Saturday, October 12, 2013

Terkini! Tahniah YB Fadillah, Datuk Sri Empiang

Tahniah kepada Datuk Fadillah Yusof dan Datuk Sri Empiang Jabu atas kepercayaan yang diperolehi daripada peringkat akar umbi untuk menerajui kepimpinan parti bagi pergerakan Pemuda dan juga Wanita.


Pemilihan Pencalonan telah ditutup semalam jam 5petang, menunjukkan tidak ada sebarang wakil yang tampil untuk bertanding bagi kedua jawatan itu. Jelas pemilihan PBB peringkat negeri kali ini menyaksikan keputusan awal apabila keduanya menang tanpa bertanding sekaligus kekal sebagai pemimpin kita.
  
Datuk Fadillah Yusof
(Ketua Pemuda PBB)
Senator Datuk Sri Empiang Jabu
(Ketua Wanita PBB)

Sementara bagi jawatan Timbalan Ketua Pemuda PBB, kini disandang Gerald Rentap Jabu juga menang tanpa bertanding. Sekalung tahniah juga diucapkan kepada beliau atas lantikan yang diberi. Beliau menggantikan tempat yang sebelum ini disandang Daniel Jubang Kanyan. Begitu juga jawatan Timbalan Ketua Wanita, dikekalkan dan diterajui oleh Datuk Fatimah Abdullah.
Gerald Rentap Jabu
(Timbalan Ketua Pemuda) 
Datuk Fatimah Abdullah
(Timbalan Ketua Wanita)
Antara yang menjadi perhatian barisan pemuda kini adalah 3 jawatan Naib Ketua Pemuda, masing-masing 2 untuk sayap Bumiputra dan satu untuk sayap Pesaka.. Antara calon yang bertanding untuk sayap Bumiputra adalah;
  1.  Ripin Lamat
  2. Hilmi Morsili
  3. Haidel Heli
  4. Aziz Adenan
Di sebelah sayap Pesaka, tidak ada pertandingan bagi Pesaka Iban selepas Bell Bernard Aggan menang tanpa bertanding sementara kuota bagi Bidayuh/Orang Ulu tiga calon bertanding iaitu Dennis Ngau, Stanley Sila dan Henry Kilau Talek.

Manakala jawatan bagi tiga Naib Ketua Wanita juga turut tidak dipertandingkan apabila tidak ada pencalonan diterima untuk menyaingi mereka yang terdiri daripada Datuk Rohani Abdul Karim dan Senator Datuk Dayang Madinah Tun Abang Openg (sayap Bumiputera) serta Datin Catherine Gramong (sayap Pesaka). 

Antara lain yang akan dipertandingkan ialah 15 jawatan bagi Majlis Tertinggi Pemuda dan 15 jawatan bagi Majlis Tertinggi Wanita. Keputusan pemilihan nanti hanya akan dibuat pada Konvensyen 18hb Oktober ini nanti. Samalah kita nantikan siapakah yang akan dipilih.

Selamat berjaya diucapkan kepada calon-calon yang bertanding.


Thursday, October 10, 2013

Panas! Jangan Hina Islam di Sarawak

Setelah gagal dalam usaha meraih sokongan daripada majoriti penduduk Islam Sarawak dalam kempen pilihanraya yang lepas, kini DAP mencuba pula satu cara yang lebih berani. Tidak pernah berlaku dalam sejarah negeri, satu institusi Islam diheret sebegini hina oleh satu parti bukan Islam.

Kita tidak membela mana-mana pihak jika berlaku penyelewengan, tetapi kes yang sedang dalam siasatan SPRM tidak ada kena mengena sedikitpun dengan peranan TBS (Tabung Baitulmal Sarawak) terhadap orang Islam di negeri Sarawak. Untuk apa DAP beriya-iya hendak tahu hal-ehwal pengurusan zakat Islam? Dan apa rasionalnya seorang pembantu ahli politik Cina meminta laporan urusan kewangan TBS selama 12 tahun?

