan 10 lokasi bus lay-by; pengalihan utiliti dan pengambilan balik tanah; pemasangan lampu jalan dan perabot jalan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Projek Menaiktaraf Jalan Kuching- Serian dari Batu 10 ke Batu 15, Kuching Sarawak di sini pagi tadi.

Fadillah berkata, apabila pelaksanaan projek naiktaraf jalan ini siap kelak, jalan ini bakal memberi impak sosial dan ekonomi kepada pembangunan di Kuching khususnya dan di Negeri Sarawak amnya.

“Misalnya meningkat keselamatan dan meminimumkan risiko kemalangan berikutan jalan sedia ada adalah sempit yang membahayakan pengguna jalan raya yang ingin memotong kenderaan di hadapan di samping menyediakan rangkaian jalan raya yang lebih selesa dan sempurna bagi menampung peningkatan aliran traffik tahun demi tahun. – Sarawakiana.

*****

Gambar-gambar Sekitar Perasmian Majlis Projek Naiktaraf Jalan Kucing - Serian Batu 10 ke Batu 15 pagi tadi bersama YB Dato Sri Michael Manyin, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi Sarawak.

\




Sunday, November 15, 2015

Pengumuman Pembukaan Lebuhraya Kuala-Lumpur - Karak

Kenyataan Media YBM Kementerian Kerja Raya Dato' Sri Fadillah Yusof mengenai Pembukaan Lebuhraya Kuala Lumpur Karak (secara berperingkat).


Thursday, November 12, 2015

Kenyataan media menteri JKR berkenaan tanah-runtuh Jalan Karak-KL

Jalan Karak-Kuala Lumpur terputus hubungan malam tadi berikutan kejadian tanah runtuh dan banjir. Video di bawah adalah kenyataan menteri Datuk Hj Fadillah Yusof berkenaan bencana itu pada malam tadi;




Kementerian Kerja Raya akan menghantar pasukan pakar forensik Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi meninjau keadaan kawasan tanah runtuh di Km52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, esok.

Menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pada masa ini, JKR sudah berada di lapangan bagi melakukan kerja-kerja pembersihan yang dijangka siap pagi esok.

“Apa yang penting (sekarang), walaupun pembersihan sudah dibuat, kita nak pastikan laluan itu selamat untuk dilalui. Pada masa ini, pengguna sama ada yang tersadai atau ingin melalui jalan itu, hubungi Bilik Gerakan JKR untuk mendapatkan maklumat tepat.

“Jangan bersandarkan kepada media sosial melainkan saluran sahih termasuk rangkaian berita nasional,” katanya pada sidang media, di sini malam ini.

Fadillah juga menasihatkan pengguna agar menangguhkan perjalanan atau menggunakan jalan alternatif kerana pihaknya tidak akan membuka jalan berkenaan berikutan laporan awal mendapati pergerakan tanah masih berlaku.

“Kita hanya membuka jalan berkenaan setelah disahkan bahawa cerun tanah itu sudah berada dalam keadaan stabil untuk memastikan keselamatan orang ramai,” katanya.

Sebahagian laluan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak ditutup kepada pengguna ekoran kejadian tanah runtuh di Km52.4 berhampiran Lentang-Bukit Tinggi pada 7.18 malam tadi. – Bernama

Sunday, July 19, 2015

Gangguan bekalan air kawasan Kota Samarahan, Serian, Bau dan Matang

Difahamkan bekalan air paip di beberapa bahagian di bandar Kuching, Serian, Bau dan Kota Samarahan akan dihentikan selang sehari bermula 21 Julai 2015 dari jam 9am sehingga 22 Julai 2015 jam 9am keesokan harinya.

Bekalan air disambung semula tarikh tersebut sehingga 23 Julai 2015 dan dihentikan lagi pada hari berikutnya.

Gangguan ini dijangka akan berlangsung secara selang sehari sehingga notis pemberitahuan dikeluarkan kelak oleh pihak berwajib.

Punca gangguan bekalan air adalah disebabkan paras air sungai yang rendah dan penggunaan air yang banyak terutama pada sambutan perayaan.

Para pengguna dinasihatkan memastikan air di tangki penuh ataupun membuat catuan air di tempat sesuai untuk keperluan sepanjang tempoh gangguan tersebut.

Thursday, May 14, 2015

Menteri tolak cadangan PKR agar motosikal dikenakan Tol


Sifat terdesak pihak pembangkang untuk memutarbelitkan fakta dengan menuduh Menteri Kerja Raya yang mencadangkan motosikal dikenakan tol ibarat meludah ke langit, kerana hansard perbahasan tersebut jelas tercatat apa sebenarnya yang berlaku, siapa sebenarnya yang mencadangkan agar motosikal dikenakan tol.

Hakikatnya ahli Parlimen Kuantan, Fauziah Salleh yang cuba mempertikai keputusan kerajaan yang tidak mengenakan tol terhadap motosikal, dan telah dijawab oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah ketika menjawab soalan ahli Parlimen Kuantan itu semasa sidang Dewan Rakyat di Parlimen pada November 2013 berkata, Kadar Tol di lebuh raya negara ini tidak ditentukan mengikut kapasiti enjin ataupun CC, sebaliknya dibuat berasaskan kelas ataupun jenis kenderaan.

“Motorsikal berkuasa tinggi tidak dikenakan kutipan tol kerana ia termasuk dibawah kategori kenderaan dua gandar atau dua roda (motorsikal) yang dikecualikan dari kutipan tol.

“Penetapan untuk kelas atau jenis kenderaan ini adalah berasaskan kepada Akta Jalan-jalan Persekutuan (Pengurusan Persendirian) 1984 dan keputusan ini ditetapkan adalah berdasarkan akta dan perundangan.” katanya.

