Tuesday, January 26, 2016

Calon misteri PBB diumum pada Mac nanti

Pilihanraya Negeri Sarawak akan menjelang tidak lama lagi. Ada yang meramalkan akan dibuat pada penghujung Mac, ada yang meramalkan pada April ini.

Apapun tarikh sebenar hanya akan diketahui apabila diumumkan oleh Ketua Menteri sendiri kelak. PRN kali ini penuh dengan teka-teki. Beberapa nama akan digugurkan dan digantikan dengan muka-muka baru. Ia selaras dengan dasar kepimpinan parti yang mahukan yang terbaik dengan misi dan visi yang lebih proaktif daripada wakil-wakil rakyat yang berbeza.

Spekulasi awal meramal beberapa nama baru bagi kerusi DUN PBB, namun seperti apa yang kita lihat pada pilihanraya yang lepas, kejutan boleh berlaku pada saat-saat akhir penamaan calon. Akhirnya orang yang tidak pernah disebut-sebut namanya tiba-tiba menjadi pilihan..

Percaturan PBB banyak diselangi kejutan demi kejutan. Siapapun mereka, ia adalah calon yang disenarai pendek dengan teliti dan merupakan kalangan yang diamanahkan dengan tanggungjawab yang sangat besar demi kemakmuran rakyat Negeri Sarawak.

Mari sama-sama kita baca laporan Borneopost berkenaan pengumunan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan di bawah..





KUCHING: Calon Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi dijangka diumumkan menjelang Mac.

Presiden PBB Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata senarai nama yang akan dicalonkan kini hampir dimuktamadkan dengan sebahagian besar penyandang kerusi dikekalkan.

Dalam pada itu, katanya 10 daripada 40 kerusi yang diperuntukkan kepada PBB juga akan menampilkan muka baharu terutama daripada Sayap Pemuda dan Wanita.

“Pada masa ini, saya tidak boleh mendedahkan calon-calon kami tetapi yang pasti sebahagian besar penyandang akan kekal dan ramai juga yang meletak jawatan atau ditawarkan untuk bersara.

“Saya akan umumkan pada masa yang sesuai nanti,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Ibu Pejabat PBB di sini, semalam.

Dalam pada itu, Adenan yang juga pengerusi BN Sarawak turut menegaskan akan memilih calon boleh menang untuk bertanding pada PRN nanti, tanpa melihat kepada parti.

“Tidak ada gunanya memberi kerusi kepada parti komponen dan mereka kalah,” katanya.

Justeru, beliau berkata tidak akan memandang mudah serta terlalu yakin untuk memenangi pilihan raya nanti.

“Setiap pilihan raya tidak mudah dan kita tidak boleh terlalu yakin,” katanya.

Selain itu, Adenan juga tidak menolak kemungkinan akan berlaku pertukaran calon melibatkan penyandang kerusi Parlimen untuk bertanding di kerusi DUN.

Sementara itu, beliau memberitahu bahawa Mesyuarat Majlis Tertinggi BN Negeri akan diadakan tidak lama lagi.

Mengenai Mesyuarat Majlis Tertinggi PBB pula, beliau menjelaskan ia adalah untuk mengkaji semula dan memperbaiki langkah-langkah yang telah diambil bagi menghadapi PRN akan datang.

“Kami telah menubuhkan jawatankuasa induk dan pelbagai jawatankuasa kecil dari segi pengangkutan, logistik, publisiti, keselamatan, bilik operasi dan sebagainya.

“Arahan juga telah diberikan kepada semua cawangan PBB untuk bersedia menghadapi pilihan raya,” katanya.

Turut hadir Speaker DUN Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Timbalan Presiden PBB Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Naib Presiden Kanan PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Agung PBB Datuk Dr Stephen Rundi Utom dan Ketua Pemuda PBB Datuk Seri Fadillah Yusof.

- The Borneo Post


No comments:

Post a Comment