Kita terkilan kini mufti Sarawak, seorang ulama yang kita segani yang kita boleh rujuk dalam bab fatwa dan hukum hakam diperlekehkan sehingga difitnah seolah-olah beliau bersekongkol dengan penyelewengan. Adakah DAP cuba menggambarkan mufti negeri kita ini seorang penyangak, tergamak memanipulasi kedudukannya untuk kemegahan dan menunjuk-nunjuk? Sebagai contoh, bolehkah orang Kristian terima jika Biskop besar mereka pula dituduh menyeleweng dana kutipan gereja untuk kepentingan diri oleh parti umno?

Agak keterlaluan Parti DAP di negara kita. Tidak cukup dengan mempertikaikan hak keistimewaan kaum Bumiputra, mereka juga satu kelompok yang mempergunakan orang Melayu dalam PAS untuk menyerang kedudukan Sultan dan raja-raja kita dan sekarang mereka memperkudakan seorang pemuda Melayu untuk mempertikaikan ketelusan institusi Islam di negeri kita.

Antara kenyataan biadap yang kita tidak boleh terima daripada mereka di bawah;
 
Kembali kepada ajaran Islam



Aziz juga mempertikai mengapa TBS menggunakan duit zakat untuk melabur.



“Di mana hukum Islam dalam Al-Quran dan Hadis yang membenarkan kita menggunakan duit zakat dilaburkan untuk tujuan kemegahan?



“Mufti negeri berkata pelaburan mengikut hukum, mana hukumnya? Dan berapa kos pembinaan KIS? Mengapa menggunakan duit zakat, dana baitulmal atau dana wakaf?”(sumber)

Ulama DAP

Tinggi sangatlah darjat ilmu Aziz sampai nak mengajar mufti kembali kepada ajaran Islam. Lupa agaknya dia siapa DAP sebenarnya, janganlah kerana kedudukan sementara yang diberikan dalam parti maka kamu sanggup mengaibkan agama sendiri.

Kalau nak mengutamakan kebajikan orang Islam miskin ada caranya, bukan dengan bersekongkol dengan parti bukan Islam untuk menjatuhkan institusi Islam itu sendiri. Kalau kemaruk sangat populariti, terjun sajalah dari puncak Dewan Suarah Kuching, kepala dulu. Insyaallah suratkhabar cina akan pampang wajah mayat tanpa ditapis-tapis lagi.

Mereka (DAP) begitu kecoh menyebarkan penyalahgunaan dana zakat, baitulmal dan wakaf untuk pelaburan walhal mereka sendiri tidak pasti hujung pangkal berita kerana tidak diberikan laporan kewangan oleh TBS. Persoalannya dari mana mereka peroleh maklumat sehingga mengaitkan mufti negeri?

Berikut adalah susulan laporan daripada blog sahabat theunreportednews.blogspot;



Putit, Shibli & Kipli memerhati akaun penyata tahunan TBS bagi menafikan kononnya dana zakat telah diselewangkan menurut dakwaan DAP 



Semua wang kutipan zakat Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) yang digunakan ke arah bantuan dan pembangunan masyarakat Islam telah mendapat persetujuan dari Pejabat Mufti Negeri untuk mematuhi tuntutan dan kehendak Syariah.



Memberi jaminan ini, Mufti Negeri Sarawak Sahibus Samahah Datu Haji Kipli Haji Yassin berkata bahawa semua penyumbang zakat tidak perlu was-was atau bimbang dengan pengagihan atau pengunaan dana zakat dan dana perbendaharaan mesti mendapat kelulusan dari Pejabat Mufti Negeri.



"Dalam erti kata lain, setiap permohonan mengenai pengagihan segala tindakan dalam operasi hariannya dikawalselia oleh undang-undang dan peruntukan yang sewajarnya dan pematuhan kepada undang-undang kita."

