Tuesday, September 8, 2015

DAP tenat dengan kekukuhan MALAYSIA hadapi KEGAWATAN Ekonomi global



Saya meneliti cadangan DAP berhubung Lima Jalan Keluar Menyelamatkan Ekonomi Malaysia. Cadangan tersebut dikemukakan oleh Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan merangkap Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong semasa berucap di Forum The Rocket di Kluang, Johor pada 13 Ogos 2015.

Pertamanya, beliau menyatakan bahawa YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak perlu berundur dari menjadi Perdana Menteri.

Beliau menyatakan bahawa;

"Kita patut akui bahawa Datuk Seri Najib Razak merupakan satu ‘masalah’ kepada Malaysia hari ini." Meski pun beliau mengakui walaupun terdapat faktor-faktor global lain yang menyumbang kepada kemerosotan ekonomi negara, Najib adalah punca kepada kehilangan keyakinan terhadap integriti institusi-institusi di Malaysia.

Pada saya beliau seharusnya menyatakan secara jujur bahawa Malaysia menduduki tangga ke 8 TERBAIK dari 144 buah negara di seluruh dunia yang diiktiraf oleh World Economic Forum 2014/15 dari aspek ketelusan, tadbir urus kerajaan dan ekonomi berdaya saing.

Selain dari itu beliau sewajarnya menerima hakikat bahawa agensi-agensi penarafan antarabangsa seperti Moodys Analytic memberi penilaian yang positif terhadap ekonomi dan kewangan Malaysia dan tiada seorang pun pakar-pakar ekonomi dan kewangan dunia yang menyatakan bahawa Malaysia berada dalam krisis ekonomi dan kewangan.

Selain dari itu International Monetary Fund (IMF) pula membuat unjuran bahawa tahun-tahun 2015-2020 merupakan tahun-tahun krisis kewangan dan ekonomi dunia dan hanya MALAYSIA, Chile dan Republik Rakyat China sahaja dijangka mampu bertahan.

YB Liew Chin Tong juga menambah dan menganggap bahawa YAB Dato' Seri Mohd Najib sebagai "bangkai bernyawa" dan mempertahankan Najib sebagai mengundang lebih banyak kemudaratan.

Saya berpendapat bahawa beliau dan parti DAP sedang tenat dan menjadi bangkai bernyawa setelah perpisahan dengan sekutunya PAS dan kegagalan ‪#‎BERSIH4‬.0.

Banyak kemudaratan yang diterima oleh syarikat-syarikat kepunyaan pemimpin dan kroni-kroni DAP apabila GST diperkenalkan di mana mereka gagal menipu dan memalsukan akaun syarikat serta mengelakkan diri dari membayar cukai yang sepatutnya bagi tujuan pembangunan negara.

1MDB pula dianggap sebagai musuh ketat yang perlu diperangi kerana ia berjaya mengembangkan sayap perniagaannya di seluruh dan membantu ekonomi serta usahawan Melayu/Bumiputera pada skala besar.

Saranan kedua beliau adalah dengan melantik Menteri Kewangan yang baru dan kompeten sedangkan beliau sepatutnya meneliti prestasi kewangan negara yang berjaya mengurangkan bajet defisit dari 1.3% hingga 7.6% tahun demi tahun.

Peningkatan rezab tunai Bank Negara Malaysia dari RM314 Billion (2014) kepada RM320 Billion pada tahun ini juga menjadi indikator penting kecemerlangan YAB Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan.

Saranan ketiga beliau benar-benar melucukan hati saya di mana YB Liew mahu supaya kerajaan menetapkan GST pada kadar sifar (0%) dan ini menunjukkan kebodohan beliau di mana TIADA mana-mana dari 160 buah negara yang telah melaksanakan GST menetapkannya pada kadar sifar.

Satu perkara yang beliau tidak nafikan adalah ekonomi global hari ini tersekat dalam situasi yang tidak seimbang sambil memberikan contoh kebergantungan terhadap ekonomi Amerika Syarikat sebagai destinasi tunggal pengguna.

Beliau juga saya lihat begitu jahil dengan menyatakan bahawa, "Kita hanya memiliki potensi eksport yang terhad; itu pun jika ada!", sedangkan umum sedia maklum bahawa Amerika Syarikat bukanlah satu-satunya rakan dagang Malaysia.

Saranan keempat beliau adalah menghentikan projek mega melibatkan kroni dan YB Liew Chin Tong mahu semua projek mega melibatkan kroni diletakkan pada sebuah penilaian ‘kesan tukaran nilai matawang asing’.

Nampaknya beliau tidak ada keberanian mendedahkan siapakah kroni-kroni tersebut sebagaimana pihak Barisan Nasional mendedahkan kroni, penyelewengan dan salah urus tadbir projek terowong bawah laut Pulau Pinang serta Darul Ehsan Investment Group (DEIG), Selangor.

Bukankah lebih baik jika beliau mengakui tidak wujudnya kroni-kroni tersebut dan projek-projek berskala besar seperti tren berkelajuan tinggi Malaysia-Singapura dan juga projek MRT telah lama dirancang bagi faedah kepentingan majoriti rakyat Malaysia?

Beliau juga seharusnya tidak menimbulkan isu suntikan dana kerajaan bagi membiayai projek-projek berskala besar untuk faedah majoriti rakyat, tetapi perlu lebih kritikal perompakan wang rakyat di Negeri Selangor.

Atas keprihatinan beliau terhadap pengimpotan tenaga buruh murah dari Bangladesh bagi membiayai projek-projek tersebut, saya sarankan agar beliau membantu pihak kerajaan mengesan lima puluh ribu pelancong asing dari Taiwan, Singapura, Hong Kong dan China yang dipercayai umum menjadi pengundi hantu kepada DAP pada Pilihanraya Umum 13 yang lalu.

Seterusnya saranan kelima beliau adalah menghentikan pengambilan tenaga buruh asing tidak mahir dan saya percaya saranan ini lebih bermotifkan sikap phobia beliau dan DAP terhadap potensi tenaga-tenaga buruh dari Bangladesh dan Indonesia yang beragama Islam dan bukannya tenaga buruh dari Philipina, Singapura, Hong Kong, Taiwan dan Republik Rakyat China. Beliau tidak lain dan tidak bukan hanya mengulangi saranan YB PJ Utara, Tony Pua untuk mengecilkan saiz perkhidmatan awam sekiranya Pakatan Rakyat berjaya memenangi pilihanraya umum yang lepas. Mengapa? Anda fikirkanlah sendiri.

Pada penutup ucapan beliau menyatakan bahawa;

"Kita sedang berhadapan saat getir. Malaysia memerlukan pemimpin politik dan ekonomi yang kompeten dan berintegriti untuk mengatasi fasa yang sukar ini." Saya percaya DAP sedang menghadapi saat-saat getir dengan cara dan pendekatan kerajaan melalui agenda dan program transformasi yang memihak kepada rakyat marhaen berbanding kapitalis dan usahawan-usahawan kroni DAP.

Akhir kata, sukacitalah saya menyeru kepada rakyat Malaysia agar meneliti dengan data dan fakta sebelum menerima bulat-bulat apa yang disajikan kepada anda oleh mana-mana pemimpin.

1 comment:

  1. Itulah org yg fikir ria lebih bijak dari bijak..
    Last2 dia yg terlebih bijak plak..
    Yg pakar ubat sakit urat..
    Nak jadi pakar bedah..
    Mana ada asasnya

    ReplyDelete