Sunday, December 6, 2015

Video: Nurul Izzah dihalau dari masuk Sarawak




Kuching – Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dihalang daripada memasuki Sarawak hari ini.

Nurul Izzah ditahan pegawai imigresen di kaunter kawalan pasport sebaik mendarat di lapangan terbang antarabangsa Kuching pada jam 4 petang ini dengan penerbangan AirAsia.

“Setibanya saya di Kuching, saya disambut pegawai-pegawai imigresen yang memberi notis penolakan masuk saya ke Sarawak. Satu pencabulan kuasa!” tulisnya di akaun Twitter sebentar tadi.

Dr Xavier Jayakumar, seorang lagi naib presiden parti yang bersama dengannya dalam penerbangan itu, memberitahu pemberita, pegawai imigresen memaklumkan Nurul Izzah arahan menghalang kemasukan beliau itu datangnya dari pejabat ketua menteri.

Beliau sebelum ini terbabit dengan kontroversi ekoran penyebaran gambar perjumpaannya bersama anak perempuan pengganas Lahad Datu, Jacel Kiram di Manila beberapa bulan lalu.

Sementara itu Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan sebelum ini dipetik sebagai berkata bahawa Nurul Izzah, yang merupakan Anggota Parlimen Lembah Pantai, boleh disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan Seksyen 124 Kanun Keseksaan.

Walaupun Nurul Izzah telah memohon maaf, tindakan beliau dianggap serius kerana telah bertemu musuh negara yang bertanggungjawab terhadap pencerobohan di Lahad Datu, kata Khalid, sambil menambah kata bahawa pemimpin PKR itu akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Susulan daripada itu sidang Dewan Rakyat yang berakhir Khamis lalu memutuskan untuk mengemukakan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen setelah usul itu yang dibawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dipersetujui untuk dibahaskan.

Daripada 222 ahli Parlimen, 105 mengundi bersetuju dan 77 ahli pembangkang mengundi tidak bersetuju.

Kedudukan Naib Presiden PKR itu bakal ditentukan dalam mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen dalam sidang akan datang.

Nurul Izzah dirujuk ke jawatankuasa berkenaan mengikut Peraturan Mesyuarat (27 (3) dan 80.

Dalam pada itu, Nurul Izzah turut digesa membawa Jacel dan bekas Presiden Filipina, Joseph Estrada sebagai saksi bagi menyokong tindakan berhubung lawatan beliau.

Perkara itu dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said sebelum ini.


Sumber: http://www.suara.tv/2015/12/06/video-nurul-izzah-dihalau-ketika-cuba-masuk-sarawak/

No comments:

Post a Comment