Di samping itu, semua dana TBS diuruskan dengan sewajarnya kepada undang-undang dan piawaian yang ditetapkan dan semua hasil resit rasmi penerimaan telah direkodkan untuk tujuan penyediaan penyata kewangan dan audit oleh Jabatan Audit Negara, katanya.

Kipli berkata kepada pemberita pada majlis perasmian Kiosk Maklumat Baitulmal (MBB) yang terletak di tingkat bawah bersebelahan dengan ruang legar Majma' Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (Komplleks Islam Sarawak) pagi tadi.

 
Apabila Mufti Negeri memberi jaminan, maka wajiblah kita mempercayai amanah yang diberikan selagi mana kita mengakui kedudukan beliau sebagai ahli dalam agama. Melainkan kita bersaksi akan penyelewengan yang dibuat olehnya (nau'zdubillah) tidaklah kita terlibat dalam persoalan akhirat kerana bersekongkol dengan tukang fitnah mengkufurkan ulama kita.

Berhati-hatilah terhadap mainan jahat oleh orang yang berkepentingan dunia. Niatkan zakat kita kerana Allah, menunaikan tanggungjawab kerana Allah bukan untuk digunakan sebagai isu bagi memecah-belahkan perpaduan ummah oleh orang kafir. 

DAP cuba guna apa saja cara untuk membuatkan rakyat supaya membenci kepada kerajaan dan kepimpinan Islam, itu saja ceritanya. Bukan bertujuan menguntungkan orang Islam, untuk apa.. Karpal dulu pun pernah kata seperti di bawah. Takkan itupun kita dah lupa.... 





Rujuk artikel berkaitan di Melanaublogger dan unreportednews

Wednesday, October 9, 2013

Pukulan Beduk selamatkan nyawa. Kampung Padang Tian, Matu Terbakar



MATU, Selasa — Lebih 12 keluarga tinggal sehelai sepinggang akibat 16 rumah kayu berasingan musnah dalam kebakaran di Kampung Padang Tian, Matu di sini awal pagi tadi. Kebakaran pada kira-kira jam 2.30 pagi itu, dipercayai berpunca dari bahagian dapur sebuah rumah di kampung itu menyebabkan lebih daripada 40 ahli keluarga hilang tempat tinggal.

Kebakaran itu turut memusnahkan dua buah rumah tempat memproses sagu milik penduduk kampung di sini. Seorang penduduk kampung yang enggan dikenali berkata, dalam kejadian itu, sepasang suami isteri warga emas berusia 70 hingga 80 tahun bersama seorang anaknya nyaris maut apabila rumah yang mereka diami dikatakan terbakar dari bahagian dapur.

Katanya, dalam keadaan mereka yang sedang tidur nyenyak itu, tiba-tiba anak perempuan mereka berusia 40 tahun tersedar dari tidur. “Semasa kejadian, anak perempuan warga emas terbabit sempat menjerit api... beberapa kali dari rumah mereka menyebabkan keluarga lain sedar dari tidur.“Mendengar jeritan wanita terbabit, beberapa keluarga yang tinggal berhampiran rumah yang terbakar itu mula sedar dan terus meninggalkan rumah untuk menyelamatkan diri bersama ahli keluarga masing-masing,” katanya.

Jelasnya, keadaan angin yang kuat juga menyebabkan beberapa buah rumah musnah dalam sekelip mata sehingga menyebabkan seluruh kawasan rumah terbabit ibarat padang jarak padang terkukur. “Penduduk kampung bertungkus- lumus untuk menyelamatkan harta benda mereka, namun usaha mereka gagal apabila keadaan bertambah sukar setelah api marak dengan begitu cepat akibat angin kuat.

“Malah hujan renyai yang turun sekejap tidak mampu memadam api itu menyebabkan beberapa buah rumah telah ranap dalam kejadian sekelip mata dan segala harta benda termasuk dokumen penting dan barang berharga milik mangsa tidak dapat diselamatkan,” katanya. Pegawai Bomba Kanan I, Balai Bomba Mukah, Abdul Rashid Haji Murni berkata, Pusat Gerakan Operasi Sarawak menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 3.15 pagi.