Fauziah yang jelas tidak berpuas hati meminta agar keputusan tersebut dikaji semula kerana menurut ahli Parlimen PKR itu, kewajaraan untuk mengenakan tol terhadap motosikal ialah kerana terdapat motosikal berkuasa tinggi yang setaraf dengan kereta.

Walau bagaimanapun, Fadillah yang juga ahli Parlimen Petra Jaya menolak gesaan tersebut ketika itu berkata, jika kerajaan mahu mewujudkan kutipan tol kepada motorsikal, mereka perlu mewujudkan lorong-lorong kutipan tol untuk motorsikal.

“Jika ingin juga dilaksanakan ianya akan mengakibatkan penggunaan belanja yang agak besar.” katanya.

Meskpun isu ini sudah lama, namun akibat ketandusan itu ianya terpaksa dikitar semula demi untuk mencipta persepsi buruk terhadap kerajaan.

Namun disini jelas terbukti siapa atau pihak mana sebenarnya yang mahu motosikal dikenakan tol...?

Kredit kepada suaramassa.blogspot

Tuesday, April 14, 2015

Gambar-gambar menggembirakan warga Matang, Kuching. Perasmian pembinaan Jalan 4 lorong Emart - Stapok/ Batu Kawa.


Majlis Pelancaran Pembinaan Jalan Empat Lorong Dari E Mart Matang ke Stapok/Batu Kawa Kuching, Sarawak telah dirasmikan oleh YAB Ketua Menteri di Matang Jaya petang tadi.

Pembinaan jalanraya 4 lorong, 2 hala ini menggunakan piawaian jalan JKR u5 bermula daripada bulatan sedia ada di E Mart, menghubung kembali ke pusat Bandaraya Kuching melalui Jalan Stapok dengan jumlah panjang jalan sejauh kira-kira 4.4 kilometer.


Projek yang dianggarkan menelan belanja sekitar RM120 Juta ini dijangka siap pada penghujung 2017. JKR telah diberikan tanggungjawab untuk memantau perlaksanaan projek ini.

Sementara itu, pembinaan jambatan kedua daripada Petra Jaya ke Kuching melalui Stapok akan dibina bagi tujuan laluan ini dan mempunyai panjang 310 meter.

Ilustrasi seperti di bawah,



Tujuan utama projek ini adalah untuk menampung peningkatan jumlah trafik yang semakin pesat di Bandaraya Kuching dan menyediakan akses aliran trafik yang lebih lancar terutama di Matang Jaya, Petra Jaya dan kawasan sekitar yang semakin sesak terutama pada waktu puncak ketika musim persekolahan.

Jalan 4 lorong ini akan menjadi laluan alternatif bagi para pengguna mengurangkan kesesakan untuk ke pusat Bandaraya. Ia juga akan menjadi penghubung utama bagi penduduk daripada Batu Kawa untuk ke MetroCity, bandar satelit utama di Petra Jaya.

Antara yang turut hadir bersama Ketua Menteri Sarawak ialah,

  • ADUN N6 Tupong - YB Datuk Daud Abd Rahman, 
  • Ahli Parlimen Petra Jaya merangkap Menteri Kerja Raya - YB Datuk Hj Fadillah Yusof, 
  • ADUN N7 Samariang - Hajah Sharifah Hasidah, 
  • Menteri Kemajuan Tanah Sarawak - Dato Sri Michael Manyin anak Jawong, 
  • Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Sarawak - Datuk Dr Stephen Rundi anak Utom, 
  • Menteri Muda Kemudahan Awam Sarawak - Datuk Haji Md Yahaya Bin Basimin Setiausaha Persekutuan Sarawak.dan 
  • Tan Sri Datuk Amar Dr James Masing.


Di bawah adalah gambar-gambar perasmian yang diambil petang tadi.




Saturday, April 11, 2015

Gambar-gambar terkini projek rumah moden mangsa banjir Pahang dan Kelantan - Sumber JKR

Usaha JKR dalam projek-projek pembinaan rumah bagi menggantikan rumah-rumah yang terjejas teruk akibat bencana banjir pada tahun lepas menunjukkan kesungguhan kerajaan persekutuan untuk mengurangkan keperitan yang dihadapi rakyat.

Dalam masa beberapa bulan sahaja pembinaannya, rumah-rumah kini kelihatan hampir siap. Proses yang kebiasaannya mengambil masa sekitar 2 tahun kini dipercepatkan agar boleh diduduki sepenuhnya.

Selain bentuk rumah yang lebih selesa dan teratur, lokasi yang lebih selamat juga disediakan bagi melindungi rakyat daripada menghadapi musibah yang sama berulang. Bagi sesetengah tempat, tapak rumah yang sedia ada dibangunkan dengan bentuk rumah yang lebih kukuh dan tinggi daripada struktur rumah yang lama.

Tidak ada kepimpinan mana-mana negara maju di dunia pun yang sanggup menyediakan semua bantuan seperti ini tanpa perlindungan insuran atau kepentingan yang menguntungkan segelintir pihak. Kerajaan kita melakukan semuanya tanpa mengira perbezaaan ideologi politik atau latar belakang kaum mangsa yang terlibat.

Syabas..

1) Perkembangan Pembinaan Rumah Mangsa Banjir di Pahang ( sumber : JKR Pahang)



2) Perkembangan Projek Rumah Mangsa Banjir Terkini di Kelantan (Sumber Gambar : JKR Negeri Kelantan)


Wednesday, March 25, 2015

Dewan Rakyat - Ucapan Dato' Fadillah Yusof berkaitan isu-isu yang dibangkitkan kepada JKR

Ucapan penggulungan oleh Ahli Parlimen Petra Jaya merangkap Menteri Kerja Raya. Dato' Hj Fadillah Yusof di dewan rakyat. 

