Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata satu pasukan JKR Malaysia dan JKR Sarawak dibentuk bagi menjalankan kajian terperinci atas pembinaan Jambatan Batang Lupar.
Menurutnya kajian dilakukan bagi mengenalpasti reka bentuk serta kos sebelum pembinaan jambatan sepanjang 5 kilometer itu dapat dilaksanakan.
Jambatan yang siap itu nanti merupakan yang terpanjang di Sarawak dan bakal menjadi penghubung untuk kawasan Sri Aman, Betong sehingga ke Sarikei.
Pada bulan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib bersetuju untuk melaksanakan projek pembinaan Jambatan Batang Lupar di sungai Batang Lupar, Sri Aman yang dianggarkan bernilai RM1 bilion.
Kerajaan Pusat dan negeri akan berkerjasama dalam pembinaan jambatan itu dan peruntukan bagi menanggung kos pembinaan akan dibahagikan sama rata. Ia juga akan menjadi sebahagian daripada manifesto Barisan Nasional menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11.
Antara kenyataan Najib ketika melakukan lawatan kerja di Sarawak berkenaan Jambatan Batang Lupar seperti di bawah,
Pasukan JKR Malaysia, Sarawak akan kaji pembinaan Jambatan Batang Lupar
KUCHING: Satu pasukan melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan JKR Sarawak akan ditubuhkan untuk menjalankan kajian terperinci ke atas pembinaan Jambatan Batang Lupar.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ia memandangkan kajian perlu dilakukan dari segi reka bentuk dan kos sebelum pembinaan jambatan sepanjang lima kilometer itu boleh dilaksanakan.
“Pasukan ini akan turun ke lapangan untuk membuat reka bentuk akhir dan menganggarkan berapa kos sebenar pembinaan jambatan ini,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Tahun Baharu Cina kepada lebih 100 warga emas di kawasan Matang dekat sini, semalam.
Dalam pada itu, Fadillah berkata pembinaan Jambatan Batang Lupar akan dilaksanakan selepas kajian reka bentuk dan kos diselesaikan.
Tambah beliau, ia memandangkan pembinaan jambatan tersebut telah dijadikan sebagai manifesto Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri akan datang.
“Maka itu, jambatan ini mesti disiapkan dalam tempoh selepas Pilihan Raya Negeri nanti… maknanya dalam tempoh lima tahun sebelum Pilihan Raya Negeri seterusnya,” katanya.
Namun demikian, katanya lokasi pembinaan jambatan berkenaan belum lagi ditetapkan.
“Kesesuaian tanah memang sudah kita kenal pasti secara kasar tetapi kita perlu ke lapangan untuk menjalankan kajian terlebih dahulu sebelum memuktamadkannya,” katanya.
Dalam pada itu, Fadillah berkata Jambatan Batang Lupar juga akan menjadi penghubung untuk kawasan Sri Aman, Betong sehingga ke Sarikei sekali gus memanfaatkan ratusan penduduk dari kawasan pesisir pantai berkenaan.
“Jambatan adalah menghubungkan kawasan pesisir pantai dan ia akan menjadi laluan alternatif kepada Lebuh Raya Pan Borneo yang akan dibina.
“Ini kerana jarak perjalanan melaluinya adalah lebih singkat daripada Lebuh Raya Pan Borneo iaitu sejauh 100 kilometer,” katanya.
Beliau menambah, Jambatan Batang Lupar juga akan melengkapkan laluan penghubung dari Kuching ke Sri Aman setelah terbinanya Jambatan Samarahan dan Jambatan Batang Sadong yang dijangka siap pada Ogos tahun ini.
“Terdapat empat lagi jambatan yang perlu kita bina supaya keseluruhan negeri dapat dihubungkan menggunakan jambatan bagi menggantikan feri,” katanya - Borneopost
No comments:
Post a Comment