Menurut Abdul Rashid, seramai enam anggota bomba dengan sebuah jentera dan van dikerahkan ke lokasi kejadian dalam operasi memadam api serta melibatkan sebuah pam air milik Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dari Daerah Matu Daro.

“Selepas pihak kami menerima panggilan daripada orang awam, anggota Balai Bomba Mukah terus ke lokasi kejadian dengan mengerahkan enam anggota bersama sebuah jentera dan van. “Manakala anggota kami turut dibantu JPAM dari Daerah Matu Daro dengan kekuatan seramai lapan anggota serta sebuah pam air,” katanya kepada Utusan Sarawak hari ini.

Katanya, pihak bomba sampai ke lokasi kejadian sekitar jam 5.09 pagi dan menggunakan air sungai untuk mengawal api daripada terus merebak ke beberapa buah rumah kayu lain di kawasan kampung berkenaan. “Anggota bomba berjaya memadam api sepenuhnya pada jam 7.40 pagi dalam kejadian kebakaran tersebut. Namun setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta kerugian masih disiasat,” katanya.

Tambah beliau, kesemua mangsa kebakaran kini ditempatkan sementara di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daro dan Pejabat Daerah Matu Daro. Kebakaran tersebut merupakan kejadian yang terburuk pernah berlaku di Kampung Tian sekali gus menarik perhatian ratusan penduduk kampung yang turut sama membantu mangsa sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh anggota bomba dan JPAM.

- Utusan Sarawak Online

Tuesday, October 8, 2013

DAP sudah masuk ke pedalaman Sarawak

DAP sudah mengorak langkah untuk menambat hati rakyat pedalaman, sasaran mereka untuk meraih sokongan menjelang DUN Sarawak akan datang.

Bertemakan program 'Impian Sarawak' antara lain bertumpu kepada kerja menambahbaik sistem penyaluran air ke rumah-rumah panjang penduduk. Ia dilakukan dengan wang hasil kutipan daripada rakyat bumiputra itu sendiri, menggunakan idea yang dicetus oleh pemikir-pemikir pembangkang melalui kerjasama parti DAP.

ADUN BN di kawasan itu agaknya kurang bergerak. Masalah logistik tidak boleh dijadikan alasan. Jika penduduk sanggup bersampan dari kampung yang jauh untuk datang mengundi, mengapa kita tidak boleh sampai ke penempatan mereka?

Kini pembangkang DAP telah ke kawasan luar bandar walaupun rakyat Sarawak tahu mereka tidak berniat sedikitpun untuk membela nasib bumiputra sebaliknya hanya untuk memancing undi. Hasilnya siapakah akhirnya yang akan dipilih, Siputar-belit yang membantu demi undi ataukah pemimpin sendiri yang berpengaruh tapi masih tidur?

Renungkanlah..

A race to win people's heart. DAP starts 3 steps ahead, BN lying down rely on luck to win


KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak memulakan projek melebarkan pengaruh ke kawasan luar bandar (Go Rural Project) di bawah program Impian Sarawak dengan membuka lima cawangan di kawasan luar bandar.

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata lima cawangan itu ialah Betong, Pakan, Batu Niah, Lawas serta Marudi dan ketika ini jawatankuasa protem telah ditubuhkan bagi setiap cawangan yang disasarkan.

“Kami (DAP) mendapat maklum balas dan sokongan yang sangat memberangsangkan daripada penduduk luar bandar.

“Ini petanda baik buat kami lebih-lebih lagi dalam usaha menakluki kawasan luar bandar di negeri ini,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP Negeri di sini semalam.

Chong menambah, lima cabang itu merupakan kawasan yang tidak pernah dimasuki DAP sebelum ini dan merupakan antara 21 kawasan yang sudah dikenal pasti.