Ada beberapa isu yang disentuh dalam ucapan beliau dengan penjelasan seperti dalam 'point-point' yang dipetik penulis di bawah. Antaranya ;
  • Isu Jalan Persekutuan.
  • Isu pengambilan tanah untuk projek membina jalan baru di Kg. Banggol Donas, Kuala Terengganu. (No.9 - 10)
  • Isu kesesakan dari Teluk Likas ke Indah Permai melalui Jalan Sulaman, Kota Kinabalu (No.12)
  • Status pelaksanaan projek Jalan Tuaran – Kudat (No.14)
  • Status projek membaiki keruntuhan cerun berhampiran Jalan Lapangan Terbang Tawau. (No.16)
  • Status projek jalan Pan Borneo (No.19 - 20)
  • Isu Projek KIDEX (No.21 - 25)
  • Isu jajaran lebuh raya DASH (No.26 - 28)
  • Isu kualiti jalan Lebuhraya Pantai Timur, Fasa 2 Negeri Terengganu / LPT2 (No.29 - 31)
  • Penjelasan Projek Kerajaan yang dikategorikan sakit atau terbengkalai (No.21 - 35)
  • Isu agihan kontrak-kontrak kecil Kerajaan (No.36 - 38)
  • Isu status pembinaan Rumah Kekal kepada mangsa banjir. (No.39 - 42)
  • Isu kos per katil hospital awam yang dilihat amat tinggi (No.43 - 45)

- Sarawakianmarks




UCAPAN PENGGULUNGAN Y.B. MENTERI KERJA RAYA PERBAHASAN KE ATAS USUL MENJUNJUNG KASIH TITAH SERI PADUKA YANG DIPERTUAN AGONG DI DEWAN RAKYAT

24 MAC 2015

PENDAHULUAN


Tuan Yang Di-Pertua,

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam sesi perbahasan ke atas Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan turut menyentuh isu-isu di bawah bidang kuasa Kementerian Kerja Raya. Segala cadangan, pandangan dan teguran mengenai isu-isu yang dibangkitkan itu amatlah dihargai dan akan diberikan perhatian oleh kementerian ini.

ISU JALAN PERSEKUTUAN

Tuan Yang Di-Pertua,

2.  Dalam sesi perbahasan yang lalu, beberapa orang Ahli Yang Berhormat telah membangkitkan isu berkaitan pelaksanaan projek Jalan Persekutuan. Antaranya Ahli Yang Berhormat dari LABUAN yang merayu supaya Kerajaan mempertimbangkan semula dan memberi keutamaan terhadap cadangan projek membina dan menaik taraf jalan raya di Pulau Labuan dalam senarai projek RMKe-11 (2016 – 2020). Perkara ini sememangnya diambil maklum oleh kementerian ini.

3.  Sebagaimana Ahli Yang Berhormat telah sedia maklum penetapan untuk membina dan menaik taraf jalan-jalan utama di negara ini dibuat berasaskan kepada Pelan Induk Pembangunan Rangkaian Jalan Raya atau HNDP.

Walaupun dokumen HNDP ini dianggap sebagai sumber rujukan utama bagi membangunkan sistem rangkaian jalan raya di negara kita, namun ia tidaklah sebegitu ‘rigid’, sebaliknya ia digunakan sebagai garis panduan untuk tujuan perancangan Kerajaan sahaja.

4.  Hakikatnya hanya lebih kurang 60% sahaja projek-projek jalan raya dalam RMKe-10 ini mengikut rekomendasi HNDP, manakala 40% lagi tiada dalam perancangan asal HNDP.

Dengan perkataan lain, di samping dokumen HNDP, kementerian ini turut mempertimbangkan permintaan projek-projek baru yang tidak tersenarai dalam HNDP dari Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan atau pemimpin-pemimpin setempat.

5.  Dalam konteks untuk Labuan, Kementerian Kerja Raya telah mencadangkan kepada Agensi Pusat bagi melaksanakan 7 projek baru pada RMKe-11 ini.

Projek-projek tersebut ialah Menaik Taraf Jalan Pohon Batu ke Panchur Hitam (Fasa 2); Jalan Nagalang ke Tg. Taras; Jalan Kinabenuwa ke Rancha Rancha; Jalan Tg. Aru ke Nagalang; Jalan Sg. Bedaun ke Jalan Kinabenuwa; Jalan Mohd Salleh ke Pancur Hitam; dan membina jalan baru dari Taman Pearl ke Rancha Rancha.

Selain cadangan jalan persekutuan di bawah bidang kuasa kementerian ini, Yang Berhormat juga boleh menggunakan saluran Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah (KKLW) untuk menambah baik perkhidmatan rangkaian jalan raya di pulau Labuan.

6.  Ahli Yang Berhormat dari JASIN pula meminta Kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan fasa kedua dan ketiga projek menaik taraf jalan Bemban – Jasin – Tangkak.

Kementerian ini mengambil maklum tentang kepentingan pelaksanaan projek ini berikutan fasa pertama dan fasa keempat projek berkenaan telah disiapkan pada tahun 2012 lalu. Sehubungan itu, cadangan fasa kedua dan ketiga projek ini akan dipohon untuk dilaksanakan dalam tempoh RM Ke-11.

7.  Ahli Yang Berhormat dari JERANTUT pula meminta kementerian ini mengambil tindakan yang lebih tegas berkaitan kelewatan pelaksanaan projek menaik taraf Jalan Benta – Jerantut – Maran.

8.  Untuk makluman Ahli yang Berhormat, pelaksanaan projek ini mengalami kelewatan berikutan terdapat 2 kontrak projek berkenaan terpaksa ditamatkan pada tahun 2009 dan 2010 lalu. Berikutan itu, kementerian ini telah mengemukakan permohonan kepada Agensi Pusat untuk melantik kontraktor yang baru.

