Friday, February 20, 2015

KIDEX penuhi syarat tapi dibatalkan. Apa masalahnya?

Projek Lebuhraya Kidex penuhi semua prasyarat - Fadillah

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah memenuhi semua prasyarat yang ditetapkan dalam projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX), kata menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Dalam satu kenyataan, Rabu, beliau berkata semua proses, prosedur dan prasyarat telah dipatuhi dan dikemukakan keseluruhannya kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor, yang telah mendapat kelulusan prinsip bersyarat pada 23 Feb 2012 daripada kerajaan negeri.

Penilaian Impak Lalu lintas, Penilaian Impak Sosial dan Penilaian Impak Alam Sekitar juga telah dikemukakan pada 7 Julai 2014, katanya.

Fadillah berkata Kidex merupakan satu penyelesaian bagi menangani kesesakan lalu lintas kawasan Lembah Klang dan Petaling Jaya, selain beberapa lebuh raya lain yang dicadangkan untuk mewujudkan jaringan jalan raya/lebuh raya dan pengangkutan awam yang lebih sistematik.

"Dalam hal ini, Kerajaan Persekutuan akan merujuk kepada Pejabat Peguam Negara daripada sudut perundangan berhubung keputusan kerajaan negeri Selangor membatalkan projek lebuh raya tersebut bagi mendapatkan input berkaitan undang-undang memandangkan perjanjian konsesi telah ditandatangani antara Kerajaan Persekutuan dengan syarikat konsesi," jelasnya.

Fadillah berkata kementerian akan bertemu dengan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali untuk berbincang lebih lanjut berhubung pembatalan projek Lebuhraya Kidex dan memastikan apa jua keputusan yang dibuat akan memanfaatkan rakyat majoriti.

Isnin lepas, Azmin mengumumkan pembatalan pembinaan projek Lebuh Raya Kidex itu kerana pihak konsesi gagal mematuhi tiga syarat khusus yang ditetapkan kerajaan negeri sehingga tamat tempoh Sabtu lepas.

Azmin berkata antara syarat yang gagal dipatuhi ialah penyediaan Penilaian Impak Lalu Lintas yang bebas, Penilaian Impak Sosial dan Penilaian Impak Alam Sekitar.

Dalam perkembangan sama, Fadillah berkata Pihak Berkuasa Tempatan dan syarikat konsesi telah mengadakan pelbagai sesi janji temu dengan 76 Persatuan Penduduk dan 172 Rukun Tetangga sejak Ogos 2014, dan sektor swasta serta perniagaan untuk menerangkan cadangan jajaran lebuh raya Kidex di samping mendapatkan maklum balas mereka.

Tambah menteri itu, pameran awam juga telah diadakan di MBPJ dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), diikuti pelaksanaan pewartaan di bawah Rancangan Tempatan MPSJ (Penggubahan 1) 2020 pada 9 Mei 2013.

Fadillah berkata pelbagai sesi perbincangan telah diadakan di antara ahli-ahli Majlis MBPJ, Bahagian Kejuruteraan, LLM dan syarikat konsesi untuk memberikan penjelasan yang menyeluruh mengenai cadangan jajaran Lebuhraya Kidex.

Jelasnya, MBPJ telah melantik Perunding dan Perancang Trafik MDS untuk menilai kesan trafik, kajian destinasi asal, analisis kos faedah dan beberapa aspek berhubung Penilaian Impak Trafik Kidex.

"Laporan itu telah dibentangkan kepada jawatankuasa teknikal yang dipengerusikan MBPJ pada 21 Jan 2015, kepada ahli-ahli Majlis, dan pada 27 Jan 2015 kepada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan Parlimen terlibat.

"Wakil teknikal LLM dalam taklimat tersebut telah mengutarakan pandangan dan penjelasan mereka berkaitan dengan perkara-perkara yang telah dibangkitkan dalam laporan perunding," jelas Fadillah.

Mengikut laman web syarikat konsesi KIDEX Sdn Bhd, projek bernilai RM2.42 bilion yang dicadang dibina tahun ini bermula dari Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) berhampiran Damansara dan berakhir di Lebuhraya Bukit Jalil berhampiran Kinrara.

Lebuh raya itu merangkumi laluan utama sepanjang 14.9km dan susur lebuh raya sepanjang 11.2km dan sebagai sebuah lebuh raya bertingkat sepenuhnya.

Kidex dipercayai mampu memenuhi keperluan penduduk kawasan utara-selatan Lembah Klang selain mengurangkan kesesakan lalu lintas Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP) sehingga 30 peratus.

Sumber: astroawani


Komen Sarawakian Marks
Satu lagi projek untuk kemudahan rakyat yang dipolitikkan oleh pihak pembangkang.

Sesi Pendengaran awam telah pun dijalankan oleh pihak KIDEX. Mengapa kerajaan negeri Selangor tidak mengadakan pendengaran awam bagi mendengar pandangan pihak yang menyokong perlaksanaan KIDEX?

Jangan tunggu sampai keadaan jadi parah baru tergadah nak rancang jalan penyelesaian seperti yang berlaku pada projek langat 2 sehingga menyusahkan rakyat.

Sama-samalah kita lihat apa alternatif Azmin untuk membantu rakyat terutamanya yang bukan dari golongan elit untuk menyelesaikan masalah kesesakan di Selangor.

No comments:

Post a Comment