Sebagai permulaan, jawatankuasa protem DAP Pakan telah ditubuhkan diketuai Roslie Atol dengan kini mempunyai 55 ahli daripada pelbagai kawasan di situ.

Manakala jawatan Setiausaha Rinda Juliza Alexander, 28, Bendahari Alexander Seli, Setiausaha Hal Ehwal Wanita Sendi Atol, Setiausaha Penerangan Baran Japar sementara Bakar Giman dan Nyaling Tambi selaku ahli jawatankuasa.

Rinda turut dilantik sebagai Pembantu Khas Ahli Parlimen Sarikei Wong Ling Biu dalam usaha mendedahkannya kepada rutin kerja serta cara mengendalikan isu-isu rakyat.

Penduduk Sungai Limau mula terima UMNO




Penduduk Sungai Limau yang dikenali sebagai kubu kuat PAS di Kedah sudah boleh menerima bantuan kewangan dari kerajaan BN.

“Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir telah datang memberi bantuan kepada 12 sekolah agama rakyat di Sungai Limau beberapa hari lalu.

“Beribu orang datang, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata aktivis PAS Sungai Limau, Abdullah Hashim.

Sungai Limau merupakan kawasan kuat PAS di mana Tan Sri Azizan telah menang tiga kali pilihan raya umum berturut-turut sudah tahun 2004.

Sebelum itu bekas Menteri Besar Kedah itu menang pada tahun 1996 dan 1999 atas nama lama Sungai Limau iaitu Sala.

“Sungai Limau bukan lagi terlalu kuat untuk PAS, banyak perkembangan baru yang menyebabkan penduduk mahukan perubahan.

“Bukan Mukhriz sahaja, pemimpin-pemimpin Umno lain sudah bolah boleh masuk ke Sungai Limau,” tambah Abdullah yang bertanding atas tiket bebas DUN Sungai Limau pada Mei lalu.

Malah sebelum ini, seorang lagi calon bebas iaitu Sobry Ahmad turut mendakwa faktor Mukhriz boleh membantu Umno merampas kerusi Sungai Limau itu.

Bagaimanapun, Sobry berkata, pengundi Sungai Limau masih menyokong PAS berdasarkan sejarah mereka.
Sungai Limau mempunyai beberapa sekolah pondok yang dipercayai menyokong PAS setiap kali pilihan raya umum.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi DUN Sungai Limau ialah 4 November. Pilihan raya kecil itu diadakan ekoran kematian Azizan pada 26 September lalu. (SUMBER)

Sunday, October 6, 2013

Terbaik MP Baling..

Tahniah MP Baling. Seperti yang kita telah sedia maklum puak PKR memang hebat dan 'prihatin' hal-ehwal rakyat, sampai nama NGO yang membantu pun dia tak ingat..

Jadi wakil rakyat tak bolehlah main serkap jarang.. Harus disusuli dengan fakta, barulah orang pandang. 

Memang baguslah kalau MP Baling ada dana daripada kerajaan digunakan untuk membantu rakyat dan bukan untuk menambahkan kereta yang ada.

Duit daripada tabung kutipan pula tak ada justification jadi berapa banyak digunakan untuk rakyat, atau berapa untuk benda lain..ada tak pihak lain tahu? Nanti rakyat juga yang tanya, contoh di SINI..


Friday, October 4, 2013

5 jam tunggu, tiket Sarawak VS Sime Darby FC gagal dibeli


KUCHING: Tiket perlawanan suku akhir Piala Malaysia antara Sarawak dan Sime Darby FC sudah habis dijual dan tiada lagi tiket akan dijual pada hari perlawanan.

Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) menerusi kenyataannya semalam mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penyokong yang telah membeli tiket dan turut memohon maaf kepada mereka gagal mendapatkan tiket untuk perlawanan tersebut.

“Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak, Datu Sudarsono Osman mewakili semua ahli jawatankuasa serta pemain ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan yang padu serta maklum balas yang sangat memberangsangkan daripada semua penyokong yang ingin mendapatkan tiket perlawanan yang melibatkan pasukan negeri,” katanya.

“FAS menganggap sokongan daripada semua penyokong yang membanjiri stadium pada perlawananperlawanan lepas merupakan suasana paling meriah pernah disaksikan.

“Dengan gelombang sokongan yang padu seperti ini, para pemain pasukan Sarawak pasti akan mendapat inspirasi terbaik untuk berhadapan dengan pasukan Sime Darby pada Sabtu ini bagi membalas kepercayaan peminat yang tidak berbelah-bahagi ini.

” Sementara itu, reaksi marah dan kecewa jelas terpampang di wajah ratusan penyokong sejurus pihak pengurusan jualan tiket memberitahu tiket perlawanan antara Sarawak dan Sime Darby sudah habis dijual, semalam.

Drama tersebut bermula apabila ribuan penyokong menyerbu pekarangan premis jualan tiket yang terletak di Wisma Hopoh seawal jam 7.30 pagi semalam.

Ekoran itu beberapa kedai yang terletak berhampiran premis berkenaan juga terpaksa ditutup.

Penyokong yang rata-ratanya kepenatan setelah menunggu hampir lima jam hilang sabar apabila pengurus premis berkenaan memberitahu tiket perlawanan sudah habis dijual.

Ia menyebabkan sebahagian daripada mereka marah dan mula menimbulkan kekecohan hingga menyebabkan beberapa orang anggota polis terpaksa dikejarkan ke premis berkenaan untuk menenangkan keadaan.

Terdesak dengan keadaan tersebut, pihak pengurusan akhirnya terpaksa membuka kaunter jualan di pekarangan tempat letak kereta Wisma Hopoh dan kesemua tiket habis dijual dalam tempoh kurang dari satu jam.

“Siapa yang tak marah, mula-mula mereka kata tiket masih dijual.

Tetapi setelah kami menunggu selama lima jam, mereka kata sudah habis,” ujar penyokong tegar Sarawak, Mohd Fadli Ibrahim, 31.

“Saya tidak pernah terlepas menonton perlawanan Sarawak, lebih-lebih lagi sekarang ini pasukan sedang berada di prestasi kemuncak.

” Seorang lagi penyokong Shasha Ivan berkata, kegagalan mendapatkan tiket tidak akan mematahkan semangat serta sokongannya terhadap pasukan Sarawak.

“Sudah tentu kecewa sebab dah empat kali saya cuba untuk mendapatkan tiket namun masih gagal.

Apapun saya akan cuba lagi untuk membelinya hari ini,” ujar wanita berusia 27 tahun dari Kota Samarahan itu.

Menurut kenyataan dari pengurusan jualan tiket tersebut, pihaknya hanya diperuntukkan sejumlah 8,000 keping yang dijual di dua premis.

Kesemua tiket tersebut telah pun habis dijual sejak kelmarin dan tiket yang dijual semalam adalah tambahan dari Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) iaitu sebanyak 800 keping. - Borneopost

Thursday, October 3, 2013

Kerajaan tidak sekat FACEBOOK dan Laman Web


KUANTAN, Rabu - Kerajaan tidak akan menyekat akses akaun laman sosial Facebook atau laman-laman web yang lain kerana ia memberi banyak faedah kepada masyarakat. Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, walaupun terdapat pihak yang menyalahgunakan laman web atau laman sosial seperti Facebook untuk menyebar fitnah tetapi bukan semua terbabit dengan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

"Menyekat Facebook bukanlah satu pilihan yang baik. Ini kerana kita tahu ia banyak membawa faedah berbanding penyalahgunaan yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Di negara kita ada 16 juta pemilik akaun Facebook dan antara pemilik akaun itu ialah pelajar berumur lapan tahun, dan mereka ini tidak terlibat dalam penyalahgunaan media sosial seperti Facebook untuk melemparkan fitnah atau tohmahan kepada pihak lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di projek pemasangan gentian optik untuk jalur lebar sepanjang 10,000 kilometer dari Cherating ke Jepun oleh firma Time.com Berhad di Pelabuhan Kuantan di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Time.com, Afzal Abdul Rahim. Ahmad Shabery diminta mengulas mengenai desas-desus yang mendakwa kerajaan akan mengikut jejak langkah negara lain yang menyekat akaun Facebook kepada rakyat berikutan penyalahgunaan akaun berkenaan yang membawa keburukan kepada masyarakat.