Namun kelulusan peruntukan yang diterima daripada Agensi Pusat adalah terhad dan mencukupi untuk menggantikan 8 unit jambatan serta membaiki struktur jalan di lokasi tertentu sahaja. Projek ini telah diberikan keutamaan yang tinggi oleh pihak kementerian dan Kerajaan Negeri untuk kelulusan RMKe-11.


Tuan Yang Di-Pertua,

9.  Ahli Yang Berhormat dari KUALA NERUS pula membangkitkan isu pengambilan tanah untuk projek membina jalan baru di Kg. Banggol Donas, Kuala Terengganu.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, projek membina jalan baru itu ialah sebahagian daripada skop Projek Membina Jalan dan Jambatan dari Jeram ke Kampung Tok Kong ke Bukit Guntung, Kuala Terengganu. Ia merupakan projek Kerajaan Negeri Terengganu yang diselia oleh JKR Negeri. Pada masa kini kemajuan keseluruhan projek tersebut telah 90% siap.

Namun ia telah tertangguh sejak bulan Oktober 2013 yang lalu berikutan injunksi mahkamah yang difailkan oleh beberapa orang penduduk yang membantah proses pengambilan lot tanah di Kg. Banggol Donas, Kuala Terengganu.

10.  Untuk makluman Ahli yang Berhormat, kementerian ini baru sahaja dimaklumkan oleh Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri Terengganu bahawa Mahkamah Rayuan pada 11 Mac 2015 yang lalu telah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 16 Jun 2014, iaitu menolak dengan kos bantahan penduduk terlibat. Ini bermakna mengikut prosedur undang-undang, pelaksanaan projek untuk kepentingan awam itu akan dapat disambung semula dalam tempoh masa yang terdekat ini.

11.  Ahli Yang Berhormat dari SEPANGGAR pula membangkitkan cadangan pembinaan jejambat yang baru sebagai laluan ketiga di Jalan Tuaran – Inanam, Sabah. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, cadangan pembinaan jejambat tersebut telah sedia termasuk dalam skop projek menaik taraf Jalan Lintas, Kota Kinabalu (Fasa 1) yang kini sedang dalam peringkat pembinaan.

12.  Mengenai isu kesesakan dari Teluk Likas ke Indah Permai melalui Jalan Sulaman, Kota Kinabalu – untuk makluman Ahli Yang Berhormat dari SEPANGGAR – berdasarkan kepada Pelan Induk HNDP Fasa 2 untuk Sabah dan Sarawak, kementerian ini telah mengenal pasti 2 projek untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut iaitu seperti berikut:
i. Menaik taraf Jalan Sulaman / UMS, Kota Kinabalu termasuk membina 3 persimpangan bertingkat di persimpangan Jalan King Fisher, persimpangan Jalan UMS dan persimpangan Jalan Sepanggar (Indah Permai); dan
ii. Menaik taraf Jalan Lintas, Kota Kinabalu Fasa 2, termasuk membina 3 persimpangan bertingkat di persimpangan Jalan Pintas Penampang, persimpangan Jalan Lido dan persimpangan Lintas Plaza.

13.  Kedua-dua projek ini telah dipohon untuk kelulusan RMKe-11. Walau bagaimanapun pelaksanaan kedua-dua projek ini masih tertakluk kepada kelulusan RMKe-11 yang dijangka akan diketahui pada bulan Jun 2015 ini.


Tuan Yang Di-Pertua,

14.  Ahli Yang Berhormat dari KALABAKAN pula telah membangkitkan status pelaksanaan projek Jalan Tuaran – Kudat sebagaimana yang telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sebelum ini.

15.  Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kajian Kemungkinan projek berkenaan telah disiapkan pada bulan Februari 2014. Skop projek ini melibatkan pembinaan jalan 4 lorong 2 hala sepanjang 100 kilometer dengan reka bentuk piawaian JKR R5.

Walau bagaimanapun projek ini akan dilaksanakan secara berfasa berikutan ia melibatkan kos yang tinggi, iaitu dianggarkan 1.75 bilion ringgit. Kementerian ini telah memohon kelulusan Agensi Pusat untuk melaksanakan reka bentuk terperinci dalam RMKe-11. Manakala pelaksanaan projek ini akan dimulakan setelah proses reka bentuk terperinci disiapkan kelak.

16.  Ahli Yang Berhormat dari KALABAKAN juga telah membangkitkan mengenai isu status projek membaiki keruntuhan cerun berhampiran Jalan Lapangan Terbang Tawau. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kerja-kerja pembaikan cerun di KM245.4 Jalan Tawau – Sandakan itu telah dimulakan pada bulan Mei 2014 yang lalu.

Projek dengan harga kontrak 5 juta ringgit itu telah mencapai kemajuan hampir 80% dan ia dijangka akan siap sepenuhnya pada bulan Mei 2015 ini.


Tuan Yang Di-Pertua,

17.  Isu berhubung dengan inovasi penggunaan getah dalam teknologi pembinaan jalan di negara ini telah disentuh oleh Ahli Yang Berhormat dari SEKIJANG. Kementerian ini mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Yang Berhormat itu. Sememangnya tidak dinafikan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum ini pernah menggunakan getah sebagai campuran dalam turapan aspal di negara ini.

Teknologi getah sebagai campuran aspal ini sebenarnya telah dilaksanakan JKR untuk jalan-jalan seperti berikut, iaitu Jalan Kuala Lumpur – Seremban (Batu 17 – 18), dan Jalan Kuala Lumpur – Bentong (Batu 141/4 - 141/2) pada tahun 1968; Jalan Pelabuhan Klang (1988); Jalan Rembau – Tampin (1993); Jalan Pekeliling KLIA (1995) dan Jalan Kuantan – Gambang (2003).

18.  Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan sememangnya mengambil maklum mengenai teknologi mesra alam seperti penggunaan getah asli dalam industri pembinaan jalan. Sehubungan itu melalui kerjasama antara kementerian ini dan Lembaga Getah Malaysia (LGM), kedua-dua pihak telah bersetuju untuk mewujudkan Memorandum Persefahaman (MOA) bagi mengkaji penggunaan getah dalam campuran aspal.

