Thursday, July 14, 2016

Tawaran Gencatan Senjata - Jerat maut untuk PAS

Gencatan senjata yang diusahakan Pakatan Harapan menunjukkan mereka sememangnya tidak berkemampuan bersaing dengan Barisan Nasional tanpa berdepan PAS. Sebelum ini mereka begitu angkuh mempersendakan perjuangan PAS dan mempersendakan pemimpin-pemimpin mereka.

Penulis percaya, cerita sebenarnya cuma untuk menentukan siapa yang bertanding di kerusi DUN dan Parlimen menentang BN pada pilihanraya umum kelak. Akhirnya PAS dituntut agar menurut segala kemahuan mereka.


‘Gencatan senjata’ ditawar Tuan Ibrahim bakal menikam PAS semula


JIKA benar PAS bersedia ‘gencatan senjata’ dengan Pakatan Harapan (PH) semata-mata bagi menumbangkan Barisa Nasional (BN), keputusan itu bukan sesuatu yang pelik memandangkan sikap flip flop parti itu sebelum ini.

Sudah tentu PKR yang masih ada hubungan dengan PAS menyambut baik tawaran Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kerana masing-masing mempunyai kepentingan sendiri khususnya di Selangor.

Ini dapat dilihat apabila Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali segera memuji rakan sejawatnya sebagai seorang pemimpin yang matang serta memiliki visi jauh, apabila meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepartian.

Menteri Besar Selangor itu melihat perpecahan dikalangan pembangkang hanya menguntungkan BN apabila memenangi dua pilihan raya kecil baru-baru ini dengan majoriti di luar jangka.

Sementara itu, Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Abdul Samad juga senada dengan Tuan Ibrahim demi menumbangkan BN dan mengelak pertelagahan sesama sendiri.

Katanya, jika suasana itu berlarutan kemungkinan BN akan terus memerintah Malaysia dan Selangor akan dapat dirampas semula oleh mereka pada pilihan raya umum yang akan datang.

Itulah suara kebimbangan Pesuruhjaya PAS Selangor yang mungkin lebih sayang jawatan sebagai Exco di Selangor sekiranya kerjasama PKR, DAP dan PAS yang sedia ada di dalam pentadbiran kerajaan negeri terkubur pada PRU 14.

DAP yang selama ini bertelagah dan memperkudakan PAS tentu ‘malu alah’ dan ‘benci tapi mahu’ dengan kesediaan bekas sekutu ketika bersama Pakatan Rakyat itu kembali bersama di gelanggang pembangkang.

PAS sebelum ini menamatkan kerjasama politik dengan DAP menyebabkan PR berkubur dan tertubuh PH dengan PKR dan DAP menerima Parti Amanah Negara (PAN) sebagai sekutu baharu.

Persoalan sekarang, bersediakan PAN yang merupakan serpihan PAS menerima gencatan senjata yang ditawarkan Tuan Ibrahim?

Parti itu tentu akan menentang hasrat PAS itu kerana menerima kembali PAS di dalam barisan pembangkang hanya akan menyempitkan peluang PAN bertanding pada PRU 14.

Sudah tentu PKR dan DAP tidak akan mengorbankan kerusi mereka untuk PAN, sekaligus menyebabkan parti pimpinan Mohamad Sabu itu hanya boleh berharap bertanding di kerusi milik PAS.

Namun, ada desas desus bahawa pimpinan lain serta penyokong-penyokong tegar PAS tidak bersetuju dengan saranan Tuan Ibrahim.

Lebih malang, keputusan itu dikatakan tidak dibincangkan di peringkat PAS Pusat dan Majlis Syura Ulamak parti itu.

Lalu, timbul persoalan kenapa Tuan Ibrahim yang sebelum ini dilihat lebih ‘mesra’ PH tiba-tiba mengemukakan tawaran itu ketika pemimpin lain masih merasai luka ditikam DAP, PKR dan PAN pada pilihan raya negeri Sarawak dan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini.

Tentu ramai tertunggu-tunggu pendapat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Datuk Dr Haron Din mengenai ‘gencatan senjata’ yang dilihat ramai pihak hanya senjata yang akan memakan PAS jika bersedia menyertai PH.-bnbbc

No comments:

Post a Comment