Mengulas perkara itu, Ahmad Shabery berkata ibu bapa adalah pihak yang bertanggungjawab menyemai dan mendidik anak-anak agar mereka dapat menggunakan media sosial dan internet dengan bijak dan lebih bertanggungjawab.

" K i t a kena pakat ramai-ramai tolak orang yang suka bercakap bohong dan melemparkan tohmahan serta fitnah menerusi laman sosial...orang seperti ini tidak ada integriti dan sentiasa akan diawasi pada masa akan datang," katanya. -- Bernama

P/S: Kebebasan media diamalkan dalam negara kita membuktikan rakyat Malaysia tidak pernah disekat daripada sumber maklumat pelbagai/alternatif selain daripada media perdana. Tujuannya, supaya rakyat dapat menilai sendiri baik buruk kerajaan yang memerintah, membandingkan di antara kebenaran atau pembohongan pihak tertentu yang dibuat atas nama kebebasan bersuara. 

Wednesday, October 2, 2013

Perbuatan sia-sia pencacai


Hasil didikan sampah politik. Terlalu taksub sampai cakap pun berbau syirik. Percaya pada 'suwei' dan 'hong' itu datang daripada hamba-hamba Allah. Muhasabah diri itu, mati tak kenal usia entah esok entah lusa,  kita tak sempat nak buka mata. Jangan buat perkara sia-sia sampai jadi beban waktu dihisab besok.

Tuesday, October 1, 2013

Sarawak marah, cukuplah diskriminasi FAM

Ambil iktibar daripada kenyataan di bawah. Jangan anggap ia perkara kecil. Yang pasti ia boleh membawa padah sehingga menghancurkan integrasi nasional yang lama terjalin.

Kami telah melihat bagaimana layanan buruk FAM sebelum ini sehingga mengarahkan pasukan Sarawak bermain di stadium kosong menentang Sabah, Perak, Selangor dan Johor tanpa penyokong sendiri.

Suara gesaan supaya Sarawak menarik diri daripada FAM masih kuat kedengaran. Jangan sampai ada suara berang sehingga menjadikan isu ini kepada isu politik.

Inilah nasib pasukan Sarawak yang dilabel juara liga cap ayam, bila menang besar orang kata rasuah dan mengatur perlawanan..

Soalan saya kepada FAM - Apakah kalau Sarawak tewas 6-1 akan ada siasatan begini rupa?


Rujuk juga artikel melanaublogger di bawah;

Akhirnya kemarahan penyokong dan rakyat Sarawak memuncak kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia(FAM)


Mungkin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terlupa seketika Isu membabitkan "Ngap Sayot" pasukan bola sepak Sarawak yang pernah menjejaskan integrasi Nasional suatu masa dahulu sehingga menyebabkan orang politik campur tangan bagi mengendurkan kembali ketegangan yang berlaku.

Sarawak hampir keluar dari Persekutuan Malaysia apabila ketidakadilan berlaku kepada pasukan kendalian Awg Mahyan ketika itu. Kalau tak silap pada masa itu parti UMNO/BN/PBB Sarawak berada ditahap yang kukuh untuk mengelakkan sesuatu yang buruk terjadi. Hari ini sepatutnya pihak yang terlibat jangan mengambil mudah dengan mengeluarkan kenyataan Fitnah dan melulu semata-mata.

Baca selanjutnya luahan MelanauBlogger..