Tujuan kajian ini ialah untuk mengenal pasti prestasi dan mengkaji keberkesanan penggunaan getah untuk turapan jalan. Diharapkan melalui kerjasama ini akan dapat membantu meningkatkan penggunaan getah asli atau ‘cup lump rubber’ dalam industri pembinaan jalan, sekali gus membantu untuk menstabilkan harga getah di pasaran.


ISU STATUS JALAN PAN BORNEO


Tuan Yang Di-Pertua,

19.  Ahli Yang Berhormat dari SIPITANG dan TUARAN telah membangkitkan mengenai status pelaksanaan projek Jalan Pan Borneo yang akan dilaksanakan secara penswastaan, khususnya di negeri di Sabah.

20.  Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, skop pelaksanaan dan butir-butir terperinci mengenai baki Jalan Pan Borneo yang belum dibina atau dinaikkan taraf akan dimuktamadkan setelah perjanjian konsesi ditandatangani antara syarikat konsesi dan Kerajaan.

Pada masa kini cadangan penswastaan Jalan Pan Borneo untuk negeri Sarawak sedang dalam peringkat akhir rundingan dan ia dijangka akan dimuktamadkan dalam tempoh masa terdekat ini. Manakala untuk negeri Sabah pula, ia masih sedang dalam peringkat rundingan awal dengan

Kerajaan Negeri dan pihak-pihak lain yang berkepentingan. Rundingan tersebut turut mengambil kira isu berkaitan penglibatan kontraktor tempatan dalam pelaksanaan projek berkenaan.



ISU BERKAITAN LEBUHRAYA


Tuan Yang Di-Pertua,

21.  Ahli Yang Berhormat dari PETALING JAYA SELATAN telah membangkitkan mengenai isu pembatalan pembangunan projek Lebuhraya Kinrara – Damansara (KIDEX) oleh Kerajaan Negeri Selangor dan meminta Kerajaan Pusat menghormati pendirian Kerajaan Negeri itu.

22.  Sebagaimana Ahli Yang Berhormat sedia maklum, perjanjian konsesi projek Lebuh Raya KIDEX telah ditandatangani antara Kerajaan Pusat dan syarikat konsesi pada 15 November 2013.

Sebelum perjanjian ditandatangani, cadangan projek tersebut telah dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) dan ia telah menerima kelulusan bersyarat pada 23 Februari 2012.

23.  Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Pusat telah memastikan pihak syarikat konsesi mematuhi semua peraturan dan prosedur yang ditetapkan pihak Kerajaan Negeri. Ini termasuklah hasil laporan penilaian impak lalu lintas (TIA), penilaian impak alam sekitar (EIA) dan penilaian impak alam sosial (SIA) yang telah dikemukakan kepada pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 7 Julai 2014 dan 26 Januari 2015.

Di samping itu, kementerian ini menerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi juga telah mengadakan sesi ‘engagement’ yang dibuat secara berterusan dengan pihak-pihak berkuasa tempatan dan persatuan penduduk yang terlibat.

24.  Namun demikian permohonan Kerajaan Negeri untuk mendedahkan dokumen perjanjian konsesi termasuk kadar tol tidak dapat dipenuhi. Ini kerana ia melibatkan aspek ‘confidentiality’ atau kerahsiaan di mana ini memerlukan persetujuan daripada kedua-dua pihak untuk mendedahkan perjanjian tersebut.

Di samping itu, cadangan pendedahan perjanjian tersebut memerlukan kelulusan bagi maksud pengklasifikasian daripada Jemaah Menteri, iaitu selaras dengan klausa yang terdapat perjanjian berkenaan.

Perjanjian KIDEX ini juga masih belum dikuatkuasakan (‘activate’) kerana syarikat konsesi belum memenuhi semua prasyarat atau ‘condition precedent’ yang telah ditetapkan.

25.  Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pelaksanaan projek KIDEX ini merupakan sebahagian daripada skim perancangan jangka panjang Kerajaan Pusat untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Lembah Klang, di samping pelaksanaan projek MRT yang sedang dan akan dibina.

Cadangan pelaksanaan projek KIDEX ini perlu dilihat secara holistik di mana ia bukan sahaja akan mengurangkan masalah kesesakan trafik, tetapi juga ia memberikan manfaat dan kesan limpahan sosioekonomi kepada Kerajaan Negeri dan juga negara secara keseluruhan.

Ia juga menepati dasar Kerajaan Pusat untuk mengimbangi perancangan dan pembangunan Greater Kuala Lumpur – Lembah Klang pada masa hadapan dengan mengambil kira pandangan majoriti rakyat.

26.  Ahli Yang Berhormat dari SUBANG pula telah mendesak supaya Kerajaan meminda jajaran projek Lebuhraya Damansara – Shah Alam (DASH), khususnya di kawasan Damansara Perdana dan Mutiara Damansara.

27.  Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, jajaran lebuh raya DASH telah beberapa kali dipinda dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Di samping itu beberapa siri penerangan mengenai projek ini juga telah diadakan dengan persatuan penduduk dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), termasuk memberikan maklumat berkaitan laporan penilaian impak projek.

28.  Hampir keseluruhan jajaran DASH ini disokong oleh majoriti pengguna, kecuali untuk jajaran di kawasan Damansara Perdana sahaja yang menerima bantahan. Sehubungan itu kementerian ini telah mengambil kira pandangan semua pihak yang terbabit (persatuan penduduk, NGO) – dan seterusnya kini sedang mempertimbangkan opsyen-opsyen jajaran yang terbaik dari segi aspek teknikal dan juga impak sosioekonomi di kawasan yang terlibat itu.


Tuan Yang Di-Pertua,

29.  Ahli Yang Berhormat dari KUALA NERUS pula membangkitkan isu kualiti permukaan jalan yang beralun dan tidak rata di Lebuhraya Pantai Timur, Fasa 2 Negeri Terengganu atau LPT2.

30.  Sebagaimana Ahli Yang Berhormat telah sedia maklum, LPT2 sepanjang 184 kilometer ini telah dibuka secara keseluruhan kepada pengguna pada 31 Januari 2015 lalu. Kualiti turapan di lebuh raya ini secara umumnya adalah baik dan ia mematuhi spesifikasi teknikal yang ditetapkan.

Walaupun begitu kementerian ini telah mengenal pasti beberapa lokasi yang agak beralun atau tidak rata, iaitu di KM276.5, KM280.6 dan KM413.0. Keadaan ini disebabkan jajaran lebuh raya itu dibina di kawasan tanah berpaya yang memerlukan masa untuk proses pemadatan tanah. Masalah jalan beralun itu bukanlah melibatkan kegagalan struktur asas jalan, tetapi ia merupakan satu kecacatan atau ‘defect’ sahaja.

31.  Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, projek LPT2 ini masih di bawah tanggungan kerosakan oleh pihak kontraktor yang terlibat. Sehubungan itu pihak kontraktor telah dan sedang mengambil tindakan untuk menurap semula lokasi yang terlibat. Keseluruhan kerja-kerja pembaikan tersebut dijangka akan disiapkan dalam tempoh masa terdekat.


ISU PROJEK SAKIT


Tuan Yang Di-Pertua,

32.  Ahli Yang Berhormat dari JERANTUT telah membangkitkan saranan supaya Kerajaan memantau dengan lebih teliti terhadap projek Kerajaan yang dikategorikan sakit atau terbengkalai.

33.  Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Dalam tempoh RMKe-10 ini, JKR terlibat melaksanakan sebanyak 5,076 bilangan projek Kerajaan dengan nilai keseluruhan projek sebanyak 26.8 bilion ringgit.

Daripada jumlah tersebut ialah sebanyak 4,292 bilangan projek atau 84% telah disiapkan, 347 projek sedang dalam peringkat pembinaan dan 437 projek lagi masih dalam peringkat perancangan atau pra pembinaan. Manakala projek yang dikategorikan sebagai Projek Sakit pula berjumlah kurang daripada 1%, iaitu melibatkan 47 bilangan sahaja.

34.  Projek Sakit ini merujuk kepada projek yang melebihi tempoh 60 hari atau 20% lewat daripada jadual asal. Kebiasaannya JKR akan mengambil tindakan untuk menamatkan kontrak bagi Projek Sakit ini setelah mengadakan proses perbincangan dan mengeluarkan surat amaran kepada pihak kontraktor.

Sehubungan itu, projek yang telah ditamatkan itu perlu melalui proses lantikan kontraktor yang baru di mana ia akan mengambil tempoh masa antara 6 bulan hingga 1 tahun sebelum kontraktor yang baru dapat dilantik dan memulakan semula baki kerja.

35.  Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, terdapat jawatankuasa pengurusan projek peringkat pra-pembinaan dan jawatankuasa pengurusan projek peringkat pembinaan yang ditubuhkan secara dalaman oleh Pengurusan Atasan JKR.

Jawatankuasa ini berperanan untuk memantau prestasi projek-projek yang sedang dalam peringkat pra-pembinaan dan peringkat pembinaan dan seterusnya membuat intervensi terhadap isu-isu dan masalah yang dihadapi oleh projek berstatus lewat jadual supaya ia tidak termasuk dalam kategori Projek Sakit.


ISU AGIHAN KONTRAK-KONTRAK KECIL KERAJAAN


Tuan Yang Di-Pertua,

36.  Ahli Yang Berhormat dari SIPITANG telah membangkitkan mengenai dakwaan kontraktor kecil di Sabah yang tersisih daripada kerja kontrak pusat di negeri tersebut. Beliau memberi contoh kerja-kerja mekanikal dan elektrik (M&E) bagi projek pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang, Sabah.

37.  Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, projek pembinaan IPD Sipitang ialah projek Kerajaan Pusat di mana tender untuk projek ini diuruskan oleh Ibu Pejabat JKR Kuala Lumpur. Oleh itu tender untuk kerja-kerja elektrik dibuat oleh Ibu Pejabat JKR secara kaedah ‘Nominated Sub Contractor’ (NSC).

Ia dibuat berasaskan Pekeliling Kontrak Perbendaharaan bilangan 2 tahun 2013 (2/2013). Iklan tender tersebut telah disiarkan di akhbar-akhbar utama termasuk The Borneo Post, manakala dokumen tender boleh juga dibeli dan diperoleh di Pejabat JKR Kota Kinabalu.

38.  Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kontrak untuk kerja-kerja elektrik IPD Sipitang tersebut telah ditawarkan dan diawad kepada kontraktor tempatan yang beralamat di Kota Kinabalu, Sabah.

Manakala kontrak untuk kerja-kerja mekanikal pula – iaitu bagi Kerja Sistem Pencegah Kebakaran dan Sistem Penyaman Udara dan Pengudaraan – telah ditawarkan kepada kontraktor yang memberikan nilaian terbaik dan paling kompetitif, iaitu secara meritnya ialah kontraktor dari Semenanjung.


ISU RUMAH KEKAL MANGSA BANJIR


Tuan Yang Di-Pertua,

39.  Ahli Yang Berhormat dari KUBANG KERIAN, LIPIS, BALING dan SIPITANG telah membangkitkan mengenai isu status pembinaan Rumah Kekal kepada mangsa banjir.

40.  Sebagaimana Ahli Yang Berhormat sedia maklum, Kerajaan telah menubuhkan sekretariat khas bagi mengurus selia pembinaan dan pembaikan rumah mangsa banjir. Sekretariat ini dibantu oleh dua jawatankuasa kecil, iaitu Jawatankuasa Rumah Kekal yang diterajui oleh Kementerian Kerja Raya dan Jawatankuasa Pembaikan Kerosakan Rumah yang diselaraskan bersama oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah (KKLW) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

41.  Sehubungan itu Kerajaan melalui Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara telah meluluskan peruntukan sebanyak 174 juta ringgit kepada kementerian ini untuk membina unit-unit rumah kekal dan 40 juta ringgit lagi kepada KKLW untuk pembaikan rumah yang mengalami kerosakan.

Untuk mempercepatkan pelaksanaan projek, Kerajaan telah membenarkan Kementerian Kerja Raya untuk membuat lantikan terus di kalangan kontraktor tempatan kelas G1, G2 dan G3 yang berwibawa dan berdaftar dengan CIDB dengan menggunakan Jadual Kadar Harga semasa JKR.

42. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, sehingga 20 Mac 2015 sebanyak 2,185 unit rumah kekal telah dikenal pasti bagi maksud dibina baru, iaitu 1,918 unit di Kelantan, 224 unit di Pahang, 17 unit di Terengganu dan 26 unit lagi di Perak.

Daripada 2,185 unit itu, 1,497 unit atau 68% akan dibina menggunakan peruntukan Kerajaan Pusat, 573 unit atau 26% di bawah peruntukan Kerajaan Negeri, dan 115 unit lagi atau 5% tidak memenuhi pra-syarat rumah kekal yang ditetapkan.

Pada masa kini 172 unit rumah kekal sedang dibina menerusi peruntukan Kerajaan Pusat manakala 1,070 unit lagi belum dimulakan kerana JKR perlu menunggu maklum balas daripada Kerajaan Negeri mengenai status tapak (tanah ragu status / tiada tanah) bagi mangsa banjir yang terlibat.


ISU KOS PEMBINAAN HOSPITAL AWAM


Tuan Yang Di-Pertua,

43.  Ahli Yang Berhormat dari PENGERANG telah membangkitkan isu kos per katil hospital awam yang dilihat amat tinggi, iaitu 1 juta ringgit per katil dan meminta Kerajaan untuk mengkaji cadangan mengurangkan kos berkenaan.

44.  Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, JKR telah mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kesihatan bagi meneliti aspek-aspek yang membezakan kos pembangunan hospital awam dan hospital swasta di negara ini.

Berdasarkan kajian tersebut didapati kos per katil hospital awam lebih tinggi berbanding kos per katil hospital swasta disebabkan faktor-faktor berikut:
i. Perkhidmatan yang disediakan di hospital awam adalah lebih komprehensif selaras dengan keperluan penduduk setempat dan juga untuk menangani wabak penyakit seperti denggi di mana ia memerlukan ruang yang lebih besar;
ii. Hospital awam menyediakan semua jenis perkhidmatan untuk memudahkan pesakit mendapatkan rawatan. Sebaliknya hospital swasta tidak menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan tertentu di mana ia diperoleh secara sumber luaran atau ‘outsourcing’;
iii. Piawaian sistem kejuruteraan dan peralatan perubatan yang dipasang di hospital awam mempunyai tahap kualiti, keselamatan dan daya tahan yang tinggi bagi menampung bilangan pesakit yang ramai; dan
iv. Hospital awam turut menyediakan kemudahan latihan bagi tujuan pembangunan kerjaya untuk setiap lapisan anggota perkhidmatan.

45.  Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Kesihatan daripada masa ke semasa sentiasa memperhalusi kaedah untuk mengurangkan kos pembinaan hospital awam, iaitu melalui kajian semula konsep reka bentuk yang lebih ringkas dan optimum tanpa menjejaskan standard keperluan dan ‘funcionality’ hospital.


HAL-HAL LAIN


Isu Pengasingan Pentadbiran JKR Daerah Sik dan Kuala Muda


Tuan Yang di-Pertua,

46.  Akhir sekali, Ahli Yang Berhormat daripada SIK sekali lagi telah membangkitkan mengenai cadangan pemisahan pentadbiran JKR Daerah Sik/Kuala Muda, Kedah.

47.  Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kementerian ini dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Kedah telah mengemukakan kertas cadangan penstrukturan semula Jabatan Kerja Raya (JKR)

Negeri Kedah kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada bulan Ogos 2014. Cadangan penstrukturan semula tersebut termasuklah permohonan untuk mengasingkan entiti pentadbiran antara JKR Daerah Kuala Muda dan Daerah Sik.

Perkara ini sedang dalam peringkat pertimbangan pihak JPA. Oleh itu, kementerian ini menerusi Ibu Pejabat JKR bersedia untuk mengisi perjawatan pegawai dan kakitangan yang terlibat jika permohonan oleh Kerajaan Negeri tersebut diluluskan JPA.


PENUTUP


Tuan Yang di-Pertua,

48.  Setakat ini sahajalah penjelasan-penjelasan yang dapat saya berikan mengenai isu-isu yang telah dibangkitkan sepanjang perbahasan. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah mengemukakan pertanyaan dan membangkitkan isu-isu yang berkaitan dengan Kementerian Kerja Raya.

Kementerian ini akan mengambil perhatian dan tindakan ke atas perkara-perkara yang telah dibangkitkan. Mana-mana pertanyaan yang tidak sempat dijawab akan diambil perhatian untuk tindakan susulan.

Sekian, terima kasih.




Wednesday, November 19, 2014

Kenaikan harga Tol - KENYATAAN MEDIA KEMENTERIAN KERJA RAYA


Merujuk kepada laporan media pada hari ini bahawa tol tidak akan naik pada 2015.



Dengan ini, Kementerian Kerja Raya ingin membuat penjelasan mengenai laporan tersebut.

Apa yang dijawab oleh Timbalan Menteri Kerja Raya semasa Penggulungan Bajet 2015 Peringkat Jawatankuasa untuk Kementerian Kerja Raya adalah berkaitan peruntukan Bajet 2015 sejumlah RM558.69 juta  telah dipohon sebagai pampasan jika kerajaan memutuskan untuk tidak menaikkan kadar tol pada 2015.

Kementerian Kerja Raya ingin menjelaskan bahawa ini adalah prosedur biasa untuk permohonan bajet supaya peruntukan tersedia sekiranya keputusan tidak ada kenaikan tol ini diputuskan oleh kerajaan.

Untuk makluman, tidak ada sebarang kenyataan dalam jawapan Timbalan Menteri Kerja Raya yang menyatakan bahawa 2015 tidak akan berlaku kenaikan tol.

Mengikut perjanjian konsesi untuk 2015, sebanyak 20 lebuh raya yang berkelayakan untuk mendapat kenaikan tol. Syarikat tersebut seperti yang telah disenaraikan dalam penggulungan bajet adalah seperti berikut:

Bilangan Lebuh Raya

  1. Lebuhraya Bertingkat Ampang - Kuala Lumpur (AKLEH)
  2. Lebuhraya Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT)
  3. Lebuhraya Baru Pantai (NPE)
  4. Lebuhraya Penyuraian Trafik Lingkaran Kajang (SILK)
  5. Storm Water Management and Road Tunnel (SMART)
  6. Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE)
  7. Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA)
  8. Lebuhraya Senai Desaru (SDE)
  9. Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR)
  10. Lebuhraya Koridor GUTHRIE (GCE)
  11. Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS)
  12. Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE)
  13. Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX)
  14. Lebuhraya Damansara Puchong (LDP)
  15. Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara (NNKSB)
  16. Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT 1)
  17. Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK)
  18. Lebuhraya Cheras-Kajang (GRANDSAGA)
  19. Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR)
  20. Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA)

Untuk makluman, keputusan sama ada tol akan naik atau tidak, Kerajaan telah mewujudkan Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup Rakyat yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri yang akan memperincikan semua aspek, sama ada dari segi sudut kewangan dan kos sara hidup rakyat dan seterusnya akan mencadangkan kepada Kabinet untuk keputusan berkaitan dengan sama ada tol akan dinaikkan atau tidak.

Jawatankuasa ini juga boleh mencadangkan opsyen lain dalam mengurangkan bebanan rakyat sekiranya kenaikan tol diluluskan.

Untuk itu, dimaklumkan 2015 tiada sebarang keputusan hingga kini berkaitan sama ada akan dibenarkan kenaikan tol atau pun tidak seperti dilaporkan oleh pihak media. Permohonan peruntukan hanya sebagai prosedur bajet sahaja.


Sunday, November 16, 2014

Pemandu2 Sarawak lebih tahu keadaan jalanraya di negeri ini.

Pernah pandu kereta daripada Kuching ke Miri non-stop? Sesampai sahaja di destinasi, badan akan terasa lenguh, bayangan rasa gegaran/beralun hasil memori yang disimpan sejak awal bertolak. Inilah keadaan jalan luar bandar di Sarawak.

Sarawak adalah negeri yang paling besar di Malaysia. Namun kebanyakan jalanraya yang menghubungkan satu bandar ke satu bandar yang lain masih banyak kekurangan lagi.

Itu belum lagi dikira kawasan-kawasan kampung yang masih ada belum ada kemudahan jalan raya di kedua buah negeri. Jalan yang sedia ada banyak beralun, tidak rata, bergelombang di sana sini.... kenderaan 4WD kalau dipandu laju memang mudah melambung..

Jalanraya di Sarawak juga masih lagi banyak lopak dan diturap setompok-setompok. Elok juga menteri sendiri naik bas untuk melihat sendiri keadaan jalanraya di negeri Sarawak.

Untuk pengetahuan, lori-lori kargo yang bersaiz besar kerap menggunakan laluan yang sama daripada Kuching ke Sibu, Mukah, Bintulu, Miri dan Lawas. Dalam satu malam sampai berartus-ratus buah. Jadi tidak mustahil keadaan jalanraya tidak tahan lama terutama ketika musim hujan.

Bukan sahaja keutamaan diberikan kepada Projek Pan Borneo, tetapi juga penambahbaikan jalan-jalan raya yang sedia ada selain melebarkan kepada dua lorong sehala terutama di kawasan simpang kampung dan selekoh tajam.

Kualiti jalanraya Sarawak di kawasan luar bandar kebanyakannya seperti di bawah....


Sumber gambar daripada google. Jalan di atas terletak di kawasan antara Sadong Jaya ke Kota Samarahan.

Kita harap dengan Peruntukan lebih RM30 bilion dalam Bajet 2015 yang diperolehi Sabah dan Sarawak akan memberikan harapan kepada rakyat yang memerlukan banyak penambahbaikan dari segi infrastruktur seperti jalan raya dan bekalan elektrik.

Rakyat tidak akan melenting seperti pembangkang. Tetapi mereka akan merungut apabila ditanya masalah yang dihadapi. DAP bijak menggunakan isu jalanraya dan bekalan air untuk memancing undi. Biarpun jalan yang dibina setaraf laluan tikus, namun ia dipropagandakan seolah-olah mereka telah menyelesaikan masalah rakyat di negeri Sarawak.

Kita harap ADUN BN kawasan prihatin tentang keadaan ini. Jangan nanti dekat pilihanraya baru tergopoh gapah hendak selesaikan masalah dalam masa satu dua hari. Akibatnya nanti PR juga yang popular walaupun mereka hanya tahu membantu rakyat melalui berbagai-bagai perjumpaan yang sarat dengan cakap kosong dan ceramah-ceramah memburukkan pemimpin sahaja.

p/s: Bila projek lebuhraya Pan Borneo ini akan siap agaknya..